Malaysia dakwa 22 pemimpin GISBH atas tuduhan sertai kumpulan jenayah terancang
2024.10.23
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 10 pagi waktu tempatan ETS - 2024-10-23
Mahkamah di Malaysia pada Rabu mendakwa seramai 22 pemimpin tertinggi konglomerat yang dikaitkan dengan ajaran sesat atas tuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang membabitkan pemerdagangan manusia dan penderaan kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Nasirudddin Ali, 65; isterinya Azura Md Yusof, 57 dan anak pengasas al-Arqam Mohammad Adib Ashaari, 32, merupakan antara 13 lelaki dan sembilan wanita yang dikenakan pertuduhan itu.
Mereka dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang, Gombak, Selangor, pinggir Kuala Lumpur dengan kawalan ketat pasukan polis.
Setiap daripada mereka menyatakan memahami pertuduhan yang dibacakan secara berasingan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang pada Oktober 2020 hingga 11 September 2024 di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.
Namun tiada pengakuan direkodkan secara rasmi kerana kes itu di bawah bidang kuasa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang mewajibkan ia didengar oleh Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 23 Disember ini sebagai tarikh untuk sebutan semula kes bagi pemindahan prosiding ke Mahkamah Tinggi.
Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin merupakan antara 16 anggota pengurusan tertinggi GISBH ditahan semula di bawah SOSMA.
Sejak September, pihak berkuasa Malaysia telah menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak dari rumah amal yang didakwa dikaitkan dengan GISBH, di tengah-tengah dakwaan serius penderaan fizikal dan seksual.
Pihak berkuasa berkata ramai kanak-kanak yang telah diambil daripada keluarga mereka pada usia muda, dipaksa bekerja keras dan dikenakan hukuman atas kesalahan kecil.
Pada bulan lalu, Nasiruddin mengakui terdapat "satu atau dua kes liwat" di rumah amal kendalian syarikat itu tetapi menafikan sebarang penyalahgunaan sistematik.
Sementara itu, peguam kumpulan itu, Rosli Kamaruddin berkata pihak pembelaan bercadang untuk mencabar pertuduhan dan kebolehgunaan SOSMA terhadap kes itu.
“Akan ada permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk menentukan sama ada kes itu sesuai untuk SOSMA. Kami akan mencabar pertuduhan itu,” kata Rosli kepada pemberita di luar mahkamah.
Rosli turut mendakwa beberapa tertuduh termasuk Nasiruddin sedang sakit dan keadaan kesihatan mereka kian merosot.
Katanya, Nasiruddin menghidap diabetes jenis 4 dan memerlukan pemantauan rapi.
“Semangat mereka lemah. Tiada siapa yang boleh menanggungnya selepas [hampir] dua bulan ditahan,” tambah Rosli.
Di mahkamah dan kawasan sekitar pada Rabu dipenuhi anggota polis bersenjata dari Jabatan Siasatan Jenayah.
Kumpulan wanita dan lelaki itu dibawa ke mahkamah secara berasingan, seawal pukul 9.30 pagi dengan menaiki dua buah lori polis dikenali sebagai 'black maria'.
'Layanan kejam'
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam sesi khas pada sidang Dewan Rakyat pada minggu lalu mendedahkan bahawa keadaan yang dihadapi oleh kanak-kanak di rumah amal GISBH sebagai "kejam."
"Mereka menanggung hukuman berat dan dipaksa bekerja tanpa gaji," kata Saifuddin di Parlimen pada 15 Oktober.
Konglomerat yang menjalankan perniagaan dalam bidang perhotelan, makanan dan Pendidikan telah dikaitkan dengan al-Arqam, kumpulan ajaran sesat yang diharamkan kerajaan pada 1994 kerana didakwa menyeleweng dari ajaran Islam.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata GISBH mempunyai lebih 10,000 ahli dan didakwa masih mengamalkan ajaran al-Arqam termasuk zikir Aurad Muhammadiah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Mohd Na’im Mokhtar, ahli GISBH digalakkan mengorbankan mata pencarian mereka untuk kepentingan syarikat manakala pemimpinnya hidup dalam kemewahan.
Beliau turut mendedahkan bahawa ramai kanak-kanak yang diselamatkan itu telah dibesarkan di rumah amal GISBH sejak berusia dua tahun, dilabel secara palsu sebagai anak yatim sedangkan mereka mempunyai ibu bapa yang masih hidup.
"Kebanyakan kanak-kanak itu diambil daripada ibu bapa mereka pada usia muda dan dibesarkan dalam apa yang dipanggil GISBH sebagai 'rumah kebajikan', tetapi mereka terpaksa menjalani kehidupan yang sukar untuk kepentingan syarikat," katanya pada sidang Parlimen yang sama
Sementara itu, lima anggota GISBH didakwa awal bulan ini atas pertuduhan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi melalui kerja paksa.
Antara tertuduh ialah dua pengurus resort milik GISBH di Johor, didakwa memperdagangkan tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 30 dan 57 tahun.
Seorang lagi individu dari resort yang sama didakwa melakukan penderaan seksual terhadap seorang remaja berusia 16 tahun.
Pihak berkuasa Malaysia kini sedang mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan aset syarikat itu di luar negara.
Lebih 350 individu yang dikaitkan dengan GISBH telah ditahan sejak tindakan keras bermula pada September.
Pihak berkuasa juga telah mengarahkan ratusan anggota untuk menjalani program pemulihan selama 90 hari yang bertujuan untuk menangani isu indoktrinasi, pemerdagangan manusia dan penderaan.