Isu Rampasan Siasatan 1MDB, Polis Ambil Keterangan Najib dan Pembantu Rumah

Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.07.20
Kuala Lumpur, Malaysia
180720-MY-Najib1000.jpg Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak (tengah) dikelilingi penyokongnya semasa mahu meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur, 4 Julai 2018.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat telah merekodkan keterangan bekas perdana menteri Najib Razak dan pembantu rumah rumah berhubung siasatan kehilangan sebuah komputer riba semasa proses rampasan yang dikatakan tidak mengikut prosedur semasa serbuan polis berkaitan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB] yang dibuat pada Mei lepas.

Sekurang-kurangnya enam anggota polis dari Ibupejabat Polis Sentul dilihat memasuki kediaman bekas perdana menteri itu pada sekitar jam 12.30 tenghari Jumaat.

Badrul Hisham Abdullah, bekas peguam Najib semasa dihubungi BeritaBenar berkata sebuah komputer riba yang dimiliki pembantu Najib dipercayai hilang dari kediaman itu semasa  serbuan polis pada 12 Mei lalu.

“Sebuah laptop hilang dan Najib juga memaklumkan yang garis panduan asas prosedur tidak diikuti,” kata Badrul yang turut menegaskan bahawa Najib juga ada memfailkan beberapa lagi laporan tentang kehilangan barang-barang yang turut mempunyai kaitan dengan serbuan tersebut.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur Rusdi Md Isa mengesahkan pihaknya ada mengambil keterangan daripada Najib dan pembantu rumahnya pada Jumaat.

"Pasukan polis yang dilihat pergi ke rumah Najib hari ini adalah daripada Jabatan Siasatan Jenayah Sentul dengan tujuan untuk merakam kenyataan pembantu rumahnya berkaitan laporan polis yang dibuat oleh pihak Najib," katanya kepada media.

Anggota-anggota tersebut dilaporkan beredar dari kediaman tersebut sekitar jam 3 petang.

Najib sebelum ini turut mengadu bahawa pihak polis bersikap tidak profesional dalam melakukan serbuan di beberapa kediaman yang mempunyai kaitan dengannya termasuklah mendakwa pihak polis ada mengambil coklat dari peti sejuk rumahnya tanpa kebenaran serta turut meminta pembantu rumah bekas perdana menteri itu memasak untuk mereka.

Pengarah Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh yang mengetuai siasatan kes 1MDB itu walaubagaimanapun telah menjawab pertuduhan Najib dengan menuntut bekas pemimpin itu untuk mengemukakan bukti berkaitan dakwaannya.

"Saya tidak akan bertoleransi dengan kelakuan tidak profesional anggota polis berkenaan.  Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat kerana melanggar prosedur dan arahan yang telah diberikan, jika dakwaan itu didapati benar,” kata Amar kepada pemberita semasa sidang media pada 19 Mei lepas.

Beliau juga membidas dakwaan seorang lagi peguam Najib, Harpal Singh Grewal yang menuduh pihak polis menularkan gambar-gambar dari kesemua serbuan yang telah dibuat.

“Gambar dan video di lokasi hanya dirakam jurugambar rasmi polis dan jika ada bukti tentang penularan itu, sila kemukakan bagi memudahkan kami mengesan punca penyebaran gambar tersebut," tambah Amar.

Hasil dari serbuan ke atas lima unit kediaman berkaitan dengan Najib Razak, para penyiasat telah merampas wang tunai sebanyak RM117 juta (AS$29 juta) selain barang kemas dan barang-barang mewah lain yang kesemuanya berjumlah antara RM900 juta (AS$225 juta) dan RM1.1 bilion (AS$273 juta).

Sejak disingkir daripada tampuk kuasa pada pilihan raya umum Mei lepas, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, telah dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM berkaitan 1MDB.

Pada 3 Julai lepas, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Najib di kediaman yang sama atas pertuduhan salahguna kuasa dan pecah amanah yang berkaitan dengan skandal 1MDB.

Najib, yang menghadapi empat pertuduhan, meminta untuk dibicarakan dan dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua orang penjamin iaitu anak beliau, Nooryana dan Norashman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Julai.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.