Kanak-kanak, ahli GISBH jalani program pemulihan 90 hari
2024.10.18
Kuala Lumpur

Ratusan ahli Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) yang telah menimbulkan kontroversi sejak lebih sebulan lalu di Malaysia telah diarahkan oleh kerajaan bagi menjalani program pemulihan ketika konglomerat yang berselindung di sebalik imej Islam itu berdepan dengan tuduhan pemerdagangan manusia, penderaan seksual dan indoktrinasi ajaran sesat.
Program selama 90 hari itu turut melibatkan kanak-kanak yang diselamatkan dalam beberapa serbuan besar-besaran “Ops Global” yang dijalankan di premis-premis dikaitkan dengan kumpulan tersebut di seluruh negara sejak September lalu.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata matlamat akhir kementeriannya adalah untuk memulangkan semula kanak-kanak yang telah diselamatkan itu ke pangkuan ibu bapa mereka, namun sebahagian daripada mereka akan terus berada di bawah jagaan kerajaan sehingga selesai menjalani proses rehabilitasi.
“Kebanyakan peserta akan bersama dengan keluarga mereka berdasarkan cadangan dan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Program tersebut secara amnya akan berlangsung selama 90 hari bagi semua (termasuk kanak-kanak),” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sirajuddin Suhaimee kepada BenarNews pada Jumaat.
Bagaimanapun, pakar kanak-kanak berpendapat kanak-kanak tersebut seharusnya dilindungi di rumah selamat dan diasingkan dari ibu bapa mereka buat sementara waktu semasa sedang menjalani proses pemulihan bagi memastikan ia berjalan lancar dan teratur.
“Sekiranya terus dibawa pulang ke rumah, dibimbangi proses rawatan pemulihan tidak berlaku dan keadaan mungkin jadi lebih parah sekiranya terdapat elemen negatif di rumah itu,” kata Mariani Md Nor, seorang pakar psikologi kanak-kanak di SEGI Universiti berkata kepada BenarNews.
Mariani yang juga Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia turut menggesa agar proses pemulihan secara holistik melibatkan kaunselor berdaftar, pakar psikologi dan pekerja sosial dilaksanakan bagi membantu mengembalikan dan membina kesejahteraan mental, emosi dan intelektual kanak-kanak terbabit.
Beliau menekankan bahawa trauma yang dialami kanak-kanak tersebut boleh menjurus kepada kemurungan sekali gus mengakibatkan kesan buruk bagi jangka masa panjang yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri sendiri atau orang lain sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Seorang lagi pakar, Zulfikar Ahmad, pegawai psikologi kanan Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia turut berkongsi pandangan yang sama.
“Ada yang memerlukan intervensi latihan, ada yang perlukan pendekatan psikososial, spiritual, klinikal dan sebagainya. Semua itu akan ambil masa yang lama,” kata Zulfikar.
“Buat masa ini rumah selamat adalah pilihan terbaik. Serahkan kepada pihak profesional untuk bimbing dan bentuk mereka kembali kepada masyarakat.”
Menurut MKN, program tiga bulan yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jakim itu akan memberi fokus dalam menyediakan sokongan dalam bentuk keagamaan, pendidikan, psikologi dan vokasional kepada kanak-kanak dan ahli kumpulan tersebut
“Usaha ini dijalankan dengan kerjasama Jakim dan agensi -agensi terlibat bagi memastikan aspek akidah dan kelangsungan hidup ahli GISBH akan terjamin,” kata MKN dalam satu kenyataan pada awal minggu ini.
“Kumpulan ini tidak seharusnya disisihkan. Mereka memerlukan bimbingan dan sokongan penuh kerajaan dan masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.”
Sejak 11 September lalu, lebih 600 kanak-kanak telah diselamatkan dari rumah amal dan premis yang dikendalikan oleh GISBH, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kumpulan ajaran sesat al-Arqam, manakala seramai 350 individu ditahan oleh pihak berkuasa dalam beberapa siri serbuan kerana dipercayai terlibat dalam dakwaan penderaan kanak-kanak di fasiliti terbabit.
Pihak berkuasa mendakwa kanak-kanak seawal usia setahun telah menjadi mangsa penderaan serius termasuk serangan seksual, indoktrinasi dan buruh paksa atas nama ‘pelajar pelatih’.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika membentangkan kenyataan menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat pada Selasa mendedahkan kanak-kanak tersebut dipisahkan dari keluarga sejak mereka kecil dan dihukum ketuk ketampi sehingga beratus kali kerana isu disiplin yang sangat kecil seperti tidak berbaris dengan betul.
“Mereka dihukum ketuk ketampi bukan 100 (kali) tapi 500 kali,” kata Saifuddin sambil menambah sebahagian kanak-kanak terbabit dipaksa bekerja dalam pelbagai industri yang dimiliki oleh GISBH dengan berselindung di sebalik alasan pendidikan.
Terdahulu Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata GISBH yang dianggar mempunyai keahlian sekitar 10,000 orang masih mengikuti ajaran yang dibawa Ashaari Muhammad, pengasas ajaran al-Arqam meskipun ahlinya mengaku tidak lagi berbuat demikian.
Bulan lalu, polis merampas puluhan buku yang ditulis oleh pemimpin ajaran sesat itu, Ashaari Muhammad dan peninggalan lain termasuk helaian janggut yang disimpan dalam bekas khas, semasa serbuan di premis GISBH di Kelantan.
Anak perempuan Ashaari, Khaulah Ashaari bersama seorang ahli GISBH bagaimanapun pada Isnin telah menafikan ahli kumpulan itu masih mengikuti ajaran arwah ayahnya.
Peguam-peguam yang mewakili GISBH turut menyangkal dakwaan aktiviti haram, pemerdagangan orang dan jenayah terancang.
Namun Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat Nasiruddin Mohd Ali pada bulan lalu mengaku terdapat “satu dua kes liwat” di rumah amal milik syarikat itu.
Sehingga kini, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menerima 98 permohonan daripada ibu bapa, kebanyakannya ibu yang menuntut kira-kira 200 kanak-kanak yang ditempatkan di tempat perlindungan kerajaan, kata Menteri Nancy kepada pemberita pada Khamis.
“Kami perlu memastikan mereka yang menuntut (supaya kanak-kanak dikembalikan) itu memang ibu bapa mereka,” kata beliau.
“Ada beberapa kes yang kami perolehi, anak itu tidak pernah melihat ibunya. Kalau betul tiada apa-apa hal, memang kita dalam proses memohon kepada mahkamah untuk
mengembalikan kanak-kanak terbabit.”
Razarudin sebelum ini pernah memaklumkan bahawa pihak berkuasa mungkin akan menjalani ujian paterniti asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan semasa serbuan di rumah-rumah amal terbabit yang dipercayai merupakan ahli GISBH.
BenarNews cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai ujian tersebut dari pihak berkuasa namun gagal mendapatkan sebarang maklum balas setakat ini.
Isu ketelusan
Sementara itu, ibu bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan dan kini ditempatkan di beberapa rumah selamat bawah jagaan JKM menyuarakan kekecewaan mereka terhadap cara pengendalian kes oleh pihak berkuasa yang disifatkan sebagai kurang telus.
Salah seorang ibu yang meminta identitinya dirahsiakan berkongsi kegusarannya bersama BenarNews setelah dimaklumkan bahawa pertemuan yang dijadualkan dengan anaknya telah dibatalkan.
“Mereka (pihak berkuasa) telah membatalkan pertemuan yang dijadualkan pada 18 Oktober,” katanya.
“Tarikh baharu belum ditetapkan.Saya pun tidak tahu apa yang hendak dipulihkan pada anak saya yang masih kecil.”
Seorang lagi ibu yang hanya ingin dinamakan sebagai Sofea berkata sudah lebih sebulan dia tidak berjumpa dengan anak keduanya yang berusia 10 tahun dan mendakwa telah membuat laporan polis serta mencari di beberapa premis JKM namun masih tidak dapat dipastikan keberadaannya.
Menurut Sofea, anaknya dimasukkan ke sekolah berasrama kendalian GISBH sejak setahun lalu di mana dia telah membayar kos pengajian anaknya selama berada di situ dan sering melawatnya pada hujung minggu.
“Saya diberitahu oleh pihak polis yang anak saya berada di bawah jagaan JKM tetapi saya tidak tahu di mana dia sekarang… dah 37 hari. Saya cuma nak jumpa dia.
“Anak saya ada alahan kulit. Saya nak tahu keadaan dia sekarang. Kalau tak boleh jumpa, dapat cakap telefon atau hantar gambar membuktikan dia selamat dan sihat pun tak apa,” katanya kepada BenarNews.