Kematian Militan Tokboy Suatu 'Kehilangan Besar' buat IS di Asia Tenggara: Pakar

Anis Natasha & Tia Asmara
2017.01.06
Kuala Lumpur & Jakarta
170106-ID-IS-leader-1000.jpg Tentera Filipina bersedia untuk memburu lebih daripada 100 banduan yang melarikan diri di pergunungan di pulau selatan Mindanao, 5 Jan, 2017.
[AFP]

Pembunuhan pemimpin kumpulan militan di Filipina memberi tamparan besar kepada Negara Islam (IS) berikutan terhapusnya ketua yang paling berpengaruh bagi satu daripada sekutu kumpulan itu di Asia Tenggara, kata pakar keganasan.

Mohammad Jaafar Maguid, yang dikenali sebagai Tokboy dan merupakan pengasas dan pemimpin Ansarul Khilafah Filipina (AKP), telah diburu dan ditembak di sebuah resort pantai di Mindanao, pulau selatan Filipina, oleh pasukan keselamatan pada Khamis, kata polis. Tiga lagi suspek ahli AKP, yang telah berikrar setia kepada Negara Islam, turut ditangkap.

"Kematian Tokboy adalah satu kehilangan besar buat kumpulan IS di Asia Tenggara. Pada masa ini, pilihan IS amat meluas di Filipina kerana puak pemisah di sana masih boleh bergerak bebas, " kata Nasir Abbas, seorang penganalisis di Pusat Perunding bagi Penyelidikan Polis dan Keganasan di Jakarta, kepada BeritaBenar.

"Kehilangan besar ini adalah kerana Tokboy amat berpengaruh di kalangan kumpulan pemberontak di Filipina, seperti AKP atau Abu Sayyaf. Ada kemungkinan  berlakunya tindakan membalas dendam di Filipina, "katanya.

Menurut Rohan Gunaratna, Pengarah Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Keganasan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura, AKP yang diketuai oleh Tokboy adalah satu daripada tiga kumpulan militan yang membentuk cawangan rasmi Negara Islam di Filipina.

IS Filipina terdiri daripada AKP, al Harakat ul Islamiyah Basilan yang diketuai oleh Isnilon Hapilon, dan Jund ul Tawhid yang diketuai oleh Amin Baco. Tiga kumpulan telah berikrar setia kepada IS, yang berpangkalan di Raqqa, Syria, dan telah diterima secara rasmi oleh kumpulan itu, kata Gunaratna, yang merupakan penyumbang BeritaBenar.

"Sebelum kematian pemimpinnya, Tokboy merupakan kumpulan ancaman berpusat IS yang paling penting di Filipina. Walaupun sebahagian besar keahliannya adalah Moro, AKP mengekalkan hubungan meluas dengan kumpulan pengganas asing. Ini termasuk hubungan operasi dengan MIT, JI dan beberapa kumpulan ancaman lain di Asia Tenggara, termasuk penyediaan senjata daripada AKP untuk MIT, " kata Gunaratna kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau merujuk kepada kumpulan militan Jemaah Islamiyah dan Mujahideen Indonesia Timur (MIT).

"Tokboy bekerjasama dengan pelbagai kumpulan ancaman di Filipina, terutamanya dengan Negara Islam Filipina yang diketuai oleh Isnilon Hapilon untuk menggalakkan agenda IS di Asia Tenggara," katanya.

Filipina: Pangkalan baru untuk IS?


Sementara itu, IS di Asia Tenggara sedang menilai sumber-sumbernya kerana kekuatan kumpulan itu semakin merosot di Iraq dan Syria di tengah-tengah serangan kerajaan terhadapnya, kata Jeneral Polis Hamidin, pengarah pencegahan di Agensi Counterterrorism Nasional Indonesia (BNPT), yang memetik laporan daripada pelbagai sumber.

IS tidak lagi mampu untuk membayar gaji dan keupayaan untuk membiayai operasi pejuang adalah terhad, katanya. Pemimpin IS, Abu Bakar al-Baghdadi, dipercayai sedang bersembunyi di ibu pejabat IS di Rakka.

"Pada masa ini, IS sedang merancang untuk memindahkan ibu pejabat tenteranya ke utara Afghanistan, dan Filipina pula ditampilkan sebagai alternatif yang kedua," kata Hamidin kepada BeritaBenar.

Kematian Tokboy juga mencipta peluang kepada rangkaian militanitu untuk mempertimbangkan Indonesia, berdasarkan kepada sejarah rangkaian pengganasnya, tambah beliau.

"Potensi tindakan membalas dendam keganasan adalah amat tinggi kerana arahan IS adalah sentiasa sama: bagi mereka yang mahu berjuang, mereka tidak perlu pergi ke Iraq atau Syria, sebaliknya anda boleh menjalankan amaliyah (tindakan keganasan) dalam kawasan anda masing-masing, "katanya.

"Apa lagi ciri IS adalah jika mereka diserang dan ditewaskan dalam satu lokasi, mereka mengarahkan rangkaian luar untuk bertindak sendiri," katanya.

BNPT dan institusi lain telah mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap potensi serangan militan termasuk dengan  mengetatkan keselamatan sempadan.

"Pihak berkuasa Indonesia telah pun memperkukuhkan keselamatan dan mengesan kumpulan pengganas dengan baik sehingga mereka tidak dapat bergerak bebas di sini. Dan, kami melakukan risikan dengan menyamar secara besar-besaran termasuk di ruang siber supaya kita tahu apa langkah-langkah strategik berikutnya yang perlu diambil, "kata Hamidin.

 

 

 

 

 

 

 

Polis Nasional Filipina mengeluarkan gambar tidak bertarikh  Mohammad Jaafar Maguid yang  juga dikenali sebagai Tokboy. [AFP]

Malaysia: Kesan minimum


Di Malaysia,  Ketua Penolong Pengarah Anti-Keganasan Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia berkata beliau tidak menjangka banyak perubahan berlaku dalam negaranya akibat kematian Tokboy.

"Kesan kepada ASEAN [Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara] dan Malaysia adalah minimum kerana apabila seseorang pemimpin meninggal dunia, pasti  ada seseorang untuk menggantikannya," kata Ayob Khan Mydin Pitchay kepada BeritaBenar.

Beliau menegaskan bahawa Abu Sayyaf (ASG), yang bersekutu dengan IS, adalah kumpulan militan yang paling kuat di Filipina.

"Polis Malaysia tahu tentang kumpulan yang disertai Tokboy tetapi tidak pasti sama ada ia mempunyai apa-apa kesan terhadap Malaysia. Kumpulan itu adalah satu daripada empat kumpulan yang ada. Terdapat tiga kumpulan lain yang masih aktif, "kata Ayob.

Beliau menamakan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro dan kumpulan Maute (IS di Lanao) sebagai kumpulan militan lain di selatan Filipina.

Masa lampau Tokboy


Tokboy tidak begitu terkenal di Indonesia atau penting kepada kumpulan militan di sana, kata Abbas, yang pada satu masa adalah ahli berpangkat tinggi Jemaah Islamiyah (JI).

Beliau menafikan bahawa Tokboy dikaitkan dengan JI, rangkaian al-Qaeda yang melakukan pengeboman Bali pada 2002, atau kepada kumpulan MIT yang berpangkalan di Sulawesi, yang kini keahliannya dikurangkan kepada sembilan ahli berikutan  operasi keselamatan selama dua tahun di wilayah itu.

"Polis Indonesia telah pun membuktikan bahawa kumpulan IS mahu menjalankan tindakan keganasan di Indonesia," katanya.

Pada November 2015, Tokboy dapat melarikan diri apabila Marin Filipina menyerbu sebuah kem AKP di Barangay Butril, Palimbang. Lapan anggota AKP terbunuh semasa pertempuran empat jam itu, demikian menurut Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC)  yang berpejabat di Jakarta dalam laporannya yang diterbitkan pada Oktober 2016.

AKP yang diterajui Tokboy  bertanggungjawab melakukan serangan pada Ogos 2008 di Mindanao yang menyebabkan  dua orang awam terbunuh selain siri rompakan dan jenayah lain,  lapor IPCA. Tokboy ditahan pada Julai 2008 tetapi dapat melarikan diri dari penjara pada Mac 2010 dan bergerak bebas sejak itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.