Filipina: Pangkalan IS Muncul di Asia Tenggara?

Komentari oleh Rohan Gunaratna
2017.01.30
170130-sea-gunaratna-620.jpg Tentera Filipina melepaskan menembak meriam keatas militan Islam di wilayah Lanao del Sur, Mindanao, 27 November 2016
AFP

Kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) telah berkembang di luar kawasan Iraq dan Syria sejak pengisytiharan "khalifah" pada 29 Jun, 2014. Lebih separuh daripada 50,000 pejuang asing yang bertempur di Iraq dan Syria telah menemui maut. Tetapi naratif IS semakin merebak dan kebudayaan ganasnya kini tersemai di seluruh dunia.

Kini, ancaman di Asia Selatan dan negara-negara Asia Tenggara bukan berpunca daripada pejuang yang patah semangat dan kembali ke tanah air. Sebaliknya, negara-negara ini melihat ancaman berpunca dari dalam, iaitu rakyat mereka sendiri yang terjebak di dalam kegiatan bersenjata dan radikal dengan kerjasama IS. Sebahagian daripada mereka dipengaruhi oleh pejuang asing IS yang menjalankan operasi dari Iraq dan Syria.

Sementara itu, Asia Tenggara muncul sebagai salah satu daripada medan perang IS. IS telah berjaya melancarkan serangan di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Dalam video IS yang disiarkan pada Jun 2016, seorang warga Filipina, Indonesia dan rakyat tempatan Malaysia muncul secara bersama, menggesa orang Islam dalam bahasa ibunda mereka untuk berjuang di Syria atau di Filipina. "Jika anda tidak boleh pergi ke [Syria], berjuanglah dan mara ke Filipina," rakyat Malaysian, Rafi Udin, seorang pejuang IS berkata dalam video selama 20 minit itu.

IS dan penyokongnya kini menganggap Mindanao, di selatan Filipina, sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Di Luar Asia

Dua belas pejuang asing yang beroperasi di Filipina termasuk mereka dari pelbagai negara di Asia dan juga benua lain. Antara pejuang asing yang terbunuh baru-baru ini adalah Nadir Ali Ahmad (alias Abu Naila), seorang warganegara Belize. Bersama-sama isterinya Kadija, rakyat tempatan, Abu Naila terbunuh di Maasim di wilayah Sarangani,  Filipina pada 7 Januari lepas.

Abu Naila menjadi tetamu  kumpulan IS tempatan, Ansar Al-Khilafah Filipina (AKP), sehingga pemimpinnya, Mohammad Jaafar Maguid (alias Tokboy), terbunuh pada 5 Jan di  Angel Beach Resort di wilayah Sarangani. Philippine National Police Jeneral Ronald dela Rosa berkata, Abu Naila "mahu berjuang di Syria, tetapi dia datang ke Filipina untuk berlatih."

Pada April 2016, warga Maghribi Mohammad Khattab, seorang pembuat bom terbunuh di Basilan. Isterinya, rakyat tempatan,  juga didakwa terlibat dalam aktiviti menyokong pengganas, dan telah ditangkap.

"Pengganas Maghribi mahu menyatukan semua kumpula penculik untuk wang tebusan- dengan pertubuhan pengganas antarabangsa," kata Ketua Staf Angkatan Tentera Filipina Hernando Iriberri pada masa itu.

Manakala itu, pemimpin cawangan Filipina IS, Isnilon Hapilon, dilaporkan cedera akibat operasi ketenteraan di Lanao del Sur minggu lepas.

Rekrut

Sementara pasukan keselamatan Filipina sedang meneruskan pertempurannya dengan kumpulan-kumpulan yang berikrar taat setia kepada ketua IS Abu Bakr al-Baghdadi, negara-negara jiran mengambil tindakan dengan menyekat aliran pejuang asing ke Mindanao. Satu siri serbuan pada pertengahan Januari di Malaysia membawa kepada empat tangkapan dan mencetuskan kebimbangan bahawa negeri Sabah di sebelah barat, telah menjadi stesen transit bagi warga dari Asia Selatan dan Asia Tenggara yang mahu menyertai IS Filipina (ISP).

Pihak berkuasa telah berjaya membuat penangkapan pertama, iaitu seorang penjual jam tangan dari Filipina, 31, di Kota Kinabalu, Sabah pada 13 Jan. ISP telah menugaskan lelaki itu untuk merekrut warga Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan kaum Rohingya dan mengajak mereka berlatih di selatan Filipina.

Dr Mahmud bin Ahmed, 37, bekas pensyarah mengenai perbandingan agama di Universiti Malaya telah menawarkan lelaki itu RM4,000 (AS$903) bagi setiap seorang yang direkrut. Mahmud ialah salah seorang daripada beberapa rakyat Malaysia yang kini beroperasi di selatan Filipina.

Turut ditahan di Kota Kinabalu adalah bakal pengantin kepada lelaki Filipina itu, iaitu  seorang wanita Malaysia, 27, dari Selangor yang telah direkrut dua bulan sebelum itu melalui media sosial. Mereka telah merancang untuk terbang ke Sandakan sebelum memasuki Marawi City, Mindanao dengan tujuan untuk menemui Mahmud di Butig, Lanao del Sur.

Penangkapan lain termasuk dua orang jurujual dari Bangladesh di Kuala Lumpur, yang berusia 27 dan 28, yang juga berniat untuk menyertai Mahmud di selatan Filipina.

Peralihan ke kawasan darat

IS mula menembusi kepulauan Sulu, Basilan dan Tawi Tawi di Barat Mindanao melalui Abu Sayyaf. Tetapi, arahan daripada Presiden Rodrigo Duterte kepada komander-komandernya untuk menghapuskan kedua-dua ASG dan IS serta kumpulan yang mempunyai kaitan, menyebabkan kumpulan yang terancam itu beralih pula ke darat.

Kepimpinan ISP berpindah ke Central Mindanao dan bekerjasama dengan IS Lanao, yang diketuai oleh adik-beradik Maute. Dengan pengkalan IS di Basilan dipindahkan ke Lanao del Norte, satu kawasan yang berbeza, yang telah menyebabkan kedudukan Hapilon dan sekutunya menjadi lemah dan terancam.

Pasukan keselamatan Filipina memerlukan sokongan daripada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), sebuah kumpulan yang telah memasuki arus perdana politik tetapi menanti perjanjian damai dengan Duterte. Apa yang penting bagi Filipina ialah untuk terus berusaha mengajak kumpulan yang benar-benar mahukan keamanan supaya kembali ke pihak pentadbiran, dan melawan kumpulan yang ‘keras kepala’ dan tidak bersedia untuk kembali ke pangkal jalam.

Sekiranya konflik berterusan, pejuang asing yang berpengalaman dan yang baru direkrut akan menggunakan Filipina sebagai pengkalan, yang akan mengancam keselamatan dalam negeri serta keselamatan antarabangsa.

 

Pendapat yang disampaikan di dalam komentar ini merupakan pandangan penulis dan bukan daripada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.