Komentar: Rentetan Kisah Hidup Mati Wanndy, Pakar Perekrut IS Malaysia

Komentari oleh Rohan Gunaratna
2017.05.16
wanddy.jpg Muhammad Wanndy Mohamad Jedi (kanan), isteri Nor Mahmudah Ahmad dan seorang kanak-kanak yang tidak dikenali di hadapan bendera Kumpulan militan Negara Islam di lokasi yang tidak diketahui di Syria.
[Ihsan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi]

Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, anggota militan Negara Islam Malaysia paling dikehendaki, adalah seorang perekrut prolifik bagi kumpulan itu dan kehidupan singkat beliau yang penuh dengan pergolakan berakhir bulan lepas apabila terbunuh dalam satu serangan pesawat di Syria.

Ketika terbunuh berhampiran kubu kuat IS di Raqqa pada 29 April, pemuda berusia 26 tahun itu telah membina satu rangkaian pengganti di tanah airnya, dan telah dikaitkan dengan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada 260 orang yang ditahan di Malaysia kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Negara Islam antara 2013 dan 2016, menurut satu laporan.

Polis Malaysia turut menyalahkan Wanndy dan rekrutnya kerana melakukan serangan pengganas pertama IS di tanah air sendiri – menyaksikan letupan sebutir bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan sebuah kelab malam di luar Kuala Lumpur pada Jun 2016, dan Wanndy mengaku bertanggungjawab bagi insiden itu melalui media sosial.

Sejak akhbar Malaysia mula menyiarkan namanya dua tahun lepas kerana penglibatan ketara beliau dalam video penggal kepala seorang lelaki Syria yang ditawan tentera IS, Wanndy muncul sebagai seorang yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia yang berhijrah ke negara khalifah IS yang diisytihar sendiri oleh kumpulan militan itu di Syria dan Iraq.

Kehidupan singkat Wanndy adalah kucar-kacir dan diwarnai dengan kehilangan. Beliau dilahirkan di Durian Tunggal, Melaka, pada 16 Nov 1990, menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, yang melabelnya sebagai Pengganas Global Tentuan Khas.

Bapanya meninggal dunia ketika Wanndy masih kecil dan ibunya terpaksa membesarkan beliau, seorang abang dan dua saudara perempuan sendirian. Sikap panas baran Wanndy menyebabkan dia dibuang sekolah, dan selepas ibunya meninggal dunia akibat leukemia pada 2013, saudara-mara menuduh beliau mencuri barang-barang arwah (ibunya).

Sejak itu, Wanndy yang bukan seorang penganut agama Islam yang warak, sedikit demi sedikit tertarik dengan ideologi radikal yang didukung IS, yang mengisytiharkan negara khalifahnya pada 2014.

Sepanjang hanyut ke dalam orbit radikalisme, penyokong IS dari Malaysia dan luar negara kerapkali menziarahi beliau dan Wanndy kemudian terlibat dalam merekrut ahli baharu serta mengumpulkan wang untuk kumpulan militan itu. Idea untuk berhijrah ke ibu kota negara khalifah IS di Timur Tengah mula mendapat tempat di dalam fikirannya. Wanndy dan isterinya, Nor Mahmudah Ahmad, ke Syria pada akhir bulan Januari 2015; majlis perkahwinan mereka berlangsung di sebuah pekan di sempadan negara Thailand.

Selepas memasuki Syria melalui Turki, Wanndy menerima latihan menggunakan senjata dan menyertai sayap operasi luar IS. Beliau meraih perhatian komuniti perisikan apabila mengambil bahagian dalam video penggal kepala seorang tawanan rakyat Syria. Seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat dalam rakaman itu, Mohd Faris Anuar, terbunuh tidak lama selepas itu dalam satu serangan udara di Iraq pada tahun yang sama.

Sebagai anggota IS, Wanndy membawa senjata api dan bertanggungjawab mengawal keselamatan di Raqqa. Bagaimanapun, menerusi penggunaan komputer meskipun memiliki tahap pendidikan yang lemah, beliau muncul sebagai perekrut IS paling prolifik dari Malaysia di tanah air sendiri. Bermula pada 2016, Cawangan Khas Malaysia menahan secara purata seorang penyokong atau petugas IS yang dikaitkan dengan Wanndy setiap minggu.

Antaranya adik beliau sendiri iaitu Mohamed Danny Mohamed Jedi. Pada April 2016, pihak berkuasa Malaysia menahan Danny di negeri Selangor atas dakwaan beliau telah membenarkan Wanndy menggunakan akaun banknya untuk deposit dan pemindahan wang untuk IS dan perbelanjaan sendiri di Syria.

Cenderung melakukan keganasan di tanah air sendiri

Ketika bergiat cergas, Wanndy menyertai Al Qubro iaitu kumpulan berkaitan IS di Malaysia. Al Qubro telah mempelawa beliau untuk menyertai kumpulan dalam talian mereka kerana menyangka kehadirannya mampu meningkatkan kredibiliti bagi pengumpulan dana dan usaha lain mereka. Bagaimanapun, berbeza dengan ahli kumpulan yang lain, Wanndy menyatakan hasrat untuk melakukan serangan pengganas di bumi Malaysia. Perkara ini tidak dipersetujui oleh pemimpin Al Qubro, dan kedua-dua lelaki mula bertelagah.

Ketika inilah Wanndy mula beroperasi secara bebas. Menggunakan platform dalam talian seperti Facebook dan Telegram, beliau menyebarkan propaganda IS dengan menyasarkan golongan belia di tanah air serta membina satu rangkaian petugas dan penyokong yang mengumpul dana serta merancang serangan di bumi Malaysia.

Selepas merancang serangan bom tangan Jun 2016 di Kelab Malam Movida, Puchong, Wanndy bercakap besar mengenainya dan menjadi terlalu yakin bahawa dia mampu mengulangi kejayaan itu. Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia memberikan respons yang tegas. Mereka mengganggu plot serangan ke atas ibu pejabat polis di Bukit Aman, kompleks kerajaan di Putrajaya dan Kelab Malam Platinum di Johor Bahru.

Sebelum meninggal dunia, Wanndy menjadi begitu terdesak untuk melakukan satu lagi serangan di Malaysia. Beliau menerima tekanan yang teruk daripada IS untuk melancarkan satu lagi serangan pengganas, menurut laporan berita Malaysia. Susulan penahanan adiknya atas pertuduhan berkaitan pembiayaan keganasan, Wanndy juga didakwa menyalah guna wang IS untuk perbelanjaan sendiri dan bagi menyara keluarganya.

Ketika serangan udara menamatkan riwayat Wanndy pada 29 April, beliau meninggal dunia dengan satu visi apokaliptik dalam mindanya dan yakin bahawa dunia sudah berada di akhir zaman. .

Besar kemungkinan Wanndy akan diganti meskipun bukan oleh seorang individu. Mohd Rafi Udin atau Abu Awn Al-Malizi, 51; Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin atau Akel Zainal, 38; Zahar Abdullah, 36; dan Muhammad Fudhail Omar, 25, secara aktif merekrut rakyat Malaysia untuk berhijrah ke Syria selain memberi inspirasi serta menyokong rekrut baharu melancarkan serangan di Malaysia.

 

Rohan Gunaratna adalah seorang Profesor Pengajian Keselamatan di Institusi Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang dan beliau juga mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Singapura. Rohan mempunyai pengalaman menemuramah anggota kumpulan militan Filipina termasuk Abu Sayyaf.

Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pandangan penulis dan bukannya daripada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.