Selatan Thailand: Pembunuhan Enam Anggota Tentera Resahkan Pasukan Keselamatan

Komentari oleh Don Pathan
2017.05.05
Pattani, Thailand
170503-TH-pathan-620.jpg Sami Buddha mengetuai perarakan membawa keranda renjer Tentera Thailand yang terbunuh dalam satu serangan hendap di tepi jalan oleh suspek pemberontak di Pedalaman Selatan Thailand dalam satu upacara yang berlangsung di sebuah lapangan terbang di wilayah Narathiwat pada 28 April 2017.
AFP

Suasana kembali tenang di wilayah majoriti penduduk Islam di Pedalaman Selatan Thailand selepas empat minggu berturut-turut dilanda keganasan berkaitan pemberontakan sekumpulan puak pemisah di wilayah itu, namun orang ramai masih bimbang terutama pasukan keselamatan Thailand yang mengalami kekalahan teruk.

Pemberontak melampiaskan kemarahan mereka kepada pasukan keselamatan Thailand dengan menyerang sasaran mudah mahupun sukar bagi membalas dendam terhadap pembunuhan sewenang-wenangnya dua suspek pemberontak di sebatang jalan belakang di daerah Rueso dalam wilayah Narathiwat pada 29 Mac.

Serangan terbaharu oleh suspek pemberontak pada 27 April menyaksikan enam anggota tentera Thailand maut selepas ditembak dari jarak dekat susulan satu letupan bom di tepi jalan yang menyebabkan kenderaan mereka terbabas di kawasan sama dalam daerah Narathiwat.

Pemberontak kemudian cuba membakar mayat tentera yang terbunuh. Mereka berjaya membakar sebahagian daripada empat mayat mangsa sebelum berundur ke hutan selepas tentera kerajaan yang sedang melakukan rondaan di kawasan berhampiran melepaskan tembakan ke arah mereka.

Perbuatan membakar jasad tentera yang terbunuh selain memenggal kepala dan mengasi, adalah amalan biasa pada 2007, iaitu tahun paling ganas dengan fasa semasa pemberontakan yang kembali meletus pada bulan Januari 2004, selepas sedekad mengharungi suasana tenang di Pedalaman Selatan Thailand yang sentiasa bergolak.

Tekanan daripada masyarakat setempat dan akar umbi ulama Islam terhadap perbuatan kejam itu, selain serangan kebakaran yang menyasarkan sekolah awam, menghentikan apa yang dianggap “pencabulan” undang-undang peperangan Islam, demikian menurut pemimpin agama kampung yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Penduduk kampung dan ulama memberikan sokongan kepada pemberontak, yang menurut mereka telah berjuang menentang pencerobohan tentera Thailand, namun mereka menentang perbuatan mencacatkan mayat tentera kerajaan.

Sumber dalam kumpulan pemberongak Barisan Revolusi Nasional (BRN) berkata pergerakan itu tidak bersetuju dengan perbuatan sedemikian namun menyifatkan bahawa percubaan membakar mayat tentera yang maut adalah satu insiden yang terpinggir.

Apa seterusnya untuk Bangkok?


Di Bangkok, peningkatan mendadak insiden keganasan di Pedalaman Selatan Thailand  baru-baru ini telah memberikan bebanan tambahan kepada perancang keselamatan.

Mereka sedang menimbang langkah seterusnya berikutan satu kenyataan majlis pemerintah BRN pada 10 April yang menggesa penglibatan dan pemerhatian pihak antarabangsa jika kerajaan Thailand berhasrat untuk berurusan dengan mereka secara langsung.

BRN menolak rundingan damai yang telah berlangsung selama hampir dua tahun antara kerajaan Thailand dan MARA Patani, sebuah organisasi induk bagi puak pemisah sejak dahulu lagi.

Sumber dalam pergerakan BRN menolak laporan bahawa peningkatan mendadak insiden keganasan pada April adalah tindak balas kepada perlembagaan baharu Thailand yang diluluskan empat hari sebelum BRN mengeluarkan kenyataannya.

BRN menyifatkan ia sebagai bercanggah dengan perlembagaan dan menggesa penduduk Melayu Islam di Pedalaman Selatan Thailand menolak piagam itu dalam satu referendum perlembagaan Ogos 2016, yang telahpun mereka lakukan dengan begitu ketara.

BRN menyifatkan tindak balas ganas yang berlaku sejak bulan lepas adalah perlu kerana pihak kerajaan Thailand, pada pandangan BRN, telah melampaui batasan.

Anggotanya berkata tidak mengapa jika kedua-dua individu yang disyaki pemberontak terbunuh dalam satu pertempuran yang adil namun mereka tidak akan berdiam diri jika pihak berkuasa Thailand sengaja menahan orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan BRN dan menghapuskan mereka.

Peraturan penglibatan sudah lama menjadi isu perbalahan kerana kedua-dua pihak tidak mempunyai komunikasi secara langsung bagi menghasilkan satu definasi bermakna berkaitan perkara yang tidak boleh dilakukan.

Anggota dalam pasukan Tentera Wilayah Keempat, pusat yang memantau pemberontakan di wilayah selatan Thailand yang dihuni masyarakat Melayu setiap hari, berkata mereka ingin melihat penggubal undang-undang di Bangkok mewujudkan satu saluran komunikasi secara langsung dengan BRN seperti yang didesak oleh pergerakan itu, yang bertentangan dengan saluran rasmi dengan MARA Patani sebagai rakan yang ditetapkan.

Perkara positif yang berlaku susulan desakan BRN dalam hal ini ialah Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha tidak menolak bulat-bulat permintaan itu sebaliknya mencadangkan agar BRN berbincang dengan MARA Patani.

Pegawai Thailand menyifatkan kenyataan Prayuth sebagai helah untuk “melengah-lengahkan masa.”

Bagaimanapun, sama ada ini bermakna Bangkok sudah sedia untuk berkompromi dengan BRN dan Melayu Patani atau sebaliknya, masih belum dapat dipastikan.

 

Don Pathan adalah seorang  perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah  pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.