Malaysia minta bantuan Interpol kesan aset GISBH di luar negara

Polis tahan semula Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani Ihsan
2024.10.10
Kuala Lumpur
Malaysia minta bantuan Interpol kesan aset GISBH di luar negara Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media mengenai perkembangan siasatan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings di Kuala Lumpur, 10 Oktober 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia telah meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan aset membabitkan syarikat konglomerat yang memiliki rumah amal di mana ratusan kanak-kanak diselamatkan dengan sebahagian besarnya didakwa didera, menurut pihak berkuasa negara itu pada Khamis.

Pada hari yang sama, Polis turut menahan semula Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan isterinya bersama dengan beberapa lagi individu di bawah undang-undang keselamatan negara yang membolehkan suspek ditahan tanpa bicara sehingga 28 hari, kata pegawai kanan polis.

Setakat ini, pihak berkuasa negara itu telah menahan seramai 58 ahli konglomerat yang berselindung di sebalik imej Islam itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), selain menyelamatkan seramai 625 mangsa berusia antara dua bulan hingga 28 tahun yang didakwa didera di bawah jagaan mereka yang ditahan.

“Matlamat utama kita adalah untuk menyelamatkan mangsa, mendakwa tertuduh dan meneutralkan segala bentuk ancaman terhadap keselamatan negara,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain semasa sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.

Dengan bantuan Interpol, pihak berkuasa Malaysia telah mula membekukan aset dan menghentikan operasi entiti yang terkait dengan GISBH di luar negara, kata beliau.

“Ada beberapa pendekatan yang digunakan iaitu melalui Interpol... kita meminta bantuan mereka dan pada masa sama bekerjasama rapat dengan rakan negara serantau,” kata Mohd Shuhaily.

Beliau mendedahkan maklum balas yang diterima daripada negara serantau telah mengesahkan penutupan tiga buah premis milik GISBH di sebuah negara.

“Papan tanda telah diturunkan, malahan tingkap dan pintu premis telah ditutup dengan plastik hitam,” tambah beliau tanpa menamakan lokasi premis terbabit.

Pada masa sama, polis juga telah mengenal pasti sebanyak 23 harta milik GISBH di 10 buah negara dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM52.4 juta (AS$12.2 juta), menurut Mohd Shuhaily.

Setakat ini, kata beliau pihak berkuasa masih menunggu maklum balas dari sembilan lagi negara di mana konglomerat tersebut dipercayai mempunyai aset mereka antaranya di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.

“Kami masih dalam usaha mengumpul maklumat daripada pihak berkuasa di negara luar berkaitan aset GISBH,” kata Mohd Shuhaily.

“Langkah yang seterusnya termasuk membekukan dan menyita aset-aset berkenaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 ( Akta 613) dengan kerjasama agensi berkaitan.”

Polis setakat ini telah membekukan dan menyita aset bernilai lebih hampir RM20 juta (AS$4.7 juta) yang mempunyai hubung kait dengan aktiviti GISBH. Aktiviti perniagaan tersebut termasuk restoran, hartanah dan perusahaan lain yang berkait dengan kumpulan terbabit.

Pemulihan

Diasaskan oleh bekas ahli kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan di Malaysia, GISBH dianggar mempunyai seramai 10,000 pengikut dan berkembang menjadi konglomerat Islam dengan perniagaan meliputi pelbagai bidang termasuk perkhidmatan sajian, peruncitan, hartanah serta pertanian di hampir 20 buah negara.

Penyiasat percaya bahawa GISBH berselindung di sebalik perniagaan mereka bagi menjalani aktiviti haram termasuk eksploitasi kanak-kanak dan penderaan, ekoran penemuan pihak berkuasa semasa serbuan dibuat ke atas 20 buah rumah amal pada bulan lalu.

Daripada 625 mangsa yang diselamatkan dari rumah amal milik GISBH, di mana mereka dipercayai tinggal dalam keadaan daif, kebanyakan mereka ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala 72 lagi telah disatukan semula dengan keluarga mereka, menurut Mohd Shuhaily.

Pihak berkuasa masih menjalankan proses pemulihan mangsa manakala beberapa ahli GISBH masih dalam tahanan polis, kata Mohd Shuhaily. 

“Daripada 415 individu (yang telah ditahan), 58 ditahan di bawah SOSMA. Jumlah ini termasuk 16 individu yang baru kita tangkap tengah hari tadi (Khamis),“ tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali yang sebelum ini menafikan dakwaan penderaan yang berlaku di rumah amal terlibat mengaku terdapat “satu dua” kes penderaan seksual.

Tindakan undang-undang

Sementara itu, sebuah jawatankuasa khas di Selangor telah dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti kaedah terbaik memulihkan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah kebajikan GISBH atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Jawatankuasa itu akan melapor terus kepada baginda serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak itu, seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan," kata Selangor Royal Office pada Rabu.

Selangor merupakan antara empat negeri lain iaitu Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan yang telah mengeluarkan fatwa mengisytiharkan GISBH sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Bagaimanapun, sekumpulan peguam sedang bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan, dengan mendakwa pihak berkuasa telah mengambil tindakan yang tidak sewajarnya apabila memisahkan kanak-kanak yang diselamatkan dengan ibu bapa mereka.

Salah seorang peguam terlibat, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir dalam kenyataannya pada Selasa berkata pemisahan tersebut berlaku di luar sempadan protokol undang-undang termasuk konvensyen mengenai hak kanak-kanak.

Kerajaan Malaysia bagaimanapun mempertahankan tindakan mereka dalam menangani kes tersebut, di mana Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan berkata pada Rabu bahawa perintah mahkamah telah diperolehi bagi menjamin kebajikan kira-kira 600 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal milik GISBH itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.