Pegawai Rasmi: Pengambilan Ahli Islamic State (IS) di Malaysia Semakin Meningkat walaupun Tindakan Keras Diambil
2015.03.10

Jumlah pejuang jihad dari Malaysia semakin meningkat dan pihak berkuasa kini telah mengenal pasti lebih daripada 500 akaun Facebook yang cuba merekrut golongan muda Malaysia untuk menyertai kumpulan pelampau Islamic State (IS) atau militan Negara Islam, kata seorang pegawai kanan cegah pengganas minggu lalu.
"Pada separuh pertama tahun lalu, kami telah mengenal pasti 30 rakyat Malaysia yang pergi ke Syria untuk menyertai IS," Ayob Khan Mydin, Timbalan Ketua Polis Diraja Malaysia Bahagian Cegah Keganasan memberitahu akhbar The Star.
Walaupun tindakan keras terhadap IS diambil oleh kerajaan Malaysia bermula pada tahun 2014, "jumlah (mereka yang menyertai IS) meningkat kepada 61, termasuk seorang budak lelaki berumur 14 tahun yang pergi bersama ibu bapanya pada akhir tahun yang lalu," kata Ayob.
"Taktik mereka telah berubah, mereka kini merekrut seisi keluarga. Ini sememangnya membimbangkan."
Profil di akaun Facebook dimiliki rakyat Malaysia dan mereka menggambarkan kumpulan pelampau itu secarai baik iaitu sebagai "(kumpulan yang) aman di bawah pemerintahan khalifah Abu Bakar al-Baghdadi," tambah Ayob dengan merujuk kepada pemimpin IS.
"Ada seorang rakyat Malaysia yang memberi amaran kepada keluarganya bahawa jika mereka bekerjasama dengan kerajaan atau menghalangnya daripada menyertai IS, dia akan pulang, dan jika dia ada peluang, dia akan membunuh mereka," kata Ayob.
Pada bulan Februari, Ayob mengumumkan bahawa tindakan kerajaan memerangi IS di ruang siber perlu dipergiat bagi mengelakkan ideologi kumpulan itu daripada tersebar di Malaysia melalui media sosial, agensi berita nasional Bernama melaporkan pada masa itu.
Ini akan memerlukan penglibatan dan kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa agama yang berkaitan, katanya. Pegawai-pegawai agama boleh membantu membetulkan salah faham tentang "jihad" dan istilah agama Islam lain yang telah dipesongkan oleh IS secara dalam talian, katanya kepada Bernama.
Akaun Pro-IS Membanjiri Twitter
Apabila The Star menyiarkan berita tentang akaun Facebook pro-IS yang menjadikan rakyat Malaysia sebagai sasaran, Institusi Brookings, sebuah kumpulan pemikir Amerika, mengeluarkan satu kajian baru tentang kewujudan IS secara dalam talian melalui satu alat media sosial yang berkuasa: Twitter.
Dari September 2014 hingga Disember 2014, sekurang-kurangnya 46,000 akaun Twitter telah digunakan oleh penyokong IS di seluruh dunia walaupun akaun tersebut bukan semuanya aktif pada masa yang sama, menurut laporan itu.
"Beribu-ribu akaun telah digantung oleh Twitter sejak Oktober 2014, secara jelas menjatuhkan keupayaan [IS] untuk menyebarkan propagandanya kepada lebih ramai orang," JM Berger, salah seorang pengarang bersama," berkata dalam satu blog di laman web Brookings yang turut menyiarkan kajian tersebut.
"Jika penggantungan dilaksanakan secara konsisten, ini memang mempunyai kesan ke atas jaringan yang disasarkan itu," katanya.
Wanndy: Penggemar Facebook
Mengikut The Star, akaun-akaun Facebook yang pro-IS masih aktif apabila akhbar itu bersedia untuk menyiarkan berita bagi penerbitan pada hari Jumaat.
Namun, satu akaun yang tidak lagi wujud ialah laman Facebook yang menggunakan nama Abu Hamzah al-Fateh. Akaun itu milik Muhamad Wanndy Muhamad Jedi, berusia 25 tahun dari Durian Tunggal, Melaka dan disyaki sebagai ahli IS.
Pada minggu lalu, mengikut laporan The Star, pihak polis telah mengenal pasti Wanndy dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Faris Anuar, 20, dari Gurun, Kedah, sebagai ahli sebuah unit IS yang merakamkan penyembelihan seorang banduan Syria.
Video selama 30 saat yang merakamkan pembunuhan itu muncul di akaun Facebook al-Fateh (Wanndy) pada 22 Februari.
"Ini ialah hukuman terhadap seorang perisik yang mengkhianati Islam ... satu pengajaran kepada kita semua," mengikut satu petikan daripada mesej yang didakwa disiarkan oleh Wanndy di Facebook bersama-sama dengan video itu, The Star melaporkan.
Pada 3 Februari, pemegang akaun Facebook yang sama menyiarkan mesej yang menawarkan maklumat kepada pembaca tentang pemikirannya secara sepintas lalu.
"Sepuluh tahun yang lalu, saya ialah seorang kanak-kanak yang disenaraihitamkan di kampung saya. Ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka berkawan dengan saya," dia menulis, merujuk kepada kampung kecil dia dibesarkan. "Ya, saya nakal, tidak baik ... tetapi sebagai pejuang jihad, Allah telah memberkati saya dengan ramai kawan dan (Allah) memahami kelemahan saya."
"Saya sudah sampai ke tahap ini kerana jihad dan peranan salah seorang hamba Allah yang pada mulanya bercakap dengan saya melalui Facebook. Facebook ialah tempat saya belajar tentang semua ini, "katanya, mengikut laporan The Star.