Komander Tentera Baru Di Selatan Thai Berdepan Beban Tugas
2018.10.03
Yala, Thailand

Komander Wilayah Angkatan Keempat yang baru dilantik, Lt. Jen. Pornsak Poonsawas, melakukan kunjungan rasmi ke atas Sheikhul Islam bagi memperkenalkan dirinya sebelum mengambil alih jawatan itu, dengan beliau berusaha menangani pemberontakan yang berlaku di wilayah-wilayah yang didiami penduduk Melayu di selatan Thailand.
Walaupun sebahagian besar konflik pemisah hanya berlaku di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Islam di selatan Thailand, kunjungan Pornsak ke kediaman tokoh Islam paling kanan di negara itu dilihat sebagai langkah simbolik dan tanda muhibah.
Komander terdahulu, Lt. Jen Piyawat Nakwanich, telah meninggalkan banyak beban kepada Pornsak. Beliau nampaknya perlu menangani dan membersihkan keadaan huru-hara yang ditinggalkan Piyawat.
Ramai pemerhati termasuk anggota-anggota bawahannya melihat cara tegas Piyawat sebagai tindakan produktif dalam melaksanakan strategi Thailand dalam menangani pemberontakan di wilayah yang terus bersengketa sejak sekian lama di mana kira-kira 7,000 orang, kebanyakannya umat Islam, terbunuh sejak Januari 2004.
Piyawat nampaknya tidak mengambil peduli bahawa pendekatannya itu sebenarnya membentuk jurang yang semakin meruncing di antara pihak kerajaan Thailand dan dan penduduk Melayu tempatan yang beragama Islam terutamanya dalam kalangan aktivis politik muda dan penyokong hak asasi manusia, yang sentiasa menggesanya supaya menangani langkah-langkah keselamatan yang kontroversi dan keterlaluan.
Beberapa hari menjelang persaraan wajibnya, Piyawat mengerahkan kira-kira 1,000 anggota pasukan gabungan polis dan tentera untuk menjalankan operasi bersepadu di dua kampung (kelompok desa) di daerah Nong Chik di Patani, selepas satu unit rondaan diserang pada 11 Sept lalu. Dua anggota tentera terbunuh dan empat lagi cedera ketika semangat semakin merosot dalam kalangan anggota tentera.
Piyawat menempatkan kampung-kampung itu di bawah "Kawasan Kawalan" yang membolehkan pihak tentera dan polis menggeledah rumah dan menahan sesiapa sahaja yang mereka rasa patut ditahan. Keadaan itu berlanjutan selama beberapa hari hingga mencecah hampir seminggu.
Beliau turut menyuarakan cadangan untuk mengenakan pertuduhan terhadap ahli keluarga suspek pemberontak sekiranya pasukan tentera mendapati mereka melindungi pemberontak tersebut.
Dengan Undang-undang Darurat negara itu memberikan kuasa kepadanya untuk mengambil langkah-langkah tambahan, tindakan yang dilakukan ke atas kedua-dua kampung di daerah Nong Chik itu telah menimbulkan masalah besar, yang dari aspek politik, dilihat boleh membebankan penggantinya iaitu Pornsak.
Persekutuan Pelajar dan Pemuda Patani (PerMAS) membalas tindakan itu dengan menghantar sejumlah besar aktivis muda ke daerah Nong Chik sebagai sebahagian daripada latihan untuk mendekati penduduk setempat, yang kebanyakannya memberitahu bahawa mereka terlalu takut untuk meninggalkan rumah masing-masing. Malah, mereka juga takut untuk ke mengunjungi masjid kampung bagi menunaikan solat kerana bimbang ditangkap secara semberono.
PerMAS, rangkaian politik pelajar yang memperjuangkan hak bagi menentukan nasib sendiri di wilayah bergolak itu, mengeluarkan kenyataan yang mengutuk langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan Piyawat atas alasan kemanusiaan, dan menggesa supaya ditamatkan penggunaan Undang-undang Darurat.
Undang-undang Darurat Thailand membenarkan penahanan seseorang sehingga 30 hari tanpa pendakwaan secara rasmi atau diwakili secara undang-undang. Ia juga memberi kuasa mengambil tindakan kepada pegawai yang bertugas di wilayah itu, dengan mangsa berdepan beban untuk membuktikan bahawa pegawai berkenaan telah bertindak dengan niat jahat.
Para penyokong Piyawat pula mengadakan protes dengan membawa sepanduk-sepanduk yang tertera kata-kata kesat terhadap aktivis belia itu dan mengutuk Prince of Songkhla University kerana melahirkan pelajar-pelajar yang bermasalah.
Kata-kata yang tertera pada sepanduk itu antara lain mempersoal mengapa PerMAS mempertahankan "penjenayah." Para penyokong itu juga membuat laporan kepada polis tempatan dengan menuduh aktivis berkenaan telah bertindak untuk menghalang keadilan.
Ahli-ahli PerMAS memberitahu bahawa mereka tidak mahu melayani perbuatan beberapa nasionalis Buddha yang mempunyai agenda penuh muslihat.
Bagi menunjukkan tindakan protes selama 90 minit itu dilakukan oleh mereka dari kalangan pelbagai budaya, pihak penganjur tersebut turut membawa segelintir penunjuk perasaan beragama Islam, kata ahli-ahli PerMAS.
Universiti berkenaan pula membalas kritikan itu dengan sepucuk surat terbuka yang menyatakan penentangannya terhadap kumpulan ultra-nasionalis di mana para pemimpinnya menyokong kempen bagi mengharamkan pemakaian tudung yang menutup aurat di sekolah-sekolah awam.
Dalam pada itu, sekumpulan nasionalis Buddha terus menggesa hospital wilayah di Yala supaya menubuhkan sebuah dapur Buddha berasingan, selain daripada dapur halal yang sedia ada. Mereka menyatakan kesaksamaan dan keadilan perlu dilaksanakan dan menyuarakan rasa bimbang sekiranya umat Islam mengambil kesempatan terhadap ruang budaya dan identiti mereka.
Anggota-anggota tentera pula berpendapat bahawa tempoh penyandangan jawatan Pornsak akan sarat dengan usaha bagi mendapatkan perdamaian, atau sekurang-kurangnya mengambil langkah ke arah tujuan itu, di antara pihak kerajaan dan penduduk Melayu.
Don Pathan ialah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.