COVID-19: Pelita Minyak Tanah 'Raya KL Je' Ceriakan Aidilfitri
2020.05.21
Kuala Lumpur, Malaysia
Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dengan negara berada dalam norma baru akibat pandemik COVID-19 tidak menghalang keluarga yang tinggal di komplek kuarters Jabatan Kerja Raya untuk memeriahkan sambutan perayaan terbesar masyarkat muslim itu, walapun tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di kampong masing-masing.
Penghuni kuarters pekerja Jabatan Kerja Raya yang terletak di Sungai Besi di pinggir ibunegara Kuala Lumpur mengambil inisiatif memasang 200 pelita minyak tanah dan membentuk ayat "RAYA KL JE.." sebagai tanda patuh kepada arahan kerajaan tidak pulang ke kampung halaman atau merentas negeri bagi menghalang penularan wabak itu.
Halaman di padang permainan kaurters yang mempunyai 60 buah rumah di kompleks pangsapuri dihuni lebih 250 orang yang rata-rata pekerja di jabatan itu diterangi dengan cahaya dari pelita yang dipasang bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kerana kesemua penghuni tidak pulang beraya.
Pengerusi Pangsapuri Harmoni kuarters Jabatan Kerja Raya, Abdul Wahab Ismail, 56 memberitahu yang aktiviti memasang pelita itu dimulakan sejak 13 Mei lalu atau pada malam 20 Ramadhan lagi dengan bercadang untuk menyalakan pelita berkenaan setiap malam sehingga selepas Aidilfitri.
"Tujuan kami melakukan aktiviti memasang lampu pelita membentuk ayat "RAYA KL JE.." adalah untuk memeriahkan suasana menyambut Syawal, serta sebagai peringatan kepada semua untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan yang tidak membenarkan pulang ke kampung dengan merentas negeri dengan satu tujuan, iaitu mengekang pandemik COVID-19 dari terus merebak,
"Selain itu aktiviti ini juga bertujuan mengeratkan silaturrahim sesama penduduk dengan turut mengambil berat terhadap semua penghuni kuarters dan juga mengurangkan kerinduan pada kampung halaman,” kata Abdul Wahab.
Aktiviti memasang pelita itu dibuat setiap malam selepas selesai menunaikan solat tarawikh di rumah masing-masing. Hampir RM500 sumbangan berjaya dikumpul dari penghuni di komplek kuarters berkenaan bagi membeli minyak tanah dengan perbelanjaan antara RM15 dan RM20 sehari.