Anak Ashaari Muhammad nafi GISBH masih amal ajaran al-Arqam

Peguam GISBH dakwa ahli syarikat itu dilayan secara tidak adil oleh polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) yang ketat.
Iman Muttaqin Yusof
2024.10.14
Kuala Lumpur
Anak Ashaari Muhammad nafi GISBH masih amal ajaran al-Arqam Pengarah sebuah anak syarikat GISBH, Khaulah Asaari (kanan) yang juga anak perempuan pengasas al-Arqam bercakap pada sidang media di Shah Alam, Selangor, 14 Oktober 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Anak perempuan pengasas al-Arqam, Ashaari Muhammad pada Isnin menafikan Global Ikhwan Services and Business Holdingnya (GISBH), konglomerat yang dianggotai saki baki kumpulan itu masih mengamalkan ajaran sesat yang telah diharamkam kerajaan.

Pada sidang media pertamanya, Khaulah Ashaari berkata beliau tidak mengetahui sama ada rumah amal dimiliki syarikat itu yang didakwa terdapat kes penderaan kanak-kanak telah menyerapkan elemen jihad militan seperti didakwa polis pada Ahad lalu.

Khaulah yang mana bapanya mengetuai kumpulan al-Arqam sehingga diharamkan oleh pihak berkuasa Malaysia pada 1994 menolak dengan tegas dakwaan bahawa empayar perniagaan keluarganya itu menjadi  platform untuk meneruskan ajaran kumpulan tersebut. 

"Kami telah melalui proses istitabah [taubat] dan membuat komitmen yang kuat untuk meninggalkan apa-apa yang berkaitan dengan masa lalu, termasuk amalan dari era al-Arqam," kata Khaulah, yang juga pengarah anak syarikat GISBH kepada pemberita di Shah Alam, Selangor.

“GISBH konsisten tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang telah dikatakan sesat atau salah. Ramai orang tahu bahawa kami juga pernah menyertai program yang dikendalikan oleh pihak berkuasa termasuk daripada Jabatan Agama."

Bulan lalu, polis merampas buku-buku karangan Ashaari dan peninggalan barangan yang lain termasuk helaian janggutnya yang diawet semasa serbuan di sebuah kediamaan milik GISBH di Kelantan.

Pihak berkuasa mengesyaki bahawa GISBH yang mempunyai keanggotaan sekitar 10,000, masih diam-diam mengikuti ajarannya, meskipun terdapat pihak yang menolak dakwaan itu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain seperti dipetik agensi berita nasional Malaysia, Bernama berkata siasatan terhadap pertubuhan itu sedang dijalankan dengan tumpuan kepada potensi indoktrinasi pelampau di rumah amal itu.

Pada sidang media itu, pasukan guaman GISBH dengan keras menolak tuduhan tersebut dan mempersoalkan kerasnya siasatan yang sedang dijalankan.

Layanan tidak adil

Rosli Kamaruddin, salah seorang peguam kumpulan itu, berhujah bahawa anggota GISBH dilayan secara tidak adil di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) negara (SOSMA) yang ketat, yang membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga 28 hari.

"Kami merayu untuk keadilan," kata Rosli sambil menambah, “Perlukah mereka ditutup mata dan dikepung polis yang membawa senapang M16? Individu ini bukan pengganas, ini adalah kumpulan perniagaan yang telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.”

Rosli turut mencabar bidang kuasa polis dalam kes itu dengan menyatakan bahawa perkara membabitkan penyelewengan agama perlu dikendalikan oleh jabatan agama atau pihak berkuasa agama negeri dan bukannya agensi penguatkuasaan undang-undang sivil.

“Penyelewengan agama bukanlah satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang sivil. Ini sepatutnya menjadi urusan mahkamah syariah,” katanya lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain pada minggu lalu mengesahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali dan pemimpin tertinggi yang lain syarikat itu adalah antara individu yang ditahan semula di bawah SOSMA.

Pihak berkuasa juga sedang menyiasat hubungan antara GISBH dan hartanah-hartanah di luar negara dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) dalam usaha mengesan aset yang dikaitkan dengan kumpulan itu di 19 negara.

Pihak berkuasa dilaporkan telah mengenal pasti 23 hartanah GISBH di 10 negara, bernilai lebih RM52.4 juta (AS$12.2 juta) sebagai sebahagian daripada siasatan.

GISBH pada asalnya merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh al-Arqam, sebuah kumpulan Islam yang menyeleweng dan menyeru kepada penubuhan negara Islam dan mendakwa pengasasnya Ashaari sebagai pemimpin akhir zaman.

Syarikat itu menjalankan perniagaan termasuk ladang, restoran dan rumah amal selepas kerajaan mengharamkan kumpulan tersebut.

Sejak itu, GISBH telah membina empayar komersial yang besar hingga memperluaskan operasinya di peringkat antarabangsa termasuk ke negara-negara Eropah dan Timur Tengah.

Dalam operasi selama sebulan, polis telah menahan lebih 400 individu melibatkan dakwaan bahawa kanak-kanak bawah umur didera secara seksual atau didera di rumah amal syarikat itu.

Serangan seksual 

Pada Isnin, Muhammad Miqdam Muhammad Amir, penjaga salah sebuah rumah amal yang dikendalikan GISBH di negeri utara Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendera seorang remaja berusia 13 tahun secara seksual dua tahun lalu, menurut laporan media tempatan.

Begitu juga di Johor, tiga ahli GISBH, Mahmad Hamal Tukiman, Rabiahtul Adawiyah Md Shah dan Muhammad Ansarullah Tukino mengaku tidak bersalah atas tuduhan pemerdagangan manusia dan serangan seksual.

Melaka menjadi yang negeri terbaru selepas Selangor, Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan GISBH sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Kenyataan menteri mengenai kumpulan itu akan dibentangkan dalam sesi Parlimen pada Selasa.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.