Terpinggir: Anak Rohingya Tanpa Negara Dapatkan Perlindungan di Bangladesh

Rohit Wadhwaney
2018.01.12
Cox's Bazar, Bangladesh
180111_rohingya_ss_01.JPG

Kanak-kanak Rohingya menunggu bekalan catuan di pusat bekalan makanan di sebuah kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, 7 Nov, 2017. [Rohit Wadhwaney/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_02.jpeg

Kanak-kanak Rohingya menunggu untuk menerima pakaian musim sejuk di kem pelarian Kutupalong di Ukhia, Cox's Bazar, 7 Jan, 2018. [Tushar Tohin/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_04.JPG

Seorang kanak-kanak perempuan Rohingya diberi sepinggan nasi selepas tiba di kem pelarian Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh, 28 Okt, 2017. [Rohit Wadhwaney/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_05.jpg

Seorang kanak-kanak Rohingya kembali ke kem perlindungannya dengan telur yang dibeli di sebuah kedai di kem pelarian Kutupalong, 7 Jan, 2018. [Tushar Tohin/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_06.JPG

Sekumpulan kanak-kanak Rohingya yang baru tiba diberi makan sajian daging di kem pelarian Kutupalong, 28 Okt, 2017. [Rohit Wadhwaney/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_07.JPG

Kanak-kanak Rohingya dilihat di satu daripada beberapa pusat mesra kanak-kanak yang ditubuhkan di kem pelarian Kutupalong, 1 Nov, 2017. [Rohit Wadhwaney/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_08.jpg

Sebuah keluarga Rohingya, termasuk seorang budak lelaki yang cedera, sedang berehat di tempat perlindungan pinggir jalan berhampiran Teknaf, Cox's Bazar, 8 Jan, 2018. [Abdur Rahman/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_09.JPG

Seorang kanak-kanak Rohingya berjalan pulang ke pondoknya setelah gagal mendapatkan makanan di pusat bekalan makanan yang penuh sesak di Cox's Bazar, Bangladesh, 1 Nov, 2017. [Rohit Wadhwaney/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_10.JPG

Kanak-kanak yatim Rohingya menjual buah pinang dan daun sirih di kem pelarian Kutupalong, 30 Okt, 2017. [Rohit Wadhwaney/BeritaBenar]

180111_rohingya_ss_11.jpg

Walaupun terpaksa menghadapi keadaan buruk di kem-kem pelarian mereka di Teknaf, Cox's Bazar, namun kanak-kanak Rohingya masih mampu tersenyum untuk jurukamera.

Yasmin (kanan), seorang remaja perempuan pelarian Rohingya yang berusia 15 tahun di sebuah kem di Cox's Bazar, Bangladesh, kehilangan ibu bapa dan abangnya yang terbunuh dalam gelombang keganasan di negeri Rakhine di Myanmar pada tahun lalu, 1 Nov, 2017. [Rohit Wadhwaney/BeritaBenar]

Yasmin, remaja pelarian Rohingya di tenggara Bangladesh, termenung jauh apabila diajukan soalan tentang keluarganya.

Penjaga beliau - bekas jirannya di negeri Rakhine di Myanmar - menjawab bagi pihak remaja perempuan berusia 15 tahun itu.

"Dia dalam keadaan yang amat trauma," kata Rashida Begum, 50, kepada BeritaBenar semasa dikunjungi baru-baru ini.

Begum berkata, Yasmin melihat ibu bapa dan abangnya terbunuh apabila tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap komuniti Muslim Rohingya  di Rakhine pada 25 Ogos lalu, susulan serangan pemberontak Rohingya terhadap pos-pos keselamatan kerajaan.

"Jangankan bercakap, dia akan menggigil walaupun semasa memikir yang dia perlu melangkah keluar dari pondok ini hanya untuk menggunakan tandas," kata Begum.

Kisah tentang kanak-kanak dan remaja yang trauma seperti Yasmin, yang menyaksikan kekejaman tetapi selamat daripada tindakan itu, memenuhi berpuluh-puluh kem yang terdapat di daerah Cox's Bazar yang menempatkan kira-kira sejuta pelarian Rohingya dari Myanmar.

Sekurang-kurangnya 655,000 daripada mereka tiba selepas gelombang keganasan terbaru berlaku di Rakhine pada akhir Ogos lalu.

Kira-kira 60 peratus daripada pendatang baru itu terdiri daripada kanak-kanak dan remaja, menurut angka yang dikeluarkan oleh agensi-agensi yang berkaitan dengan PBB. Hampir 15,000 daripada 350,000 kanak-kanak kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kira-kira 20,000 kanak-kanak yang berusia 5 tahun dan ke bawah didapati mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, menurut UNICEF.

Pihak-pihak berkuasa daerah telah menubuhkan beratus-ratus pusat yang mesra kanak-kanak untuk membantu kanak-kanak lelaki dan perempuan Rohingya mengatasi trauma mereka, kata Timbalan Pesuruhjaya Cox’s Bazar, Ali Hossain.

"Melalui lagu, tarian, seni dan permainan interaktif, kami cuba menghapuskan kenangan-kenangan buruk yang dialami mereka akibat kekejaman baru-baru ini," kata jurucakap UNICEF, Faria Selim, kepada BeritaBenar.


Tushar Tohin dan Abdur Rahman turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.