1MDB: Pemimpin Parti Pembangkang Diarah Bela Diri Bocor Maklumat Rahsia
2016.09.01
Kuala Lumpur

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis mengarahkan Rafizi Ramli, Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, parti pembangkang yang dinaungi Anwar Ibrahim, supaya membela diri dalam pertuduhan membocorkan rahsia laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan di Selangor, negeri yang diterajui PKR, diminta berbuat demikian pada perbicaraan mahkamah 27 September dan 6 hingga 7 Oktober ini.
Rafizi, ketika dihubungi BeritaBenar pada Khamis berkata, beliau telah pun menduga keputusan mahkamah itu tetapi yakin pasukan peguambelanya dapat menangkis dengan menunjukkan kelemahan pihak pendakwaan pada sesi bela diri nanti.
“Saya pasrah yang saya hanya ada beberapa bulan sahaja sebelum proses mahkamah selesai dan saya mungkin dikenakan hukuman penjara,” kata beliau.
Sambil menegaskan bahawa beliau tidak menyesal berbuat demikian, Rafizi, 39, berkata, beliau tidak akan mengubah pendirian dalam kes itu dan tekad memperjuangkan isu-isu rakyat.
“Dalam perkara yang jelas betul atau salah, tanggungjawab seorang insan adalah berkata benar. Soal kesan akibat berkata benar itu wajarlah diserahkan kepada Allah SWT semata-mata…kalau kita yakin kita berkata benar demi mencari keredhaan Allah SWT, kita juga yakin Allah SWT akan melindungi kita dan keluarga kita,” katanya.
Sementara menanti berakhirnya proses mahkamah itu, Rafizi berkata, beliau akan terus membawa isu-isu rakyat yang sepatutnya menjadi tumpuan umum.
“Dua belas bulan akan datang adalah pecutan terakhir saya dalam meletakkan rakyat di hadapan...saya akan memberi sepenuh komitmen kepada kebajikan rakyat,” kata beliau.
Pendakwaraya bukti Rafizi bocor laporan rahsia 1MDB
Semasa menyampaikan keputusannya pada Khamis, Hakim Zulqarnain Hassan berkata pihak pendakwaraya berjaya membuktikan kesalahan Rafizi memiliki dan membocorkan laporan rahsia 1MDB.
Beliau berkata saksi mengesahkan Rafizi memiliki 98 halaman laporan akhir 1MDB, yang telah didedahkannya pada satu sidang media.
Antara saksi pendakwaan dalam kes itu adalah Ketua Audit Negara Amrin Buang, yang mengeluarkan laporan itu.
Laporan audit 1MDB itu diklasifikasikan sebagai rahsia selepas pembocoran laporan interim 1MDB, yang dihantar kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Julai tahun lepas.
Pada 5 April lalu, Rafizi ditangkap di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, sebelum dihadapkan ke mahkamah tiga hari kemudian kerana memiliki tanpa kebenaran 98 muka surat daripada laporan audit 1MDB.
Beliau diituduh memiliki maklumat sulit itu di lobi Parlimen pada 24 Mac lalu, dan didakwa di bawah Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi yang memperuntukkan hukuman penjara 7 tahun jika sabit kesalahan.
Rafizi turut didakwa menghebahkan isi kandungan laporan tersebut pada satu sidang media pada 28 Mac 2016 di bawah Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara 7 tahun.
Anggota PAC minta siasatan 1MDB dibuka semula
Pada awal Ogos, anggota-anggota PAC meminta supaya siasatan terhadap 1MDB dibuka semula berikutan pendedahan DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) berkaitan skandal syarikat milik penuh kerajaan Malaysia itu.
Tetapi, permintaan itu ditolak oleh Pengerusi PAC Hasan Ariffin.
Pada 20 Julai lalu, Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Loretta E. Lynch mengumumkan bahawa satu tindakan sivil telah dibawa ke mahkamah untuk memfailkan aduan pelucutan harta dan mendapatkan kembali aset-aset bernilai lebih daripada RM4 bilion yang berkaitan dengan konspirasi antarabangsa untuk mengubah dana yang telah disalahgunakan daripada 1MDB.
Menurut aduan itu, lebih daripada RM14.2 billion milik 1MDB didakwa telah disalahgunakan sepanjang 2009 hingga 2015 oleh pegawai-pegawai tertinggi 1MDB dan rakan sekutunya.
1MDB diwujudkan pada 2009 oleh kerajaan Malaysia bagi mempromosikan pembangunan ekonomi di Malaysia melalui kerjasama global dan pelaburan antarabangsa.
Skandal 1MDB diperkatakan dengan hebat tahun lalu selepas Wall Street Journal(WSJ) mendedahkan pada Julai 2015 mengenai transaksi wang berjumlah ratusan juta yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.
WSJ turut melaporkan bahawa berjuta-juta dolar wang yang dikaitkan dengan 1MDB telah dibelanjakan Najib untuk membiayai gaya hidup mewah.
Najib menerajui 1MDB sebagai pengerusi lembaga penasihat dana itu sehinggalah ia dibubarkan pada Mei.
Walaupun tindakan saman AS tidak menamakan Najib, tetapi beliau menjadi perhatian ramai sejak setahun yang lalu berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB.