Selatan Thailand: BRN Sasarkan Perbincangan Damai
2017.04.12
Bangkok

Dengan peningkatan mendadak serangan keganasan di Selatan Thailand nampaknya belum cukup untuk menggertak kerajaan, kumpulan pemberontak pemisah paling utama di wilayah itu pula mengeluarkan satu kenyataan minggu ini bagi menyuarakan keengganannya menerima proses damai yang sedang diusahakan kini dan mengulangi permintaannya untuk berunding secara langsung dengan Bangkok.
Kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengingatkan rakyat Thailand bahawa proses damai yang penuh bermakna haruslah selari dengan norma-norma antarabangsa, di mana "orang tengah" yang tidak bersikap berat sebelah perlu mengetuai perbincangan itu.
"Mana-mana perbincangan damai mestilah berdasarkan kepada kesediaan kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik dan secara sukarelanya bersetuju untuk mencari penyelesaian," kata BRN dalam kenyataan itu yang dikeluarkan pada Isnin.
Ketika diminta menjelaskan rujukannya bagi "kedua-dua pihak," seorang ahli BRN menjawab, "kerajaan Thailand dan BRN", bukannya MARA Patani, organisasi induk bagi kumpulan pemisah Patani Melayu yang telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan sejak 2015 dalam rundingan damai tidak rasmi yang dikendalikan Malaysia.
BRN mengawal hampir kesemua militan di lapangan, kata ahli berkenaan, dan kumpulan itu menegaskan bahawa Bangkok sepatutnya berurusan secara langsung dengan mereka manakala masyarakat antarabangsa perlu memerhatikan proses itu.
Melangkaui batasan
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan peningkatan mendadak keganasan berkaitan pemberontakan di wilayah majoriti penduduk Islam Thailand di sepanjang sempadan selatan sebagai tindakan membalas dendam bagi kematian dua orang etnik Melayu Islam akibat ditembak, dengan kejadian itu tidak dilaporkan dengan meluas oleh media negara itu.
Pihak militan pemisah nekad mahu memberitahu kerajaan bahawa setiap perbuatan yang melangkaui batasan haruslah dibalas dengan harga sewajarnya.
Suspek pemberontak pemisah, Isma-ae Hama, 28, dan Aseng Useng, 30, telah ditembak mati pada 29 Mac lalu oleh renjer separa tentera yang mendakwa bahawa mereka bertindak demikian kerana mempertahankan diri semasa insiden mengejar sebuah kereta.
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, yang merupakan anak saudara seorang daripada suspek itu, berkata, kedua-dua lelaki itu tidak bersenjata. Kedua-duanya telah keluar dari kenderaan itu, seperti yang diarahkan oleh pegawai-pegawai keselamatan, yang kemudian membawa mereka pergi, sementara dia menunggu di dalam kenderaan itu seperti yang diarahkan. Sejurus kemudian, dia mendengar bunyi tembakan.
Pada hari yang sama, gambar kedua-dua lelaki itu mati kira-kira 50 meter dari kenderaan mereka di sebatang jalan belakang di daerah Rueso, wilayah Narathiwat, telah disiarkan di dalam laman-laman web. Di sebelah mereka terdapat selaras senapang M16 dan sepucuk pistol 9-mm.
Akhirnya, ia adalah tentang kata-kata remaja itu dan pihak berkuasa. Seperti yang dijangka, tiada luahan simpati pun disuarakan masyarakat Thailand yang berada di luar kawasan Selatan Thailand yang penduduknya berbahasa Melayu, terutamanya apabila polis memberitahu bahawa kedua-dua lelaki itu mungkin mempunyai kaitan dengan pembunuhan timbalan ketua kampung penduduk Buddha dan tiga ahli keluarganya pada 2 Mac lalu .
Mengikut sejarah, masyarakat Thailand telah menunjukkan bahawa mereka boleh menjadi kejam terhadap orang yang mencabar naratif mereka.
Militan pemisah Melayu Patani tidak menunggu lama untuk menunjukkan rasa kurang senang mereka terhadap apa yang mereka anggap sebagai perbuatan melangkaui batasan oleh pihak kerajaan.
Keesokannya, kira-kira lima orang pemberontak menaiki sebuah trak pikap, dan menuju ke balai polis daerah Rangae di Narathiwat, dan memulakan serangan dengan menembak sekumpulan pegawai yang sedang beratur dalam perbarisan bagi memulakan tugasan pada hari itu. Akibatnya, seorang pegawai terbunuh dan lima lagi cedera.
Empat hari kemudian, kira-kira 30 pemberontak menyerbu sebuah pos keselamatan di daerah Krong Pinang, wilayah Yala, dan mencederakan sekurang-kurangnya 12 pegawai polis. Dan tidak lama selepas tengah malam 6 April, para pemberontak melakukan berpuluh serangan bom dan melakukan kebakaran khianat, melumpuhkan grid bekalan kuasa serta menyebabkan terputusnya bekalan elektrik di seluruh wilayah ini.
Berakar umbi dalam masyarakat
Peraturan berbincang menerusi teks rundingan tidak wujud di antara kedua-dua pihak yang bertelagah dalam konflik ini. Dalam hal ini, bagaimana seseorang itu menafsirkan "pencabulan" atau "pembunuhan sah" adalah subjektif.
Sumber-sumber puak pemisah berkata, mereka boleh menerima hakikat bahawa pejuang mereka dibunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan kerajaan seperti di medan perang atau dalam keadaan yang mencetuskan pertempuran. Tetapi mereka tidak akan bertolak ansur dengan pembunuhan yang menyasarkan suspek.
Walaupun pemberontak mewajarkan pembunuhan yang menyasarkan kepada orang yang mengintip bagi pihak agensi-agensi keselamatan Thailand, mereka menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh menggunakan rasional dan logik yang sama untuk terus membunuh sesiapa sahaja yang mereka fikir mempunyai kaitan dengan militan pemisah.
Hampir setiap Muslim Melayu di Selatan Thailand tahu tentang mereka yang berada dalam gerakan pemisah, kata seorang ahli kanan BRN.
Dalam hal ini, perbuatan menuduh seseorang "yang dikaitkan" dengan pemberontakan adalah perkara yang paling mudah dilakukan tetapi mustahil untuk disangkalkan. Dalam erti kata lain, jika Isma-ae dan Aseng boleh dibunuh, sesiapa sahaja pun boleh dibunuh.
Rangkaian BRN mempunyai asas sokongan yang kuat daripada masyarakat akar umbi Melayu yang menyediakan ahli-ahlinya dengan sokongan logistik dan berfungsi sebagai mata dan telinga mereka. Pegawai-pegawai Thailand di lapangan menyedari tentang perkara ini tetapi tidak mampu bersuara kerana pembuat dasar di Bangkok yang menguasai naratif di Selatan Thailand.
Bagi para pejuang dan pegawai keselamatan di lapangan pula, cabarannya adalah untuk menentukan siapa yang menjadi sasaran sah. Dan tanpa pusat penjelasan sama di mana kedua-dua pihak boleh merumuskan kaedah perbincangan yang sewajarnya, persepsi tentang “pencabulan” nampaknya akan terus menerus berlaku.
Don Pathan adalah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.