Pemberontak Selatan ‘sambut’ kerajaan baharu Thailand dengan serangan

Rundingan damai di antara pemberontak BRN dan Kerajaan Thailand perlu disambung semula selepas pilihan raya umum dilanda kebuntuan selama beberapa bulan, kata penganalisis Don Pathan.
Komentar oleh Don Pathan
2023.09.14
Pattani, Thailand
Pemberontak Selatan ‘sambut’ kerajaan baharu Thailand dengan serangan Komander Tentera Wilayah Lt. Jeneral Santi Sakuntanark bercakap dengan anggotnya yang menyiasat lokasi kejadian serangan pemberontak yang mengorbankan empat pegawai keselamatan dan mencederakan empat yang lain di Yarang, sebuah daerah dalam wilayah Patani di Selatan Thailand, 29 Ogos 2023.
[BenarNews]

Lewat bulan lalu, pemberontak pemisah mengejutkan pihak keselamatan Thailand dengan melancarkan serangan serentak di beberapa kawasan dalam wilayah sempadan Selatan negara itu, dan kejadian itu berlarutan agak lama berbanding ‘serang dan lari’ yang lazimnya dilakukan mereka.

Serangan bersepadu itu berlaku hanya beberapa hari selepas Parlimen memilih Srettha Thavisin sebagai perdana menteri baharu Thailand, dan kesannya ternyata mengejutkan pihak keselamatan negara itu. Dengan kerajaan baharu akhirnya dapat dibentuk selepas kebuntuan pasca pilihan raya umum yang berlarutan berbulan-bulan lamanya, rundingan damai di antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak utama di wilayah Selatan Thailand, dijangka boleh disambung semula.

Dalam serangan pertama daripada tiga serangan yang dilakukan baru-baru ini di Yarang, sebuah daerah di wilayah Patani, sekumpulan pemberontak didapati menggunakan mesingan M60 - senjata tentera yang memerlukan dua orang untuk mengendalikannya - selain bom tangan.

Empat pegawai keselamatan - dua pegawai polis dan dua anggota keselamatan wilayah - terbunuh dan empat lagi anggota polis cedera semasa pertempuran itu berlaku pada 28 Ogos. Insiden itu berlangsung lebih 10 minit – yang dipercayai dilakukan oleh pemberontak BRN .

Dalam serangan kedua yang dilakukan secara serentak, sebuah kenderaan polis diserang dengan tembakan ketika ia melalui sebuah kuil Buddha. Sementara itu, kira-kira satu kilometer dari situ, satu letupan kuat telah menumbangkan satu tiang utiliti dan asap tebal daripada kejadian itu membolehkan pemberontak melarikan diri dengan mudah, kata seorang pegawai tentera.

Letupan akibat serangan bom di tepi jalan raya selalunya mendahului serangan pemberontak, namun pertempuran yang menyusul kemudian, lazimnya tidaklah berlaku lebih daripada tiga minit, kata pegawai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan wartawan.

"Saya tidak ingat bila kali terakhir M60 digunakan oleh pemberontak pemisah," kata pegawai itu. "Kami tahu bahawa mereka telah mengambil sebahagiannya daripada operasi Pileng," kata beliau, yang merujuk kepada rompakan senjata oleh pemberontak BRN pada Januari 2004, apabila mereka mencuri lebih 350 senjata dari depot senjata batalion tentera di wilayah jiran, Narathiwat.

230914-my-th-don2.jpeg

Perdana Menteri baharu Thailand, Srettha Thavisin, menyampaikan ucapan dasarnya di Parlimen, Bangkok, 11 Sept. 2023 [AP]

Apa yang amat membimbangkan mengenai serangan di Patani pada 28 Ogos lalu ialah adanya beberapa rakaman video di tempat kejadian, dan rakaman itu dihasilkan dari sudut yang berbeza, kata pegawai itu.

Beberapa rakaman itu dirakam dari sudut pemberontak sedang melakukan tembakan; rakaman lain diambil dari sudut yang "selamat" seolah-olah juruvideo yang merakamnya tahu tentang serangan itu sebelum ia berlaku, kata pegawai tersebut.

Pelbagai rakaman itu dimuat naik dalam media sosial, namun ia kemudian segera dipadamkan seolah-olah mahu mengaburi asal-usul video itu dan menyukarkan pihak penyiasat.

'Srettha nampaknya tidak ambil peduli'

Beberapa aktivis di wilayah ini seperti Artef Sohko, presiden The Patani, sebuah kumpulan tindakan politik yang memperjuangkan hak untuk menentukan nasib sendiri bagi penduduk di wilayah yang menjadi pertikaian sejarah itu, melihat serangan bersepadu itu sebagai cara BRN untuk "menyambut" kerajaan baharu.

Dalam erti kata lain, ia adalah petunjuk bahawa sesuatu akan berlaku untuk kerajaan yang baru ditubuhkan Srettha, yang dalam ucapan dasarnya di Parlimen pada minggu ini, menggesa kepada rakyat Thailand – tanpa mengira etnik, agama dan ideologi mereka – supaya dapat hidup dalam harmoni.

Beliau tidak langsung menyatakan dengan terperinci atau menyebut tentang Selatan, di mana lebih 7,300 orang telah terbunuh akibat keganasan yang berkaitan dengan pemberontakan di wilayah sempadan itu dengan kebanyakan penduduknya adalah Melayu Islam, sejak awal 2004.

"Srettha nampaknya tidak ambil peduli tentang konflik di wilayah Patani dan beliau dikelilingi oleh mereka yang tidak mahu proses damai menjadi agenda nasional kerana ini boleh membawa konflik itu ke peringkat antarabangsa," kata Asmadee Bueheng, seorang penulis yang berpejabat di Patani dan menulis tentang “Rawang Tang Satha” (“On the Path of Faith”) yang diterbitkan pada Mac 2023.

"Peringkat antarabangsa bermakna adanya campur tangan luar dan Thailand tidak pernah mahu itu berlaku," kata Asmadee.

Konflik dan pemberontakan di wilayah Selatan termasuk rundingan damai, yang Malaysia menjadi perantara kerajaan Thailand dan BRN, sebahagian besarnya tidak diendahkan oleh parti-parti politik Thailand.

Ini termasuklah parti Melayu tempatan, Prachachat, yang menunjukkan prestasi baik pada pilihan raya umum yang diadakan pada 14 Mei. Dengan berkempen atas platform yang menekankan identiti Muslim tempatan, parti itu memenangi sembilan daripada 14 kerusi Parlimen yang mewakili wilayah itu.

Apabila menyedari adanya ruang selamat buatnya, Prachachat menggunakan unsur Islam dan memberi perhatian kepada minoriti agama di wilayah itu, seperti dengan mengecam Kerajaan Thailand yang menghalalkan ganja atas dasar moral. Tetapi, parti itu menjauhkan diri daripada proses damai dan isu-isu bagi mencari penyelesaian konflik.

Namun, ini sukar menyakinkan masyarakat umum Thai, yang boleh bersikap buruk kepada mereka yang mencabar naratif dan identiti yang dibentuk oleh kerajaan Thailand. Ramai yang melihat keengganan minoriti Melayu Islam untuk menerima identiti Thai, sebagai cabaran langsung kepada kenegaraan Thailand.
230914-my-th-don5.jpeg
Seorang wanita sedang mengundi di pusat mengundi pilihan raya umum di Patani, Selatan Thailand, 14 Mei 2023. [Tuwaedaniya Meringing/AFP]

Menurut sumber yang dikatakan menerima maklumat, pemimpin Parti Prachachat, Thawee Sodsong, yang merupakan menteri kehakiman yang baharu, telah ditawarkan untuk menjadi pengerusi jawatankuasa pemandu yang menyelia proses damai itu, walaupun sehingga kini beliau berdiam diri mengenai perkara itu. Pada masa lalu, jawatan itu disandang oleh perdana menteri Thailand.

Thawee mempunyai sejarah panjang di wilayah Selatan, di mana beliau berkhidmat sebagai setiausaha agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) pelbagai agensi semasa pemerintahan Yingluck Shinawatra, yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada Mei 2014. Beliau juga merupakan arkitek bagi proses damai di antara kerajaan Thailand dan BRN, yang dilancarkan di Kuala Lumpur kira-kira sedekad lalu.

Sekiranya Thawee menerima jawatan itu, ia bukanlah laluan yang mudah dan lancar buatnya.

Nampaknya ada harga yang perlu dibayar kerana hubungan baiknya dengan keluarga politik Shinawatra. Ia meletakkan beliau pada kedudukan lain dalam jurang politik tentera yang konservatif. Prachachat mungkin sebahagian daripada gabungan kerajaan baharu Srettha, yang merangkumi parti pro-tentera, tetapi jurang politiknya masih wujud.

Malah, pihak tentera Thailand tidak pernah bersetuju dengan idea mengadakan rundingan dengan pemberontak kerana mereka percaya bahawa langkah ketenteraan boleh menamatkan pemberontakan Selatan Thailand yang sudah lama berlarutan.

Seperti mana Kementerian Luar Negeri, pihak tentera lebih suka melabelkan gerakan pemisah sebagai organisasi jenayah. Pada pendapat mereka, penerimaan politik yang mendasari keganasan hanya akan membantu menghalalkan gerakan pemisah.

Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan dan pembangunan bagi organisasi antarabangsa yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.