Pembelajaran Dalam Talian: 1.8 Juta Pelajar Malaysia Tiada Akses Internet
2021.01.27
Johor & Kuala Lumpur
Pelajar daripada golongan berpendapatan rendah dan Orang Asal adalah antara empat puluh peratus murid di seluruh Malaysia yang tidak mempunyai akses internet, atau peranti elektronik untuk meneruskan pengajian dengan berkesan, sejak pandemik COVID-19 melanda negara itu.
Menurut sebuah gerakan advokasi pendidikan #UntukMalaysia diperkenalkan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, dianggarkan kira-kira 40 peratus atau 1.8 juta murid di Malaysia tidak mempunyai akses internet serta memiliki peranti sesuai bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diperkenalkan kerajaan apabila melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Mac tahun lalu.
Maszlee berkata dalam situasi norma baharu hampir 4.7 juta murid tidak dapat bersekolah, dan pelajar yang tidak mempunyai ekosistem pembelajaran dalam talian yang kondusif bakal tercicir dalam pengajian mereka.
“Sekiranya kerajaan gagal memperbaiki keadaan ini, maka negara pasti akan berada dalam bahaya. Pendidikan adalah nadi kepada semua bangsa, jika gagal, maka berlakunya pengakhiran bangsa,” kata Maszlee dengan menambah negara berdepan dengan ‘lost generation’ kerana lebih 185 hari persekolahan atau 4,440 jam telah hilang dari setiap seorang murid.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata slot program di saluran televisyen konvensional, dikenali TV Pendidikan yang digerakan semula sejak PKP dilaksanakan pada Mac tahun lepas akan ditambah bagi membantu pelajar yang tidak mempunyai akses internet atau memiliki peranti sesuai untuk terus mengikuti program PdPR.
Menteri Kanan Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM mewujudkan kembali TV Pendidikan pada 6 April 2020 sejurus selepas pelaksanaan PKP pertama, 18 Mac tahun sama, dengan bersiaran selama sembilan jam sehari di TV Okey, Astro Tutor TV dan NTV7.
“Kami sedar jumlah masa siaran ini masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa,” katanya dalam ciapan Twitter rasmi beliau baru-baru ini.
TV Pendidikan mula bersiaran di televisyen konvensional pada 1972 telah dipindahkan kepada kaedah secara dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008 dan tidak lagi disiarkan di saluran televisyen konvensional bermula 1 Januari 2009.