Perayaan Gawai Tidak Setradisional Dahulu
2016.06.07
Kuching, Sarawak
Perayaan Gawai yang disambut oleh masyarakat Iban, Bidayuh dan Kayan di Sarawak bagi meraikan tamatnya musim menuai padi, kini dilihat tidak setradisional dahulu, kata anak tempatan.
Perayaan yang turut dikenali sebagai Gawai Dayak itu kebiasaannya disambut pada akhir bulan Mei atau awal Jun setiap tahun.
Pelbagai persembahan dan tarian dengan perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya akan dipakai oleh lelaki dan wanita semasa meraikan perayaan di rumah panjang mereka yang terletak jauh di pendalaman.
Perayaan yang disambut dengan meriah di bandar dan desa di seluruh negeri itu juga akan menyaksikan acara minum tuak (arak beras) serta renjisan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan yang merasmikan bermulanys sambutan Pesta Gawai.
Acara paling menarik semasa sambutan perayaan itu ialah Ngajat Lesong, dimana penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesong tumbuk padi menggunakan gigi mereka.
Hakikatnya, peredaran masa dan pemodenan telah mengubah cara sambutan yang diakui oleh anak tempatan sebagai tidak se-tradisional dahulu, walaupun ianya masih menjadi titik pertemuan dalam mengeratkan ikatan kekeluargaan dan masyarakat.
Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Sarah Flora Juan, 35, seorang anak tempatan memberitahu BeritaBenar, perkara itu mungkin berlaku kerana cara kehidupan dan peredaran masa yang semakin moden di kawasan luar bandar dan ianya dapat dilihat di kawasan Seduku Tengah dan Lingga.
“Akses kepada pendidikan telah membuka jalan terhadap pekerjaan yang lebih baik bagi penduduk kampung, dan kebanyakannya sudah merantau. Apa yang merisaukan ialah tradisi lama dilupakan dan digantikan dengan perayaan moden,” kata Sarah ketika ditemui BeritaBenar.
Angela Samson, seorang penganalisis di Hitachi Global Storage Technologies di Kuching memberitahu BeritaBenar, “Perayaan Gawai kini lebih mirip kepada pesta perjumpaan keluarga, seperti sambutan Hari Natal dan Tahun Baru Cina, kerana ramai yang bekerja jauh dari kampung halaman dan akan pulang untuk menyambutnya. Tidak seperti dulu, menuai padi bersama keluarga”
Beliau berasal daripada rumah panjang Seduku Tengah yang terletak kira-kira 56 kilometer dari Bandar Sri Aman, Sarawak, dan kini boleh dihubungi melalui jalan darat berbanding hanya melalui sungai beberapa tahun lepas.