Thailand berdepan tekanan China, tutup pusat penipuan di sempadan Myanmar

Ketegasan Thailand dan junta Myanmar dipersoalkan ketika ribuan mangsa masih terperangkap di pusat-pusat penipuan di sempadan kedua-dua negara itu.
Komentar oleh Zachary Abuza
2025.02.18
Thailand berdepan tekanan China, tutup pusat penipuan di sempadan Myanmar Pelakon China, Wang Xing (kanan) berbual dengan pegawai polis Thailand di daerah Mae Sot, bersempadan dengan Myanmar , 7 Januari 2025.
[Polis Diraja Thailand melalui AP]

Pelakon China, Wang Xing yang terbang ke Bangkok untuk menerima tawaran pekerjaan tidak menyangka dia akhirnya akan diculik dan diseludup ke Myanmar.

Namun, satu mesej ringkas Wang kepada teman wanitanya berjaya mencetuskan kempen di media sosial hingga membawa kepada pembebasan pelakon itu.

Selepas kes itu menjadi tular, China melakukan tekanan diplomatik besar-besaran terhadap Thailand.

Media milik kerajaan China menumpukan perhatian kepada pusat penipuan dan bagaimana ketidakstabilan di Thailand menjejaskan sektor pelancongan dan hartanahnya yang menguntungkan.

Pihak berkuasa di Bangkok dengan pantas dapat memahami isyarat yang diberikan China itu. Hasilnya, dalam tempoh empat hari, Wang berjaya diselamatkan.

Situasi itu membuktikan bahawa Thailand sebenarnya mempunyai lebih banyak pengaruh ke atas pusat penipuan berbanding apa yang didakwa sebelum ini.

Ketika Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra mengadakan lawatan ke Beijing pada awal Februari, beliau berikrar untuk menyokong usaha membanteras pusat penipuan tersebut.

Buat pertama kali, seorang pemimpin Thailand secara terbuka mengakui bahawa pusat-pusat penipuan di sempadan Myanmar adalah ancaman kepada negara itu.

Kementerian Luar Thailand berkata usaha membanteras jenayah rentas sempadan menjadi "keutamaan nasional".

Tidak lama selepas itu, pihak berkuasa elektrik Thailand bertindak memutuskan bekalan tenaga ke KK Park dan empat lagi pusat penipuan di sempadan.

Namun, adakah ini benar-benar usaha yang tulen? Ini kerana terdapat alasan sinikal terhadap kerjasama yang diberikan Thailand itu kerana ia tidak pernah didengar sebelum ini.

Thailand dan rangkaian gelap di sempadan

Sejak kumpulan penentang Myanmar menguasai hampir setiap bandar sempadan dengan China, mereka telah berusaha menutup pusat penipuan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa China.

Ratusan warga China dihantar pulang termasuk dalang yang dikehendaki Beijing.

Akibatnya banyak sindiket penipuan telah berpindah ke kawasan berdekatan sempadan Myawaddy, tenggara Myanmar dan bandar Mae Sot, Thailand, berhampiran Sungai Moei yang cetek dengan beroperasi menggunakan bekalan elektrik dan Internet dari Thailand sejak bertahun lamanya.

Thailand pernah memotong bekalan tenaga pada pertengahan 2023, tetapi ia dilakukan selepas memberi amaran awal sekali gus memberikan tempoh masa mencukupi untuk sindiket membeli janakuasa diesel.

Kini, terdapat lebih 20 mesin janakuasa untu memastikan operasi mereka terus berjalan. Malah, dengan adanya kemudahan Starlink membolehkan pusat penipuan itu menyediakan pelan sokongan bagi sambungan Internet.

Pemotongan bekalan elektrik itu dilihat sebagai satu sandiwara. Shwe Kokko, sebuah bandar di Myawaddy sahaja mempunyai perjanjian bekalan tenaga sebanyak 8,000kw dengan pembekal Thailand. Dalam tempoh seminggu, bekalan elektrik telah dipulihkan.

Hakikatnya, terlalu ramai pihak di Thailand, termasuk pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan yang meraih laba daripada aktiviti penipuan itu.

Walaupun bekalan tenaga dan Internet diputuskan, bahan binaan, makanan, komputer dan peralatan lain masih dapat dibawa masuk dari Thailand.

abuza2.jpeg
Mangsa pusat penipuan menunggu di Myawaddy, bandar di negeri Kayin, Myanmar untuk dibawa pulang dengan melintasi sempadan Thailand, 12 Februari 2025. (AFP)

Tekanan China

Pada Februari, selepas Presiden Xi Jinping menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Paetongtarn, Timbalan Menteri Keselamatan Awam China melakukan lawatan ke Mae Sot, sebagai mesej yang jelas bahawa Beijing tidak bertolak ansur terhadap kelalaian Thailand.

Susulan itu, Polis Diraja Thailand pada 5 Februari lalu mengumumkan siasatan ke atas lima pegawai polis di wilayah Tak yang disyaki memiliki kekayaan mencurigakan.

Mereka termasuk seorang pegawai berpangkat mejar jeneral telah dipindahkan ke Bangkok sementara siasatan dijalankan.

Pada hari sama, pasukan pengawal sempadan pro-junta Tentera Demokratik Buddha Karen (DKBA) menyerahkan 261 warga asing dari 12 negara kepada Thailand.

Walaupun angka tersebut kelihatan besar, ia hanya sebahagian kecil daripada anggaran 17,000 mangsa yang masih terperangkap di pusat-pusat penipuan Myanmar.

DKBA berjanji untuk menghantar pulang 8,000 pekerja asing dari pusat-pusat itu namun dalam masa sama, mereka terus merekrut individu baharu bagi menggantikan mangsa yang dilepaskan.

Mungkin ujian terbesar dalam tekanan diplomatik China adalah sama ada Thailand akan mengekstradisi She Zhijiang, ketua kumpulan pegangan antarabangsa Yatai, yang bekerjasama dengan Ketua DKBA, Saw Chit Thu di Shwe Kokko.

She, yang dilahirkan di China tetapi memegang kewarganegaraan Kemboja ditangkap di Bangkok pada 2022 atas notis merah Interpol. Sejak itu, dia berusaha mengelak diekstradisi ke China.

Beijing mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa She merupakan dalang utama dalam jenayah perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi. Namun, di Bangkok, dia masih mempunyai ramai sekutu yang ragu-ragu dengan bukti tersebut.

Petanda jelas bahawa Thailand akan memberikan kerjasama dapat dilihat pada 12 Februari lepas apabila Jabatan Penyiasatan Khas, cabang penyiasatan Kementerian Kehakiman Thailand mengumumkan ia sedang berusaha mendapatkan waran tangkap terhadap Saw dan dua lagi pemimpin DKBA.

Menurut laporan Bangkok Post, keputusan itu dijangka dibuat pada minggu depan.

Ketika kerajaan Thailand berharap untuk mendapatkan kerjasama daripada tentera Myanmar, Saw menyediakan sumber kewangan penting kepada junta itu di tengah-tengah kejatuhan keseluruhan ekonomi yang sah.

Saw telah lama mempunyai hubungan rapat dengan tentera dan menikmati autonomi yang signifikan di Shwe Kokko sejak beliau berpisah daripada Kesatuan Nasional Karen dan menyertai perjanjian gencatan senjata nasional pada 1994.

Pihak junta pada masa ini sedang berdepan tekanan daripada Beijing untuk mengambil tindakan terhadap pusat penipuan tersebut.

Disebabkan kebergantungan junta dalam aspek ketenteraan, ekonomi dan diplomatik kepada Beijing, mereka mungkin tidak mempunyai pilihan selain menyerahkan Saw.

Junta Myanmar kelihatan menunjukkan mereka bekerjasama pada minggu ini apabila menyekat penghantaran diesel ke pusat penipuan tersebut buat sementara waktu tetapi langkah itu tidak mencukupi di mata Beijing.

abuza-3.jpeg
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra bersalam dengan President China Xi Jinping dalam lawatannya di Beijing, 6 Februari 2025. [Pejabat Jurucakap Kerajaan Thailand melalui AP]

Masa depan ekonomi Thailand

Semua perkara itu sebenarnya berbalik semula kepada sama ada kerjasama Thailand akan terus bertahan lama?

Ini kerana ekonomi Thailand pasca-pandemik masih ketinggalan berbanding negara ASEAN lain.

Jurang ketidaksamaan semakin melebar. Bank Dunia dan Tabung Kewangan Dunia (IMF) meramalkan pertumbuhan ekonomi Thailand pada 2025 sekitar 2.8 peratus hingga 2.9 peratus, separuh daripada Vietnam.

Namun, kadar pertumbuhan tersebut sangat bergantung kepada China sebagai sumber utama pelancong dan pelabur terbesar di Thailand sejak 2023.

Pelaburan China mendominasi sektor pembuatan manakala rakyat republik itu adalah pembeli hartanah asing terbesar di Thailand sama ada pangspuri di Bangkok atau resort di Phuket.

Memandangkan pilihan raya perlu diadakan sebelum pertengahan 2027, Paetongtarn perlu memastikan ekonomi Thailand terus berkembang.

Jika tidak, kerajaan gabungan Pheu Thai mungkin berpecah lebih awal apabila parti-parti mula merancang strategi pilihan raya mereka.

Sama ada Thailand benar-benar akan menutup pusat-pusat penipuan itu atau sekadar bersandiwara, hanya masa yang akan menentukan. Apa yang pasti, tekanan daripada China semakin meningkat — dan kali ini, Bangkok mungkin tiada pilihan selain akur kepada tekanan itu.

Zachary Abuza merupakan profesor di National War College, Washington dan pensyarah jemputan di Georgetown University. Pandangan dalam artikel ini merupakan buah fikiran peribadinya dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, National War College, Georgetown University atau BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.