Pembersihan Sisa Toksik di Sungai Kim Kim Giat dijalankan
2019.03.15
Pasir Gudang, Malaysia
Kerja-kerja pembersihan akibat pencemaran bahan kimia daripada pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, Johor yang menjejaskan kesihatan lebih 5,000 orang awam sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa, agensi kerajaan dan kontraktor yang dilantik.
Tinjauan BeritaBenar di sekitar kawasan berkenaan mendapati pekerja pembersihan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta giat menjalankan kerja di kawasan terjejas teruk dengan pencemaran itu.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata tiga kontraktor pembersihan yang dilantik telah memulakan kerja-kerja pembersihan melibatkan jarak sejauh 680 meter daripada keseluruhan jarak 1.5 kilometer [1 batu] bahagian Sungai Kim Kim yang tercemar itu sejak Rabu lalu.
"Sejumlah 250 beg besar yang berisi tanah dan bahan enap cemar serta 350 tan metrik air tercemar telah dikumpulkan dalam operasi yang bermula sejak 13 Mac dan akan dilupuskan di kilang yang dilesenkan JAS," kata beliau sambil menambah yang kerja-kerja itu dijalankan selama 24 jam dengan 90 pekerja.
Beliau berkata, kawasan 680 meter berkenaan adalah yang paling tercemar dan pihak berkuasa juga sedang memantau impak atau gas yang akan keluar ke udara ketika kerja pembersihan dijalankan dengan meletakkan alat pengesan gas di lokasi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Yahaya Madis berkata, bacaan paras pencemaran pelepasan gas (PPM) di beberapa kawasan sekitar 1.5 kilometer [1 batu] radius mencatatkan bacaan 3.5 ppm.
“Fokus utama kita adalah memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk sentiasa terjamin dan mereka juga dinasihatkan untuk sentiasa mengambil pencegahan termasuk memakai topeng penutup muka. Kita juga menjangkakan dalam masa tujuh hari sungai berkenaan dapat dibersihkan sepenuhnya,” katanya kepada media di Pasir Gudang.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengarahkan penutupan serta merta sebanyak 111 buah sekolah dan pada Khamis turut mengumumkan penutupan tiga kampus pengajian tinggi yang terletak dalam daerah itu termasuk kampus Universiti Teknologi Mara Pasir Gudang dan Kolej Komuniti Pasir Gudang.