Pemberontak Selatan Thailand Dipuji Lakukan Gencatan Senjata Semasa COVID-19

Komentar oleh Don Pathan
2020.04.07
Yala, Thailand
200407-TH-pathan-620.jpg Api masih membakar kenderaan dalam kejadian serangan bom di hadapan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan di Yala, Thailand, 17 Mac, 2020.
[Reuters]

Pemberontak BRN di Selatan Thailand dikenali sebagai kumpulan yang tidak menonjolkan diri, namun kebelakangan ini mereka tampil daripada persembunyian dan berusaha gigih untuk membuktikan kepada dunia bahawa mereka boleh menjadi pelaku bukan negara yang bertanggungjawab.

Pengisytiharan Barisan Revolusi Nasional (BRN) pada 3 April bahawa ia mengambil tindakan untuk menghentikan semua penentangan terhadap tentera Thailand atas alasan kemanusiaan berikutan wabak coronavirus, tidak pernah berlaku dalam sejarah pemberontakan pihak pemisah, dan merupakan contoh terbaru dalam usaha sedemikian.

Pada Januari lalu, BRN yang merupakan pergerakan pemisah yang sejak sekian lama mengawal hampir semua pemberontak di Selatan Thailand, telah menandatangani Surat Komitmen dengan Geneva Call iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang berpejabat di Switzerland.

NGO itu menjalinkan kerjasama dengan kumpulan bersenjata di seluruh dunia untuk menggalakkan mereka mematuhi Konvensyen Geneva, yang mengawal perilaku konflik bersenjata.

Sebulan kemudian, BRN mengeluarkan kenyataan melalui YouTube, di mana ia menggesa penduduk wilayah bergolak itu supaya  mendengar nasihat para petugas perubatan yang berusaha membendung penyebaran wabak COVID-19.

Tindakan kumpulan itu melakukan gencatan senjata adalah selaras dengan rayuan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres kepada pihak yang berkonflik di seluruh dunia supaya melakukan gencatan senjata bagi membantu usaha mengekang penularan virus yang membawa maut itu.

Serangan pihak tentera

Sementara itu, dalam beberapa hari yang lalu, pasukan keselamatan Thailand telah melaksanakan operasi mencari dan memusnah di Ta Se, sebuah daerah kecil dalam wilayah Yala, untuk mengusir sel-sel militan di kawasan tanah lembap luas itu yang diduduki majoriti Muslim selatan. Namun, ia ternyata bukanlah operasi yang mudah bagi pihak Tentera Thailand.

Keadaan berubah apabila munculnya gambar-gambar seorang daripada anggota militan itu yang terbunuh dalam pertempuran tersebut, yang menunjukkan keadaan mayatnya dikerat-kerat; dan pada hari sama juga berlaku dua pengeboman di luar Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) di Yala - amaran tegas daripada pemberontak supaya pihak tentera Thailand mundur.

Sumber dalam pergerakan BRN mendakwa mereka sudah lama tidak bertindak agresif. Sejak coronavirus menular di wilayah sempadan itu, pihak pelaksana operasi BRN berkata pihaknya yang banyak menjadi mangsa serangan bermula dengan pembunuhan lima pemberontak dalam kejadian tembak-menembak di kem mereka di kaki gunung di wilayah Narathiwat pada 23 Feb.

Kemudian, pertempuran berlaku di kawasan tanah lembap Ta Se beberapa minggu berikutnya.

Terdapat kebimbangan bahawa serangan pihak tentera itu boleh menjejaskan proses damai di antara perunding BRN dan kerajaan Thailand yang dilancarkan di Malaysia pada 20 Jan lalu. Namun, walaupun tanpa berlakunya pertempuran di lapangan, perbincangan itu sudah pun goyah.

Sebelum pengumuman rasmi dibuat di Kuala Lumpur pada Januari bahawa perbincangan itu telah dimulakan, sayap politik BRN mengadakan pertemuan berasingan dengan perunding kerajaan Thailand di Indonesia dan Jerman dengan bantuan NGO asing lain.

Kesilapan BRN

Para perunding BRN pergi ke meja rundingan tanpa sebarang maklumat daripada militan di lapangan, dengan beranggapan bahawa  syarat-syarat rujukan adalah satu-satunya perkara yang menjadi perbincangan mereka. Tetapi, Bangkok tidak pernah bersetuju untuk mematuhi syarat-syarat tersebut dengan mana-mana kumpulan Melayu Patani kerana kerajaan Thailand enggan komited.

Perunding Thailand dan sayap politik BRN sepatutnya meneliti deraf tujuh muka surat itu buat suatu tempoh. Namun, kisah mengenai pertemuan rahsia di Indonesia dan Jerman itu telah didedahkan tidak lama kemudian.

Seperti yang dijangkakan, fasilitator rundingan damai itu, Malaysia, berang kerana tidak dimaklumkan langsung tentang pertemuan itu. Sebagai tanda berdamai, Bangkok memutuskan untuk memberi kredit kepada Kuala Lumpur dan memuji para pegawai Malaysia bagi semua usaha yang dilakukan hingga membolehkan rundingan antara kerajaan Thailand dan perunding BRN diadakan pada 20 Jan lalu.

Setakat ini, Kuala Lumpur telah menganjurkan dua pertemuan antara perunding kerajaan Thailand dan sayap politik BRN.

Bagi militan BRN, masalahnya bukanlah berkaitan perbincangan atau kerana tidak memaklumkan para pegawai Malaysia berhubung perkara itu; masalahnya ialah mereka yang berada dalam sayap politik telah memulakan perbincangan tanpa menangani persoalan utama dalam pergerakan itu.

Untuk membetulkan kecuaian yang dilakukan sebelum ke meja rundingan seperti yang berlaku sebelum ini, sekretariat BRN memberitahu ahli-ahlinya supaya memperbaiki hubungan dengan militan yang berjuang di lapangan.

Walaupun begitu, pihak BRN masih gagal melaksanakan naratif baru itu dengan betul. Apakah BRN bersedia untuk menerima sesuatu yang kurang daripada hak untuk ia menentukan nasib sendiri, atau apakah perbincangan itu merupakan batu loncatan ke arah usaha untuk mendapatkan autonomi yang akan disusuli dengan kemerdekaan? Ini adalah beberapa persoalan yang tidak dijawab oleh pihak pemberontak itu.

Dan, ketika sayap politik dan cabang ketenteraan BRN cuba memperbaiki hubungan mereka, coronavirus pula melanda Selatan Thailand. Jumlah jangkitan meningkat dengan ketara selepas beratus-ratus anggota Jemaah Tabligh kembali dari Malaysia dan Indonesia, di mana mereka mengunjungi negara berkenaan untuk menghadiri perhimpunan keagamaan pada awal dan pertengahan Mac.

Kerajaan Thailand berdiam diri

Pada masa ini, kerajaan Thailand belum lagi memberi maklum balas umum mengenai pengisytiharan gencatan senjata BRN.

Mungkin kerana mereka bimbang sebarang kenyataan positif, seperti menyambut baik usaha kemanusiaan kumpulan pemberontak itu, akan membangkitkan kemarahan pemimpin tertinggi kerajaan dan angkatan bersenjata terutamanya Jeneral Apirat Kongsompong, ketua tentera yang amat berkuasa.

Ramai yang menyatakan bahawa beliau menentang inisiatif damai selatan yang sedang diusahakan itu kerana beliau percaya negara itu telah melakukan terlalu banyak kompromi.

Sementara itu di Selatan Thailand, Lt. Jen Pornsak Poolsawat, pemerintah tentera tertinggi di wilayah itu, enggan melihat keganasan dari kaca mata politik. Bagi dirinya, beliau mahu menegakkan undang-undang di wilayah berkenaan.

Tiga bulan lalu, Apirat telah mengetuai satu delegasi ke Indonesia di mana beliau berjaya memujuk rakan sejawatannya untuk bersetuju  menyekat kegiatan BRN di negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia itu.

Beliau juga berjaya mendapatkan persetujuan Gerakan Aceh Merdeka (GAM), pergerakan pemisah yang memeterai perjanjian damai dengan Jakarta pada 2005, untuk bertindak sebagai pemantau rundingan kerajaan Thailand dengan BRN.

Perunding kerajaan Thailand dan pemudahcara di Kuala Lumpur tidak dimaklumkan tentang perkara itu dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang mahu dilakukan Apirat.

Bagi kebanyakan jeneral dalam kalangan pemimpin tertinggi Tentera Thailand, tindakan memberi layanan kepada pergerakan pemisah Melayu Patani sama seperti mereka adalah umpama menelan ubat yang amat pahit, dan mereka enggan berbuat demikian.

Buat masa ini, pihak tentera telah berundur dari kawasan tanah lembap Ta Se tetapi kunjungan tanpa makluman dan melakukan penggeledahan di rumah penduduk atas nama keselamatan negara masih berlanjutan.

BRN mungkin menerima pujian ramai kerana menyahut rayuan setiausaha agung PBB untuk meletakkan senjata semasa wabak global penyakit itu, tetapi pihak pemberontak masih menentang pihak tentera, yang terus berang apabila musuhnya semakin mendapat perhatian dunia.


Don Pathan adalah penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.