Zika: Asia Tenggara, Bangladesh Menyaring Pelawat, Penduduk

Staf BeritaBenar
2016.09.01
Washington
160901-zika-620.jpg Para penumpang melalui alat pengimbas bagi mengesan mereka yang demam di Lapangan Terbang Sukarno Hatta, Tangerang di pinggir Jakarta, 1 September, 2016.
AFP

Berikutan peningkatan mendadak kes Zika di Singapura, negara-negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara bertindak pantas dengan  melakukan saringan terhadap  pelawat dan penduduk yang tiba ke negara mereka bagi mengenal pasti pesakit yang dijangkiti virus tersebut.

Rakyat Bangladesh, Indonesia dan Malaysia adalah di antara mereka yang dijangkiti virus itu di Singapura, kata para pegawai. Thailand pula mempunyai 13 kes aktif dalam kawasan sempadannya.

"Kami telah menubuhkan alat pengesan haba di semua pintu masuk udara, darat dan pelabuhan untuk mengesan orang yang demam - gejala pertama bagi jangkitan Zika," kata Dr. M. Mushtauq Husain dari Institut Epidemiologi, Kawalan dan Penyelidikan Penyakit  (IEDCR) di bawah Kementerian Kesihatan Bangladesh kepada BeritaBenar.

Pada Rabu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC)  Amerika Syarikat menambah Singapura, dengan 115 kes Zika yang disahkan, dan Kepulauan Virgin British dalam senarai negara dan wilayah yang aktif dengan wabak itu, yang kini berjumlah 58,  lapor Reuters.

Kes jangkitan tempatan virus Zika yang disahkan di Singapura melonjak dari satu kepada 115 dalam tempoh lima hari terakhir  Ogos, menurut laporan Reuters.

Bagaimana Zika merebak

Zika tersebar kebanyakannya menerusi gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti virus itu. Ia boleh merebak dari seorang wanita hamil kepada janin yang dikandungnya dan boleh menyebabkan kecacatan.

Seekor nyamuk  boleh menjadi pembawa virus selepas menggigit orang yang dijangkiti, kemudian menggigit orang yang sihat. Orang yang dijangkiti juga boleh menyebarkan Zika kepada rakan seksnya, kata CDC.

Brazil, negara tuan rumah bagi Sukan Olimpik 2016 di Rio, adalah satu daripada negara yang mengalami wabak Zika yang paling teruk.

Singapura pada Rabu berkata ia telah mengenal pasti 22 kes Zika baru dan kes pertamanya melibatkan seorang wanita hamil, lapor Associated Press.

Negara Bandar yang mewah itu merupakan hab bagi  pekerja asing dari negara-negara berdekatan.

"Ya, enam warganegara Bangladesh telah didiagnosis dengan Zika," kata Mahbub uz Zaman, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Singapura, kepada BeritaBenar. Para pegawai bimbang bahawa warga Bangladesh yang tinggal di Singapura, dengan 160,000 orang melakukan perjalanan jauh untuk bekerja, boleh mendedahkan Zika kepada  keluarga dan rakan-rakan mereka.

"Rakyat Bangladesh yang dijangkiti  virus Zika yang pulang ke tanah air tanpa dikesan boleh menyebarkan jangkitan virus itu," kata Husain.

Malaysia: Kes dikaitkan dengan Singapura

Di Malaysia, pemantauan nyamuk dan aktiviti pencegahan yang lain sedang dipergiatkan di semua negeri, terutamanya di Johor dan Selangor, demikian diumumkan oleh Dr S. Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia, pada Khamis.

Berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia masuk ke Singapura setiap hari dari Johor, negeri jirannya, untuk bekerja.

Seorang wanita berusia 58 tahun didapati positif dengan virus itu berikutan lawatan tiga hari ke Singapura pada pertengahan Ogos di mana anak perempuannya telah dijangkiti Zika, kata Dr Subramaniam. Wanita itu menunjukkan gejala ruam dan mendapatkan rawatan pada Rabu.

Menteri itu berkata maklumat daripada Kementerian Kesihatan Singapura menunjukkan lima rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Singapura telah dijangkiti virus itu.

Indonesia: Seorang sah dijangkiti

Indonesia juga menempatkan alat pengimbas haba di setiap pintu masuk pelabuhan dan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada wanita hamil yang mahu ke  Singapura dan negara-negara lain yang berpotensi dilanda wabak Zika.

Jurucakap Kementerian Luar Arrmanatha Nasir mengesahkan bahawa seorang warga Indonesia adalah antara mereka yang telah dijangkiti virus itu di Singapura.

"Kami menerima pengesahan bahawa seorang wanita yang dijangkiti virus itu kini berada di sebuah hospital di Singapura," katanya, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Kerajaan mengagihkan kad kesihatan dan risalah tentang virus itu kepada setiap pelawat dari Singapura dan Indonesia yang kembali dari negara itu, katanya. Kira-kira 200,000 warga Indonesia tinggal di Singapura dan lebih daripada 2.73 juta pelancong Indonesia melawat Singapura pada tahun lepas.

Kerajaan memberi amaran kepada  mereka yang mengalami  gejala termasuk demam, ruam kulit, sakit kepala dan konjunktivitis dalam tempoh 14 hari selepas tiba di Indonesia supaya berjumpa doktor dan memberitahu tentang lawatan ke negara yang dijangkiti Zika.

Thailand: 'Amaran merah'

Thailand pula telah menyaksikan beberapa kes membimbangkan di dalam negaranya sendiri. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) telah menandakan negara beraja itu sebagai negara "amaran merah" kerana "adanya penyebaran meluas virus itu dalam tempoh tiga bulan lepas."

Sebanyak 97 kes jangkitan Zika dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama 2016, tetapi semua pesakitnya sudah pulih, kata Dr. Amnuay Gajeena, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand kepada BeritaBenar.

"Pada masa ini, hanya terdapat 13 kes bergejala dalam empat wilayah," katanya.

Laporan mengenai jangkitan tersebut di negara-negara Asia Tenggara yang lain telah menyebabkan pegawai Thailand untuk mengambil langkah memantau pelancong dari negara-negara berkenaan dengan lebih teliti, kata Amnuay.

"Kami mempunyai 68 pusat pemeriksaan di seluruh negara dan mengambil langkah-langkah yang ketat. Apabila kita mengesan pelancong yang mencurigakan, kita lakukan pemeriksaan darah dan ujian air kencing. Kita juga menggunakan hospital berhampiran sebagai pusat kuarantin, "katanya.

Tia Asmara di Jakarta, Kamran Reza Chowdhury di Dhaka, Haireez Azeem Azizi di Kuala Lumpur dan Nontarat Phaicharoen di Bangkok menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.