Rundingan damai Thailand jangka PM baharu lantik orang awam sebagai ketua perunding

Srettha Thavisin mungkin akan memilih kalangan bukan tentera untuk mengetuai rundingan di Selatan Thailand, menurut penganalisis Don Pathan.
Komentar oleh Don Pathan
2023.10.27
Rundingan damai Thailand jangka PM baharu lantik orang awam sebagai ketua perunding Perdana Menteri Thai Srettha Thavisin tiba di Rumah Kerajaan di Bangkok, 6 September 2023.
[Sakchai Lalit/AP]

Rundingan damai di antara Thailand dan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) terhenti sepenuhnya pada awal 2023 apabila BRN menyatakan bahawa mereka tidak akan kembali ke meja perbincangan sehingga kerajaan baharu mengambil alih kuasa susulan pilihan raya umum pada Mei.

Perdana Menteri Srettha Tavisin dan jemaah menterinya dilantik pada 5 September selepas perbalahan politik dan kebuntuan pasca pilihan raya yang berlangsung selama tiga setengah bulan. Tetapi, selepas hampir dua bulan memegang jawatan, kerajaan Srettha masih belum mengumumkan siapa yang dilantiknya untuk berkhidmat sebagai ketua perunding mewakili Thailand dalam rundingan yang diuruskan oleh Malaysia itu.

Ia juga tidak jelas sama ada Srettha telah menggantikan Jen. Wanlop Rugsanaoh yang menyandang jawatan itu. Kelewatan itu bukanlah satu taktik tetapi mencerminkan bagaimana pentadbiran ini mengutamakan dasar-dasarnya.

Srettha mempunyai perkara penting lain yang perlu diuruskannya seperti memulihkan kepercayaan asas sokongan parti Pheu Thai miliknya, yang merasa dikhianati oleh perjanjian yang dirangkanya bagi membentuk pakatan pemerintah dengan bantuan bekas seteru tentera yang telah menggulingkan seorang lagi perdana menteri Pheu Thai melalui rampasan kuasa pada 2014.

Oleh itu, adalah penting untuk memberikan suatu gambaran ketuanan awam.

Perdana menteri bersedia untuk melantik kalangan bukan tentera untuk mengetuai pasukan perunding itu. Tiga ketua perunding bagi proses damai selatan sebelum ini merupakan pesara jeneral tentera. Seorang bukan tentera dijangka mengetuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga.

Sumber rasmi berkata pasukan perunding akan melaporkan terus kepada Srettha, yang akan menempatkan kakitangan utamanya dalam peranan itu. MKN tidak mengetuai pasukan itu tetapi akan menyertai wakil daripada agensi kerajaan dan kementerian lain dalam sekretariat.

Dengan pasukan rundingan akan ditempatkan terus di bawah perdana menteri, Parti Prachachat, sebuah parti tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu Islam yang sudah tua yang menganggotai puak Wadah, yang tidak lagi berfungsi, akan menerajui dalam mengawasi dasar untuk mereka di selatan. Mereka akan menerima mandat yang lebih luas daripada pembangunan kepada perdamaian nasional.

231027-TH-MY-Anas.jpeg

Anas Abdulrahman (tengah), ketua panel yang mewakili pemberontak Barisan Revolusi Nasional, semasa rundingan damai dengan Thailand dan rakan perwakilan BRN menyertai sidang media selepas mesyuarat itu di sebuah hotel di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur, 3 Ogos, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Walau bagaimanapun, mengenal pasti istilah untuk kewujudan bersama dalam kalangan etnik Melayu di kawasan sempadan yang bergolak dan seluruh negara yang majoritinya beragama Buddha, bukanlah sesuatu yang mudah.

Ahli-ahli politik Wadah diberi mandat yang sama oleh Perdana Menteri ketika itu Thaksin Shinawatra yang, hampir sejurus selepas berkuasa pada 2001, membubarkan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan yang berbilang agensi supaya rakyatnya mempunyai “tangan” yang lebih bebas untuk menangani wilayah itu.

Tetapi kerajaan Thaksin, Pheu Thai, terkesan dengan kemunculan generasi baharu pejuang pemisah Melayu Patani selepas hampir sedekad agak tenang.

Pada mulanya, Thaksin melabelkan mereka sebagai "penyamun burung" dengan menegaskan bahawa ideologi pemisah Melayu Patani adalah perkara yang sudah lama berlalu. Tetapi, kerajaannya tidak dapat menafikan asas politik operasi mereka apabila, pada 4 Januari 2004, berpuluh-puluh orang pemberontak BRN menyerbu bersama satu batalion tentera dan melarikan beratus-ratus senjata tentera dari depoh senjata di pangkalan.

Sejak itu lebih 7,300 orang telah terbunuh akibat keganasan berkaitan pemberontakan.

Inisiatif keamanan diwujudkan dan dimansuhkan namun tiada satu pun yang menjana daya tarikan mencukupi untuk menolak perbincangan di luar langkah membina keyakinan atau CBM – tidak pun selepas BRN, kumpulan yang mengawal hampir semua pejuang di lapangan, datang ke meja rundingan pada awal 2020.

Selagi sesiapa masih ingat, ahli Prachachat suka menyalahkan tentera bagi hampir semua perkara, iaitu dari peringkat penyalahgunaan kuasa dan persediaan berat dalam memerangi pemberontakan operasi, untuk menghalang kemajuan dan pembangunan di rantau yang mempunyai banyak tuntutan ini.

Tetapi, mereka enggan membela rakyat sendiri yang menentang kerajaan ketika itu, Thaksin dan tentera semasa dua insiden berdarah - pembunuhan beramai-ramai Tak Bai dan Krue Se. Kebuntuan masjid pada April dan Oktober 2004 masing-masing telah menjejaskan populariti mereka di kalangan pengundi.

Menurut Daungyewa Utarasint, penolong profesor di kampus Universiti New York di Abu Dhabi, kalangan ahli politik Wadah telah dipinggirkan di kawasan mereka selama hampir 15 tahun. Mereka dapat membuat kemunculan semula pada 2018 dengan bantuan Kol Polis Tawee Sodsong yang merupakan sekutu politik rapat Thaksin. Secara bersama-sama, ahli-ahli politik Wadah ini membentuk Parti Prachachart.

Artef Sohko, presiden The Patani, sebuah kumpulan tindakan politik yang memperjuangkan hak untuk keazaman untuk penduduk di bahagian selatan, berkata memori insiden Tak Bai dan Krue Se masih lagi terbayang dalam ingatan penduduk tempatan yang masih belum boleh menerima kekejaman ini.

“Menyalahkan Tentera untuk semua masalah di rantau ini adalah cara Wadah mengetepikan diri mereka daripada sebarang tanggungjawab. Mereka lebih mementingkan untuk kekal berkuasa berbanding membawa keadilan kepada rakyat mereka,” kata Artef.

“Keadilan kepada mereka adalah terutamanya mengenai pembangunan ekonomi. Mereka lupa bahawa ia juga tentang maruah manusia,” tambah Artef.

TH-Pathan-south-3.JPG

Pakar forensik Thailand meneliti tapak di mana sukarelawan pertahanan kampung dibunuh oleh pemberontak yang disyaki pemisah di wilayah Yala, selatan Thailand, 6 November 2019. [Surapan Boonthanom/Reuters]

Rundingan boleh menjadi tugas yang berpanjangan kerana pasukan Thailand dihalang oleh politik negara yang tidak membenarkan mereka membuat sebarang konsesi bermakna kepada pemberontak atau kepada orang Melayu Patani, kalangan penduduk yang menerima naratif sejarah dan budaya yang sama sekali berbeza daripada naratif negara Thailand.

Bagi lelaki muda yang berjuang menentang negara itu, menurut penulis tempatan Asmadee Bueheng, objektif politik mereka tidak boleh dibawa berunding.

“Orang awam mempertaruhkan nyawa mereka untuk itu dan akan terus melakukannya untuk masa hadapan yang boleh dijangka. Thailand perlu belajar bagaimana menangani nilai suci ini yang tidak boleh dikompromi,” kata Asmadee.

Hari ini, dengan adanya kerajaan yang diterajui orang awam, nampaknya menarik untuk mempercayai bahawa perubahan itu tidak dapat dielakkan. Adalah diharapkan topik yang lebih bermakna akan sampai ke meja rundingan dan menjana ruang sosial-politik yang lebih besar untuk orang Melayu di bahagian Selatan, yang boleh membawa kepada perdamaian.

Tetapi, keyakinan seperti ini bersandarkan pada andaian bahawa pemimpin awam memahami sifat konflik dengan lebih baik berbanding tentera yang telah menguasai politik nasional negara selama lebih daripada dua dekad yang lalu.

Pemimpin awam mungkin mempunyai hubungan yang lebih baik dengan organisasi masyarakat sivil (CSO). Tetapi, jika dua dekad yang lalu memberitahu kita mengenai pelbagai perkara, sama ada mengenai pemimpin politik mahupun pemimpin tertinggi negara yang tidak mempunyai kemahuan politik untuk mendorong perubahan sebenar.

Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan dan pembangunan bagi organisasi antarabangsa yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.