Malaysia Jalankan Pemeriksaan Saringan Terhadap Jemaah Haji Sebagai Langkah Berjaga-jaga Perekrutan IS


2015.03.12
MY-umrah-620-Mar2015 Jemaah haji Malaysia melakukan perjalanan di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz di Jeddah, Arab Saudi, 23 November 2008.
AFP

Pada hari Rabu, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa saringan akan dijalankan terhadap jemaah sebelum mereka ke luar negara, selepas dua orang rakyat Malaysia menggunakan helah menunaikan ibadah umrah di Arab Saudi untuk menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

Kerajaan Malaysia mahu memastikan rakyat Malaysia pergi ke Mekah dan Madinah hanya semata-mata untuk menunaikan haji dan bukannya menyimpang dari tempat suci itu untuk menyertai kumpulan IS di Timur Tengah, akhbar The Star memetik Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai berkata.

"Terdapat kes jemaah dari Malaysia yang hilang selepas menunaikan ibadah umrah untuk menyertai IS,'' Nazri memberitahu pemberita di Nusajaya, Johor, pada hari Rabu.

Mereka yang akan menjalani pemeriksaan saringan ialah mereka yang membuat perjalanan sendiri ke Mekah dan juga mereka yang pergi ke situ menggunakan pakej umrah yang dijual oleh ejen pelancongan, kata beliau.

Agensi-agensi keselamatan juga perlu melaksanakan prosedur tertentu untuk memastikan bahawa jemaah haji Malaysia kembali ke tanahair selepas menunaikan umrah, beliau berkata.

"Kami akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi dalam menangani isu ini kerana pengeluaran visa umrah adalah di bawah bidang kuasa mereka,'' kata Nazri.

Selain itu, sebagai pelindungan tambahan terhadap rakyat Malaysia yang menyamar sebagai pelancong asing untuk menyertai IS, kerajaan akan menjalankan pemeriksaan saringan yang sama terhadap rakyat Malaysia yang merancang untuk bercuti di luar negara, kata beliau.

Kes jemaah hilang

Pada hari Rabu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa dua orang telah menyimpang daripada kumpulan umrah mereka dan menyertai kumpulan militan IS di Syria, agensi berita nasional Bernama melaporkan.

Kedua-dua mereka telah menggunakan perkhidmatan sebuah agensi umrah untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa, Khalid berkata, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti "jemaah" yang hilang itu.

Pihak polis tidak percaya agensi itu mempunyai apa-apa kaitan dengan IS atau sengaja membantu kedua-dua mereka menyertai kumpulan pelampau itu.

"Setakat ini, kami telah mengesan dua kes yang menggunakan helah mahu pergi menunaikan umrah, tetapi sebenarnya mahu menyertai kumpulan militan IS," Bernama memetik beliau sebagai berkata.

"Mereka pergi bukannya untuk tujuan agama .... bayangkan, ibadah umrah disalahgunakan," kata Khalid, yang enggan mendedahkan identiti kedua-dua individu itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang berusaha untuk memperkenalkan satu undang-undang baru iaitu Akta Pencegahan Keganasan (POTA) untuk dibahaskan di Parlimen pada bulan ini, berkata pada hari Rabu bahawa undang-undang tersebut bertujuan untuk bertindak tegas terhadap rakyat Malaysia yang merancang untuk meninggalkan negara dan berjuang untuk IS.

Sehingga kini, pihak polis telah mengenal pasti 61 rakyat Malaysia yang berjuang bersama IS di Iraq dan Syria dan 10 orang daripada mereka telah terbunuh dalam pertempuran, Bernama memetik Zahid sebagai berkata.

"... Penggubalan POTA adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara ini terjaga," kata menteri itu dalam perhimpunan bulanan di kementeriannya.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada media tempatan

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.