Umat Islam Sambut Aidiladha
2016.09.14
Berjuta-juta umat Islam di Asia Selatan dan Asia Tenggara menyambut Aidiladha, iaitu Hari Raya Korban yang memuliakan kesediaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya kepada Allah selain menandakan berakhirnya ibadah Haji.
Di sesetengah tempat di rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara, Aidiladha dirayakan pada Isnin manakala cuti pula diberikan pada Selasa di kawasan lain.
Di Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak berkata perayaan itu perlu menjadi motivasi kepada umat Islam untuk terus tabah dalam perjuangan mereka.
“Pengorbanan memerlukan ketabahan dan ia harus bermula daripada diri sendiri. Inilah yang kita dipelajari daripada sirah Rasulullah yang memberi inspirasi dan kekuatan dalam perjuangan kita,” kata Najib dalam perutusannya kepada rakyat Malaysia.
Seorang rakyat Malaysia dari Kampung Lubuk Merbau di negeri Perak mengucapkan terima kasih kepada mereka yang melakukan korban dengan menyumbang haiwan untuk disembelih, bahagian yang paling penting dalam perayaan itu.
"Kami dapat mengorbankan empat ekor lembu dan seekor kambing, berbanding dengan tiga ekor lembu tahun lepas," kata Hassan Sulaiman kepada BeritaBenar.
"Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana kita diberi peluang sekali lagi tahun ini untuk menyambut Aidiladha. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang melakukan ibadah korban pada majlis ini. "
Pemimpin India, Narendra Modi, seorang Hindu, memberi ucapan kepada umat Islam sempena perayaan kedua paling suci dalam kalendar Islam.
"Semoga perayaan ini meningkatkan semangat keamanan dan kebersamaan dalam masyarakat kita," katanya dalam Tweet beliau.