Selatan Thailand: “Bawa Pulang Ke Tanah Air’’, Langkah Perhubungan Awam atau Tindakan Berkesan Tangani Pemberontakan?
2017.03.03
Yala, Thailand

Sambil dikerumuni wartawan dan kru televisyen, komander tentera paling kanan yang ditugaskan untuk mematahkan pemberontakan di Selatan Thailand, menaiki helikopternya minggu lalu untuk menemui seorang pemberontak, yang dalam pelarian sejak lapan tahun lalu, setelah dia memutuskan untuk menyerah diri dengan memohon hukuman ringan undang-undang sebagai balasannya.
Bagi seorang suspek dengan sekurang-kurangnya empat waran tangkap dikeluarkan terhadapnya, Ahama Duere kelihatan tenang semasa bertemu Leftenan Jeneral Piyawat Nakwanit. Pegawai dan kru media juga melayani Ahama dengan baik dan melemparkan senyuman sambil mereka berjalan bersama-samanya ke helikopter yang menunggu.
Ahama tidak digari. Dia sebaliknya kelihatan seperti seorang daripada wartawan yang mengiringi komander Kawasan Keempat Tentera itu mengadakan tinjauan lapangan.
Pihak yang disasarkan adalah pemberontak yang sedang menimbang sama ada melepaskan perjuangan bersenjata mereka dan menyerah diri dan, sudah semestinya, ibu bapa mereka yang diminta pihak berkuasa tempatan supaya memujuk anak-anak mereka menyerah diri menerusi "Projek Bawa Pulang ke Tanah Air.”
Pemisahan dijadikan ideologi di kalangan penduduk Melayu di kawasan Selatan Thailand yang banyak sejarahnya, dengan itu, ia menjadikan hampir semua lelaki Melayu Islam di kawasan itu sebagai orang yang disyaki atau orang yang bersimpati kepada pihak berkuasa.
Seringkali, bom-bom yang diletakkan di tepi jalan bagi menyasarkan pihak tentera dan polis yang membuat rondaan, tidak diendahkan oleh penduduk tempatan. Ini menunjukkan hubungan yang terjalin di antara penduduk kampung dan para pejuang.
Bagaimanapun, kerajaan Thailand menganggap “Projek Bawa Pulang Ke Tanah Air” sebagai berjaya namun tidak memberikan apa-apa justifikasi bagi menyokong dakwaan itu. Selalunya, pihak berkuasa mengadakan majlis-majlis awam yang menghimpunkan bekas pejuang dan pihak berkuasa untuk menunjukkan kekuatan dan perpaduan dengan mereka saling berpelukan dan berjabat tangan di hadapan pihak media dan penduduk kampung.
Tetapi di kampung-kampung terpencil, pemberontak terus beroperasi dengan bebas terutamanya kerana penduduk kampung menyokong mereka. Mereka bergilir-gilir memasak makanan untuk pemberontak dan kadang-kadang memberikan mereka tempat berlindung sekiranya unit mereka dipindahkan dari kawasan lain atas apa jua sebab.
Risikan kerajaan yang ditambah baik sejak beberapa tahun lalu membawa maksud bahawa ahli-ahli sel terpaksa berpindah, walaupun ke wilayah lain. Kadang-kadang, ini bermakna mereka bergerak jauh dari keluarga dan orang yang disayangi. Langkah sedemikian nyata memberi kesukaran bagi ramai daripada mereka, dakwa Ahama.
Keputusan untuk berhenti daripada kehidupan sebagai pejuang dan kembali kepada kehidupan awam bukanlah suatu yang sukar, tetapi memerlukan mereka mengambil peluang daripada pihak berkuasa Thailand.
Keputusan itu tidak bermaksud pembelotan selagi pemimpin sel dan individu yang mahu meninggalkan perjuangan itu mencapai pemahaman diikuti dengan sumpah bahawa mereka tidak akan mendedahkan identiti rakan-rakan yang masih aktif.
Kemungkinan tindak balas
Melanggar sumpah itu boleh membawa kepada tindakan balas maut.
Bagi pihak Thailand, cabarannya adalah untuk mencari keseimbangan di antara mendapat publisiti dan mendapat liputan penyerahan diri oleh pemberontak .
Pemberontak yang aktif pula berkata bahawa mereka menyedari sepenuhnya bahawa rakyat Thailand yang akhirnya akan menentukan nasib mereka.
Apa yang penting buat mereka adalah untuk terus menambat simpati penduduk Islam Melayu tempatan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan Thailand dengan meneruskan perjuangan mereka untuk mendapatkan tanah air yang berasingan.
Bagaimana kisah konflik ini berkembang bergantung kepada kumpulan pemberontak utama, Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang mengawal hampir kesemua pemberontak di lapangan.
Buat masa ini, pemberontak berkata mereka tidak menganggap orang tengah - sama ada pegawai kerajaan atau badan bukan kerajaan tempatan yang berusaha memujuk pemberontak menyerah diri – sebagai ancaman kepada pergerakan itu.
Senarai hitam
Para penduduk tempatan di sini merasakan bahawa semua orang berada di dalam senarai hitam, dan menyatakan bahawa projek itu sesuatu yang tidak bermakna. Tetapi daripada perspektif ibu bapa, ia adalah satu peluang untuk mengelakkan anak mereka daripada sebarang senarai yang boleh membawa maut. Hampir 7,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya orang Melayu, akibat keganasan berkaitan pemberontakan sejak Januari 2004.
Malah, pihak BRN berkata, mereka tidak terlalu bimbang tentang para pemberontak yang mahu meninggalkan pergerakan itu kerana pergerakan itu tidak memerlukan ramai orang. Dalam "perang luar biasa" itu, apa yang penting ialah pergerakan itu dapat menunjukkan bahawa ia masih boleh menjadi ancaman kepada pihak keselamatan negeri.
Pemerhati yang mengikuti konflik itu dan penduduk Islam Melayu tempatan di wilayah itu tidak meyakini langkah pihak berkuasa itu. Jadi, ini menimbulkan persoalan: apakah tujuan sebenar kempen perhubungan awam itu?
Menurut pembuat dasar, idea di sebalik Bawa Pulang Ke Tanah Air dan apa yang dipanggil perbincangan damai dengan MARA Patani - sebuah organisasi induk pelbagai kumpulan pemisah – adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang yang mengharapkan penduduk tempatan lama-kelamaan akan menjadi bosan dengan keganasan dan membelakangkan BRN dan para pejuang mereka.
Seperti inisiatif keamanan lain, strategi itu bagaikan angan-angan kosong. Beberapa orang pembuat dasar meninjau kembali sejarah dan bertanya apa yang salah dalam hubungan di antara kerajaan negeri dan minoriti Melayu dan mengapa, selepas hampir setengah abad di bawah pemerintahan kerajaan pusat, pemberontakan bersenjata terus meletus dan menghancurkan harapan kedua-dua belah pihak.
Don Pathan adalah perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah daripada penulis dan bukannya BeritaBenar.