Usaha gencatan senjata ketika Ramadan di selatan Thailand musnah

Gelombang keganasan bermula selepas beberapa hari perantara damai Malaysia sampaikan tuntutan balas pemberontak BRN kepada kerajaan Thailand, tulis penganalisis Don Pathan.
Komentar oleh Don Pathan
2025.03.17
Bangkok, Thailand
Usaha gencatan senjata ketika Ramadan di selatan Thailand musnah Anggota tentera melakukan pemeriksaan menggunakan anjing pengesan di sepanjang landasan kereta api selepas insiden letupan maut di wilayah Songkhla, selatan Thailand, 6 Disember 2022.
[BenarNews]

Dalam konflik di Selatan Thailand, mungkin tiada rundingan damai berlaku dalam masa terdekat tetapi tindakan keganasan masih berterusan.

Peningkatan keganasan di wilayah sempadan sejak kebelakangan ini merupakan satu peringatan bahawa pendirian kerajaan Thailand yang tidak berkompromi dalam rundingan damai dengan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) perlu dibayar dengan harga yang tinggi.

Bermula pada malam 8 Mac, pejuang pemisah melancarkan siri serangan yang menyebabkan enam orang terbunuh hingga 10 Mac.

Keganasan berlaku hanya beberapa hari selepas fasilitator Malaysia Mohd Rabin Basir mengemukakan tuntutan balas BRN untuk gencatan senjata ketika bulan Ramadan kepada pihak Thailand.

Tuntutan balas tersebut termasuk pembebasan tahanan BRN, mengurangkan tempoh gencatan senjata kepada 15 hari, melantik pasukan pakar antarabangsa untuk memantau gencatan senjata dan membenarkan NGO tempatan memainkan peranan dalam melaksanakan inisiatif ini.

Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menolak kesemua tuntutan tersebut, dengan menegaskan bahawa BRN perlu menunjukan niat baik mereka dengan menghentikan serangan sepanjang bulan Ramadan.

Rundingan tidak langsung gagal

Usaha diplomasi untuk membolehkan kedua-dua pihak bersetuju dengan gencatan senjata bermula pertengahan Februari apabila Ketua Majlis Keselamatan Negara, Chatchai Bangchuad bertemu dengan ketua perunding BRN, Anas Abdulrahman di Malaysia untuk membincangkan cadangan NSC termasuk mengenai gencatan senjata ketika Ramadan.

THAILAND2.jpg
Anas Abdulrahman (tengah), ketua panel yang mewakili kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) bersama anggota delegasi rundingan damai dengan kerajaan Thailand bercakap pada sidang media di Petaling Jaya, berhampiran Kuala Lumpur, 3 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Chatchai dilantik sebagai ketua perunding bagi rundingan damai oleh kerajaan Perdana Menteri Srettha Thavisin.

Namun, kedudukannya secara automatik tamat selepas Mahkamah Perlembagaan menggugurkan Srettha dan kerajaannya.

Pada 28 Februari, NSC mengeluarkan kenyataan mengatakan agensi mereka dan Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri wilayah akan berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi mewujudkan kedamaian sepanjang Ramadan ini.

"Kerajaan akan menyesuaikan misi untuk memberi tumpuan kepada operasi damai dan kemudahannya sebagai prinsip utama supaya rakyat dapat mengamalkan aktiviti keagamaan mereka sepenuhnya di kawasan tersebut,” kata NSC dalam kenyataan tersebut.

Menurut sumber BRN yang tidak mahu namanya disiarkan, Thailand menganggap kenyataan pada 28 Februari sebagai pengisytiharan gencatan senjata unilateral bagi Ramadan tahun ini.

Sumber itu mencadangkan adalah lebih baik bagi BRN untuk melakukan perkara yang sama.

Bagaimanapun, usaha rundingan ini sebenarnya bermula lebih awal, menerusi kenyataan awam pada Disember 2024 oleh Nikmatullah Seri, seorang anggota kanan pasukan perunding BRN, yang mengkritik kerajaan Thailand kerana melengah-lengahkan rundingan damai.

Nikmatullah menyatakan bahawa BRN bersedia untuk menarik diri daripada proses damai dan menarik balik keputusan kumpulan itu untuk berunding dengan Bangkok berdasarkan perlembagaan Thailand.

Pegawai BRN berkata penyelesaian konflik, termasuk gencatan senjata Ramadan, perlu dibincangkan dengan perunding ketua kerajaan yang baharu, yang masih belum dilantik oleh kerajaan Thailand.

Bagaimanapun, Phumtham memberitahu pemberita pada 12 Mac bahawa ketua perunding baharu untuk rundingan damai dengan BRN tidak akan dilantik sehingga pelan strategik komprehensif bagi wilayah selatan yang bergolak diselesaikan dirangka.

Menurut seorang pegawai Thailand yang terlibat dalam penyelesaian konflik di Selatan, kerajaan tidak akan melantik pasukan perunding baharu sehingga BRN mengurangkan keganasan.

BRN berkata, menuntut mereka meletakkan senjata sebelum duduk di meja rundingan adalah seperti "minta tanduk pada kuda" iaitu meminta sesuatu yang tidak mungkin diperoleh.

Pengurangan keganasan adalah sesuatu yang perlu dirundingkan, sebaik-baiknya dengan perunding yang dilantik oleh kerajaan, kata BRN, menurut pegawai Thailand tersebut.

Hentikan pemerhati antarabangsa

Phumtham juga merancang untuk menghentikan penglibatan pakar keamanan dan konflik antarabangsa dari negara lain daripada terus memantau rundingan peringkat tinggi antara Thailand dan BRN, kata sumber Thailand tersebut.

Selain itu, saluran pintu belakang akan dihapuskan sekali gus menyingkirkan peranan NGO antarabangsa.

Pemerhati proses damai berkata mereka tidak terkejut mengapa BRN menolak cadangan yang dikemukakan oleh Thailand pada 18 Februari.

Menurut Artef Sohko, presiden The Patani, sebuah kumpulan aktivis politik yang memperjuangkan hak penentuan nasib sendiri untuk rakyat di wilayah yang bersejarah itu, Thailand sentiasa cuba menggunakan gencatan senjata semasa Ramadan untuk kepentingan politik jangka pendek.

BRN merasakan bahawa Thailand menggunakan rundingan damai sebagai satu cara untuk mengumpulkan maklumat perisikan supaya mereka boleh memburu pemimpin-pemimpin BRN pada masa akan datang, kata Artef.

THAILAND3.jpg
Seorang pegawai dan anggota pasukan pemusnah bahan letupan memeriksa kawah yang terbentuk akibat letupan bom di bawah landasan kereta api yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga pekerja di wilayah Songkhla, selatan Thailand, 6 Disember 2022. [BenarNews]

Sejarah ketidakpercayaan

BRN berkata mereka masih ingat bagaimana Tentera Thailand memperlekehkan gencatan senjata unilateral mereka semasa pandemik COVID-19 sebagai respon terhadap seruan gencatan senjata global oleh Setiausaha Agung PBB, António Guterres.

Thailand terlepas peluang tersebut apabila ia sepatutnya membalas niat baik BRN dan membina kepercayaan itu, kata Artef.

Sebaliknya, tentera Thailand di selatan melancarkan operasi mencari dan memusnahkan dan memburu pejuang BRN yang bersembunyi di kampung halaman mereka semasa gencatan senjata unilateral.

Apa yang mengejutkan bagi kebanyakan pegawai keselamatan ialah walaupun dikepung dalam nisbah 60 hingga 70 tentera bagi setiap seorang pejuang, hampir kesemua mereka memilih untuk bertempur hingga mati daripada menyerah diri, walaupun peluang untuk hidup hampir tiada. Sejumlah 60 pejuang BRN terbunuh dalam pertempuran antara awal 2020 hingga awal 2022.

Namun, tiada sebarang kemajuan daripada episod singkat semasa Ramadan 2022. Sejak itu, BRN enggan melayan cadangan Thailand untuk gencatan senjata pada Ramadan kerana mereka melihatnya sebagai sesuatu untuk kepentingan umum Thailand semata-mata.

Walaupun Ramadan membawa makna keagamaan untuk umat Islam di seluruh dunia, orang Melayu Patani diingatkan tentang pembunuhan berdarah Tak Bai, satu insiden ketika Ramadan pada Oktober 2004, apabila 78 pemuda Melayu Muslim mati sesak nafas di dalam trak tentera Thailand, di mana mereka diikat dan disusun seperti kayu balak selepas ditangkap semasa ketika tunjuk perasaan.

Tujuh lagi ditembak mati oleh pasukan keselamatan Thailand di lokasi protes di daerah Tak Bai, wilayah Narathiwat.

Ketika tinggal beberapa bulan sebelum statut had masa 20 tahun tamat, sebuah mahkamah di Narathiwat mendakwa sekumpulan pegawai tentera Thailand atas kematian penunjuk perasaan yang tidak bersenjata.

Namun, pihak berkuasa gagal mengheret mana-mana suspek ke mahkamah dan statut had masa bagi kes itu dibiarkan tamat.

Ramadan telah berlalu lebih dua minggu, namun gencatan senjata masih belum kelihatan apabila pemberontak meningkatkan kempen keganasan mereka untuk memaksa pihak Thailand kembali ke meja rundingan.

Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan yang berpangkalan di Thailand. Pandangan yang dinyatakan dalam ruangan ini merupakan buah fikiran beliau sendiri dan tidak mewakili pendirian BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.