Sikap Baran Pyongyang Menjengkelkan Putrajaya

Keputusan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan jenayah, telah membangkitkan kemarahan negara terasing itu.
Komentar oleh Zachary Abuza
2021.03.23
Sikap Baran Pyongyang Menjengkelkan Putrajaya Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ketika berucap pada kursus untuk ketua setiausaha jawatankuasa parti bandar dan daerah di Pyongyang, dalam foto yang diambil pada 4 Mac 2021 dan dikeluarkan keesokannya oleh Agensi Berita Pusat Korea Utara.
[STR/KCNA VIA KNS/AFP]

Korea Utara pada minggu lalu mengumumkan melalui media negaranya bahawa ia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Keesokannya, Malaysia menyusuli tindakan itu dengan memberi tempoh 48 jam kepada diplomat Korea Utara dan keluarga mereka untuk meninggalkan negara Asia Tenggara tersebut.

Pertikaian dengan Korea Utara itu melibatkan nasib Mun Chol Myong, seorang ahli perniagaan Korea Utara yang ditangkap Malaysia pada Mei 2019 atas permintaan Amerika Syarikat kerana didakwa mengelak sekatan PBB berikutan program senjata nuklear Pyongyang. Mun, yang tinggal di Malaysia sejak 2008, didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan cubaan melakukan pengubahan wang haram.

Setelah gagal dalam semua rayuannya di mahkamah Malaysia pada awal bulan ini, pada 17 Mac lalu Mun dihantar ke Amerika Syarikat di mana dia bakal menjadi rakyat Korea Utara pertama yang akan dibicarakan selepas diekstradisi ke negara itu. Dengan bersetuju untuk menghantar Mun ke AS, Malaysia telah melakukan "jenayah yang tidak boleh dimaafkan," kata Pyongyang.

Kerajaan Korea Utara telah menuntut kerajaan Malaysia supaya campur tangan dengan prosiding mahkamah supaya Mun boleh dibebaskan dan kembali ke Korea Utara. Menurutnya, Mun terlibat dalam perdagangan yang sah dan Amerika Syarikat telah menekan Malaysia supaya menyerahkan lelaki itu kepada negara berkenaan.

Ini adalah tindakan yang merugikan Korea Utara, yang tidak mempunyai ramai sahabat. Negara komunis itu, yang dipimpin oleh Kim Jong Un, kini mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan lebih 160 negara tetapi kebanyakannya hanyalah di atas kertas.

Hanya 24 negara yang menempatkan kedutaan di Pyongyang manakala Korea Utara mempunyai beberapa puluh misi diplomatik di luar negara. Selain melaksanakan fungsi asas diplomasi, kedutaan Pyongyang juga mempunyai peranan penting dalam memperoleh matawang stabil, mengelak sekatan serta memperoleh teknologi dan barang mewah untuk rejim negara itu selain mendokumentasikannya dalam bentuk laporan.

Ia adalah sumber dana yang penting – dengan sebahagian besarnya dilakukan secara tidak sah - untuk kerajaan yang kekurangan tunai dan sentiasa dikenakan sekatan di Pyongyang. Ia berfungsi sebagai alat untuk mengubah "super notes" Pyongyang, iaitu wang kertas AS$100 palsu berkualiti tinggi serta narkotik haram.

Kedutaannya di Malaysia tidak terkecuali berbuat demikian. Ia sudah lama disyaki melakukan kegiatan perniagaan haram dan pengubahan wang haram. Antara lainnya, kedutaan itu membantu dalam pemasaran peralatan komunikasi ketenteraan Korea Utara. Tetapi, apa yang paling penting, kedutaan itu terikat dengan perolehan peralatan komunikasi dan komputer untuk Pyongyang.

Ekstradisi Mun ke AS adalah "amat penting" kerana ahli perniagaan itu merupakan "sebahagian daripada rangkaian aktiviti haram Kim Jong Un," kata David Maxwell, pakar di Yayasan Pertahanan Demokrasi kepada Radio Free Asia, entiti BeritaBenar.

Dan, menurut kertas pendakwaan yang dikemukakan di mahkamah persekutuan AS pada 22 Mac, "Mun mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan utama DPRK iaitu Biro Am Tinjauan, yang menjadi subjek sekatan AS dan PBB."

Pembunuhan 2017

Penutupan kedutaan itu di Malaysia sudah lama tertangguh.

Pada 2017, beberapa ejen Korea Utara telah mengupah dua wanita iaitu rakyat Vietnam dan Indonesia untuk mengambil bahagian dalam pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri diktator Korea Utara itu, dengan menggunakan agen saraf VX di sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Menggunakan agen saraf bertaraf senjata larangan di negara lain adalah satu bentuk tindakan perang. Walaupun beberapa ejen Korea Utara itu dengan pantasnya meninggalkan Malaysia, kerajaan negara Asia Tenggara itu tidak dapat mengambil tindakan lebih agresif terhadap kakitangan kedutaan Korea Utara termasuk suspek pembunuhan Kim kerana Pyongyang telah bertindak menahan diplomat Malaysia dan keluarga mereka di negaranya.

Akhirnya, kesemua sembilan suspek Korea Utara dapat meninggalkan Malaysia. Hanya dua wanita itu yang pernah ditangkap dan dibicarakan, walaupun dalam kedua-dua kes itu, kerajaan Malaysia akhirnya menggugurkan kesemua pertuduhan terhadap mereka.

Walaupun kedua-dua negara itu memanggil pulang duta masing-masing, sebahagian besar ketegangan diplomatik sudah dapat dikendurkan. Justeru itu, mengapa Pyongyang memburukkan lagi keadaan? Tindak balas yang melampau berhubung tindakan ekstradisi itu jelas ketara.

Jawapan terbaik adalah ia menunjukkan betapa pentingnya pengubahan wang haram kepada rejim negara itu. Mun, yang merupakan pengendali berpengalaman dengan hampir 20 tahun melakukan pengubahan wang haram, memperoleh barangan mewah dan teknologi, adalah orang penting bagi memastikan keluarga Kim terus berkuasa.

Dari aspek individu, sekiranya Mun merundingkan tawaran pengakuan dengan pendakwa AS, dia boleh membantu merungkai butiran penting bagi kerajaan Amerika Syarikat dalam memahami bagaimana Korea Utara mendapatkan dana untuk membiayai negaranya, memperoleh teknologi tinggi dan mengelak sekatan.

Tetapi, ekstradisi Mun membawa kebimbangan yang lebih besar bagi Pyongyang. Korea Utara adalah negara penjenayah, bukan kerana ia menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran, tetapi hakikatnya, ia dapat bertahan dengan melakukan jenayah.

Sejak beberapa tahun lalu, penggodam Korea Utara telah mencuri kira-kira $670 juta dalam bentuk mata wang dan mata wang maya termasuk $81 juta dari bank pusat Bangladesh. Penipuan siber adalah terlalu besar.

Dan, ekonomi pula terjejas teruk. Dalam ucapannya pada Oktober lalu, Kim Jong Un menangis dan mengakui berlakunya kemerosotan ekonomi, "cabaran besar", dan "bencana yang belum pernah berlaku sebelumnya."

Ini menjadikan langkah mengelak sekatan dan pengimportan barangan mewah sebagai amat penting bagi Kim: ia adalah cara beliau membeli kesetiaan untuk rejimnya.

Kepentingan geopolitik

Pentadbiran baru di Washington perlu meningkatkan sekatan jika ia mahu memaksa Korea Utara kembali ke meja rundingan.

Penguatkuasaan sekatan itu, yang menerima sokongan meluas antarabangsa, amat menggerunkan sebelum ini tetapi ia semakin longgar selepas sidang kemuncak antara Presiden Trump dan Kim pada Jun 2018 di Singapura.

Selepas kegagalan sidang kemuncak Hanoi pada Februari 2019, sekatan itu tidak pernah dikuatkuasakan kembali sepenuhnya dengan negara-negara seperti Malaysia bersedia untuk meneruskan perdagangan pada tahap rendah dan membenarkan Korea Utara melakukan aktiviti komersial.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan China mempunyai banyak isu perbalahan, seperti yang disaksikan dalam pertemuan dua hala minggu lalu di Alaska. Kuasa-kuasa besar yang saling bersaing itu amat memerlukan isu yang membolehkan mereka untuk bekerjasama.

Korea Utara, bagaimanapun, bukanlah satu daripada isu itu. Beijing akan kerugian besar sekiranya Pyongyang tumbang. Ini bermakna Amerika Syarikat yang kini ditadbir Biden tidak mempunyai pilihan selain menyasarkan operasi Korea Utara di 45 negara lain di mana diplomat rejim itu melakukan pengubahan wang, mengedar dadah dan mengelak sekatan.

Korea Utara dijangka bertindak balas dengan cara yang ia tahu: melalui provokasi. Korea Utara telah melakukan ujian senjata nuklear sebanyak enam kali sejak 2006 termasuk empat daripadanya semasa pimpinan Kim Jung Un. Kita mungkin melihat ujian peluru berpandu dilakukan semula oleh Korea Utara setelah ia dikurangkan pada 2020.

Korea Utara merupakan cabaran besar bagi setiap presiden AS, dan keadaan itu tidak mungkin berubah bagi pentadbiran Biden walaupun dengan peningkatan sekatan ke atas Pyongyang. Negara-negara seperti Malaysia, di mana rakyat Korea Utara dapat melakukan operasinya tanpa hukuman, akan menjadi penentu utama bagi penguatkuasaan sekatan itu.

Zachary Abuza ialah profesor di National War College dan professor adjung di Georgetown University di Washington. Pendapat yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.