Politik Malaysia: Menang Pilihan Raya Mengatasi Kebimbangan Keselamatan

Komentar oleh Zachary Abuza
2018.04.25
180425-MY-Najib-terrorism-1000.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bercakap mengenai keganasan pada perasmian Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, 21 Nov. 2015.
[AP]

Dua isu menjadi tumpuan menjelangnya pilihan raya umum Malaysia pada 9 Mei ini: Tuduhan rasuah terhadap Perdana Menteri Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal kewangan berkaitan dana pelaburan negara, 1MDB, serta peningkatan kos sara hidup dan ketidaksamaan yang semakin berleluasa.

Tetapi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia bergantung kepada tahap keselamatan negara itu. Dan, ketika Malaysia nampak stabil, keadaannya adalah jauh lebih lemah daripada apa yang dapat dilihat.

Kerajaan Najib cuba meraih nama bagi tugas-tugas mengawal keselamatan negara. Persoalan mengenai keselamatan nampaknya kurang mendapat perhatian para pengundi, mungkin kerana negara itu begitu stabil, dan pasukan keselamatan, walaupun tidak kebal daripada politik, masih mampu melaksanakan tanggungjawab utama mereka dengan berkesan.

Secara sahihnya, apakah kredit yang boleh diraih oleh kerajaan? Dan, di manakah ia lebih terdedah kepada serangan pembangkang?

Terdapat lima isu keselamatan (selain daripada pertikaian Laut China Selatan) yang menunjukkan beberapa kejayaan yang lemah, tetapi ia boleh membawa cabaran penting buat Malaysia:

Ancaman IS

Sejak 2013, polis Malaysia telah menahan lebih 390 suspek pengganas yang kebanyakannya berkaitan dengan kumpulan pelampau Negara Islam (IS). Pada 2017 sahaja, polis Malaysia menahan 105 suspek militan, dan menggagalkan tiga serangan berasingan.

Tidak syak lagi bahawa pihak berkuasa Malaysia adalah jauh lebih proaktif dalam menangani IS berbanding dengan Jemaah Islamiyah (JI) pada tahun 2000-an.

Terdapat kerjasama yang lebih besar dalam perkhidmatan keselamatan serantau, dan Malaysia menjalinkan hubungan kerja yang erat dengan Turki, yang telah mengembalikan ramai bakal pejuang IS dan ahli keluarga mereka.

Apa yang mahu ditumpukan pihak berkuasa Malaysia adalah, hakikatnya, hanya terdapat satu serangan keganasan IS di Malaysia iaitu serangan bom tangan amatur di sebuah bar pada Jun 2016 tanpa siapa pun terkorban dalam insiden itu.

Walaupun rakyat Indonesia mempunyai majoriti pejuang berbahasa Melayu IS, Khatibah Nusantara, di Syria dan Iraq namun, terdapat lebih ramai rakyat Malaysia secara per kapita. Beberapa rakyat Malaysia juga menduduki senarai kepimpinan utama. Dan, terdapat sekurang-kurangnya sembilan pengebom bunuh diri yang merupakan rakyat Malaysia.

Tindakan merekrut yang dilakukan IS sepatutnya mengejutkan pihak berkuasa Malaysia. Tidak seperti Indonesia, di mana perekrutan pejuang merupakan proses secara berperingkat dengan berdasarkan kepada interaksi peribadi - sebahagian besarnya melalui madrasah dan rangkaian masjid JI - perekrutan yang dilakukan di Malaysia adalah secara dalam talian, dan pesat dijalankan. Paling utama, ia telah merentas spektrum sosioekonomi dan memberi  peranan yang penting kepada wanita.

Beberapa rakyat Malaysia di Syria kekal menjadi perekrut utama termasuk Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin (juga dikenali sebagai Akel Zainal) dan Mohd Rafi Udin, yang muncul bersama-sama seorang rakyat Indonesia dan seorang rakyat Filipina dalam video pemenggalan kepala IS pada 2016.

Tidak seperti JI, yang tidak pernah menyasarkan Malaysia, IS sebaliknya  berulang kali menggesa supaya dilakukan serangan, memperoleh bahan peledak dan berada dalam peringkat perancangan yang aktif. Sel-sel berada cukup hampir dengannya dalam beberapa kes termasuk seorang pengebom bunuh diri yang dapat ditangkap beberapa hari sebelum melaksanakan rancangan serangannya.

Penangkapan terbaharu  menunjukkan kesediaan sel-sel IS untuk melibatkan serangan teknologi rendah di rumah-rumah ibadat, serta penculikan anggota pasukan keselamatan dan ahli politik.

Kebimbangan sebenar ialah kejayaan serangan besar-besaran IS di Malaysia boleh membawa kesan lebih buruk berbanding serangan serupa di Indonesia, yang mempunyai daya tahan sosial yang jauh lebih utuh.

Mindanao

Kejayaan Malaysia menangani IS di dalam negaranya telah terjejas berikutan situasi keselamatan di Filipina, di mana militan pro-Negara Islam telah menawan bandar Marawi selama lima bulan pada 2017, dan terus mengancam  pasukan keselamatan Filipina.

Beberapa militan Malaysia didapati aktif  terlibat dalam kejadian itu malah, dipaparkan dalam video IS yang dikeluarkan pimpinan pusat. Sejak kejatuhan Marawi, militan Malaysia itu dikenal pasti sebagai sel pro-IS yang terkemuka, termasuk Amin Baco dan Dr. Mahmud Ahmad, dan mungkin memainkan peranan  penting dalam kalangan pelbagai kumpulan pro-IS di selatan Filipina.

Mindanao kekal penting bagi militan IS di Asia Tenggara kerana ia adalah satu-satunya tempat di mana Negara Islam dapat mengawal ruang fizikal dengan mereka boleh berlatih, merancang dan melaksanakan serangan. Khalifah perlu mempunyai wilayah.

Sebab itulah ramai militan memberi tumpuan kepada mendapatkan laluan transit dan logistik utama ke dan dari Indonesia dan Filipina melalui negeri timur Malaysia, Sabah. Pasukan keselamatan Malaysia telah meningkatkan lagi sumber-sumbernya dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)  termasuk menambah kapal peronda baru dan menahan militan secara rutin.

Pada Februari 2018, polis Malaysia terbabit dalam pertempuran dan membunuh tiga suspek militan Filipina di ladang kelapa sawit di timur Sabah. Pada bulan itu, polis M Malaysia menangkap 10 orang  termasuk tujuh rakyat Filipina dan tiga rakyatnya di Sabah yang menubuhkan sel untuk memindahkan orang ke selatan Filipina.

Malaysia menjalinkan kerjasama rondaan maritim tiga pihak dengan Indonesia dan Filipina pada April 2017, berikutan percubaan penculikan maritim oleh Kumpulan Abu Sayyaf. Antara Mac 2016 dan Disember 2017, kira-kira 15 rakyat Malaysia telah diculik manakala pelayar Indonesia turut diculik dari beberapa kapal milik rakyat Malaysia.

Walaupun rondaan tersebut memberi kesan positif, ia perlu terus dijadikan rutin lanjut, dan pusat gabungan bersama haruslah diwujudkan. Rondaan udara yang diselaraskan juga mesti diteruskan. Kesemua ini melibatkan kos yang tinggi, tetapi penting demi mengekalkan keamanan serantau dan kemakmuran ekonomi.

Malaysia perlu melipatgandakan pelaburannya dalam proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang telah terbantut sejak operasi memerangi pengganas menjadi tidak keruan pada Januari 2015.

Malaysia memainkan peranan penting dalam menjadi orang tengah bagi proses damai itu, tetapi kurang melaburkan modal politik ketika proses damai itu terhenti di Kongres Filipina. Walaupun tuntutan terbaru kerajaan Filipina terhadap Sabah akan membangkitkann kemarahan Malaysia, tetapi ia perlu terus memainkan peranan utama dalam proses damai itu kerana tanpanya, MILF tidak mempunyai insentif untuk mengawal wilayahnya, melakukan pelucutan senjata, atau menghalang perpecahan para pejuangnya kepada kumpulan pro-IS.

Selatan Thailand


Walaupun kerajaan Malaysia telah memudahkan proses damai di antara militan di selatan Thailand dan kerajaan Bangkok, perbincangan yang telah diadakan sesama mereka masih belum membuahkan hasil. Bagaimanapun, kadar keganasan telah menurun di wilayah-wilayah yang diduduki oleh etnik Melayu.

Pasukan keselamatan dari kedua-dua negara itu berikrar untuk menjalinkan  kerjasama namun, rasa kurang percaya masih ada. Pegawai-pegawai Thailand percaya bahawa Malaysia tetap menjadi persekitaran yang sangat permisif bagi militan untuk mengumpul dana dan merancang serangan. Tetapi, polis Malaysia berjaya menumpaskan  sel yang mengimport senjata-senjata  kecil dari selatan Thailand.

Apa yang mebimbangkan Malaysia adalah pembongkaran tentang sel IS dengan 10 anggota yang dipimpin oleh seorang rakyat Thailand di Johor baru-baru ini. Walaupun pihak berkuasa Thailand tidak menghebohkan tentang potensi radikalisasi militan, pasukan keselamatan Malaysia bimbang tentang perkara itu kerana konflik di Selatan Thailand sudah pun menjangkau 14 tahun dan masih menemui jalan buntu.

Kebanyakan militan dan penduduk Selatan Thailand mencegah penularan ideologi rentas sempadan IS tetapi tetap bimbang mengenai radikalisasi dalam kalangan generasi muda.

Rohingya

Pembersihan etnik yang dilakukan tentera Myanmar terhadap penduduk Rohingya Muslim menyebabkan berlakunya penghijrahan berama-ramai lebih 700,000 orang awam; dan kini terdapat lebih satu juta pelarian Rohingya yang tinggal di kem-kem di Bangladesh, yang nampaknya tidak mempunyai  harapan untuk kembali dengan selamat atau diberi perlindungan undang-undang.

Di Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak menjanjikan sokongan kemanusiaan kepada kerajaan Bangladesh dan menghantar misi yang diketuai oleh Kementerian Pertahanan ke negara itu. Tetapi, ia tidak banyak membantu keadaan.

Inilah permulaan konflik yang tidak dapat dielakkan dan mungkin memberi kesan kepada Malaysia.

Pasukan keselamatan Malaysia telah menahan dua militan IS yang cuba menuju ke Bangladesh untuk menyertai konflik bersenjata. Militan Rohingya (ARSA) mungkin cuba untuk menganjurkan dan mengumpul dana daripada kalangan 150,000 pendatang Rohingya di Malaysia. Pasukan keselamatan Malaysia nyata bimbang dengan radikalisasi dalam diaspora Rohingya.

Di samping itu, kadar pendatang haram Rohingya pula semakin meningkat. Bulan ini, pasukan keselamatan Malaysia telah memintas sebuah kapal yang membawa 56 orang Rohingya. Ini akan terus memberi beban tugas kepada pasukan keselamatan Malaysia. Pada masa yang sama, ia meletakkan mereka di bawah pemerhatian kerana beberapa pegawai Malaysia pernah terlibat dalam kes pemerdagangan manusia.

Pembunuhan rakyat asing di bumi Malaysia

Pembunuhan anggota Hamas Palestin di ibu negara Malaysia pada 21 April, yang didakwa dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad, akan memberi kesan pada pilihan raya umum itu.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) cuba menjadikannya sebagai satu isu.

Namun, pembunuhan itu merupakan pembunuhan antarabangsa kedua di bumi Malaysia sejak Februari 2017, apabila abang tiri pemimpin diktator  Korea Utara Kim Jung Un didakwa dibunuh dengan agen saraf VX oleh dua wanita di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur.

Perbicaraan kedua-dua wanita itu, seorang rakyat Indonesia dan seorang rakyat Vietnam, yang dituduh direkrut oleh ejen-ejen Korea Utara untuk melaksanakan pembunuhan Kim Jong Nam, masih dijalankan dan mungkin  menyebabkan Malaysia menerima tumpuan yang tidak sepatutnya.

Kedua-dua pembunuhan itu menimbulkan persoalan mengapa Malaysia kekal sebagai persekitaran yang permisif. Malaysia hari ini adalah jauh berbeza daripada tahun 1990-an apabila ahli-ahli organisasi pengganas Algeria menjadikan Malaysia sebagai tempat yang selamat buat mereka; atau menjadi tempat kediaman bagi pembiaya utama dan pembeli senjata Tamil Tiger; atau di mana al-Qaeda dapat membiayai pengeboman kedutaan Afrika Timur 1998, atau merancang serangan terhadap USS Cole dan 9/11.

Walaupun pegawai-pegawai Malaysia mungkin marah dengan tindakan  perkhidmatan asing  melanggar kedaulatan negara mereka dan melakukan pembunuhan di wilayah mereka, namun mereka kelihatan terlalu tenang dengan operasi yang tidak menyasarkan Malaysia secara langsung.

Zachary Abuza adalah profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.” Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan beliau sendiri dan bukan pandangan atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.