Malaysia: Projek Transit Aliran Massa Pengubah Hidup Rakyat
2017.01.26
Kuala Lumpur
Perkhidmatan Sungai Buloh-Kajang (SBK), iaitu laluan baru dalam sistem Transit Aliran Massa (MRT) bagi kawasan Kuala Lumpur, dibuka kepada orang ramai pada pertengahan Disember lalu dengan menawarkan perjalanan percuma pada bulan pertama operasinya.
Laluan pertama MRT itu, yang disediakan untuk pengguna di pinggir bandar Kuala Lumpur, menghubungkan kawasan perbandaran Sungai Buloh di utara Lembah Klang hingga ke bandar Kajang di bahagian tenggara Lembah Klang. Pegawai MRT menjangkakan kira-kira 400,000 orang penumpang akan mengguna perkhidmatan itu setiap hari.
Ketika melancarkan laluan MRT itu pada 15 Dis lalu, Perdana Menteri Najib Razak memuji projek pengangkutan mega itu sebagai pengubah hidup rakyat selain menjadi sistem pengangkutan paling moden di Malaysia selepas dibina dalam tempoh lima tahun.
Sebanyak 12 stesen disediakan di sepanjang 21 kilometer (13 batu) jajaran operasi itu, yang disokong dengan perkhidmatan 120 bas pengantara merangkumi 26 laluan. Fasa kedua, yang sepanjang 30 kilometer (18.6 batu) dan meliputi 19 stesen dari Semantan ke Kajang, dijangka mula beroperasi pada 31 Julai depan. Kos bagi bahagian projek itu dianggarkan berjumlah sebanyak RM21 bilion (AS$4.7bilion)
"Sebenarnya, agak menarik untuk melihat kesesakan lalu lintas dari dalam tren dan bukannya semasa berada di jalan raya. Ia memberikan kita lebih banyak masa untuk memikirkan tentang perkara lain,” kata Danil Roslan, penduduk Petaling Jaya, kepada BeritaBenar.
"Ia membuktikan bahawa pengangkutan awam bukan hanya untuk sektor pendapatan rendah…ia sebenarnya diperlukan oleh semua orang," kata penduduk Bangsar, Amy Choo.
Projek kedua, yang melibatkan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya sepanjang 52.2 kilometer (32.4 batu), dijangka mula membawa penumpang pada 2021. Apabila siap kelak, ia dijangka boleh membawa 529,000 penumpang setiap hari. Anggaran kos bagi projek ini ialah RM32 bilion (AS$7.2 bilion).