Umat Islam di Asia Selatan, Tenggara Gembira Sambut Ketibaan Aidilfitri

Staf BeritaBenar
2019.06.05
190605-eid-1.jpg

Beratus-ratus umat Islam Bangladesh menunaikan solat di sebuah masjid di Dhaka sebagai menyambut ketibaan Aidilfitri, 5 Jun 2019. [Megh Monir/BeritaBenar]

190605-eid-2.jpg

Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Burnham Park di Baguio City, yang terletak di utara Manila, Filipina, 5 Jun 2019. [Jojo Rinoza/BeritaBenar]

190605-eid-3.jpg

Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid Krue Se di Pattani, yang terletak di selatan Thailand, 5 Jun 2019. [Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

190605-eid-4.jpg

Seorang bapa dan anak lelakinya menyambut ketibaan Aidilfitri dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri dan membaca al-Quran ketika menziarahi kubur anggota keluarga mereka di tanah perkuburan Islam Yagang di Narathiwat, yang terletak di selatan Thailand, 5 Jun 2019. [Matahari Ismail/BeritaBenar]

190605-eid-5.jpg

Seorang lelaki memberikan duit raya (sedekah) kepada kanak-kanak selepas menunaikan solat sunat Aidifitri di Narathiwat, yang terletak di selatan Thailand, 5 Jun 2019. [Matahari Ismail/BeritaBenar]

190605-eid-6.jpg

Seorang lelaki Bangladesh berswafoto dengan anak-anak lelakinya selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dhaka, 5 Jun 2019. [Megh Monir/BeritaBenar]

190605-eid-7.JPG

Seorang wanita Filipina memakai pakaian tradisional semasa sambutan Aidilfitri di sebuah taman awam di Manila, 5 Jun 2019. [Luis Liwanag/BeritaBenar]

190605-eid-8.jpg

Sekumpulan lelaki di sebuah masjid di Banda Aceh, Indonesia mengisi beg-beg dengan beras untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, sebagai persiapan bagi menyambut ketibaan Aidilfitri, 2 Jun 2019. [Nurdin Hasan/BeritaBenar]

190605-eid-9.jpg

Seorang penjual menimbang daging yang diminta pembeli sebagai persiapan menyambut Aidilfitri di Pasar Ulee-Kareng di Banda Aceh, Indonesia. 3 Jun 2019. [Nurdin Hasan/BeritaBenar]

190605-eid-10.jpg

Menjelang penghujung Ramadan, Fatah Munir dari Kampung Bukit Piatu yang terletak di negeri Melaka, Malaysia mengetuai sekumpulan pemuzik bagi mengejutkan penduduk kampung untuk bersahur, 2 Jun 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

190605-eid-11.jpg

Nur Syafiqah Mustaffa menjual lampu hiasan sempena sambutan Aidilfitri yang merupakan perniagaan turun-temurun keluarganya di Kuala Lumpur, 2 Jun 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

190605-eid-12.jpg

Tiga hari sebelum Aidilfitri, Ramli Basir (kanan) dan beberapa orang lagi di Kampung Bukit Piatu di Melaka, Malaysia menyediakan dodol, sejenis juadah tradisional yang diperbuat daripada tepung pulut, santan kelapa dan gula kabung, 1 Jun 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Umat Islam di Asia Selatan dan Asia Tenggara pada Rabu menyertai berjuta-juta penganut lain agama itu di seluruh dunia menyambut ketibaan Aidilfitri apabila mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadan, bulan suci yang menyaksikan mereka berpuasa selama 30 hari dari waktu matahari terbit hingga waktu matahari terbenam.

Sambutan berlangsung dari Bangladesh hinggalah ke Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Perayaan Aidilfitri menghimpunkan keluarga dari jauh dan dekat. Kebanyakan mereka melakukan perjalanan yang jauh untuk bersama keluarga tersayang dan menyambutnya dengan menunaikan solat sunat Hari Raya, membayar zakat fitrah, memberikan duit raya atau hadiah serta mengadakan rumah terbuka.

Di Indonesia, negara yang memiliki majoriti penganut Islam terbesar di dunia, penduduk tempatan menggelarkan sambutan besar-besaran di penghujung Ramadan sebagai “mudik.”

Di Malaysia, penganut Islam yang taat mengadakan rumah terbuka yang mengalu-alukan kedatangan semua orang tanpa mengira kepercayaan atau agama. Di Kampung Bukit Piatu di negeri Melaka, Ramli Basir dan beberapa orang lagi menyediakan dodol, sejenis juadah bagi perayaan itu yang diperbuat daripada tepung pulut, santan kelapa dan gula kabung.

“Kita tidak sepatutnya melupakan juadah tradisional kita. Aktiviti ini merupakan satu platform bagi menghimpunkan generasi tua dan muda. Ia lebih meriah begini. Pelihara tradisi menyediakan juadah ini bersama-sama kerana ia akan memperkukuh silaturahim sesama kita,” kata Ramli kepada BeritaBenar ketika beliau dan beberapa orang lagi melakukan persiapan bagi menyambut ketibaan Aidilfitri.

Orang ramai turut membeli perhiasan untuk menjadikan rumah mereka lebih ceria sempena perayaan itu.

Di Kuala Lumpur, Nur Syafiqah Mustaffa, 29, sibuk menjual lampu hiasan yang merupakan tradisi turun-temurun keluarganya. 

“Saya harap Aidilfitri kali ini akan dipenuhi warna-warna perpaduan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India,” katanya kepada BeritaBenar. “Marilah kita hidup dalam suasana yang harmoni. Hormatilah orang lain jika kita mahu mereka menghormati kita.”

Megh Monir di Dhaka, Jojo Rinoza dan Luis Liwanag di Manila, S. Mahfuz di Kuala Lumpur, Nurdin Hasan di Banda Aceh, Indonesia serta Mariyam Ahmad dan Matahari Ismail di Pattani dan Narathiwat, Thailand menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.