Undang-Undang Hudud Akan Jadi Kenyataan di Kelantan
2015.03.02

Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Pemuda parti PAS, berkata di dalam satu temu ramah dengan BeritaBenar, bahawa kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menggugatkan pengaruh parti pembangkang itu di dalam arena politik Malaysia; sambil menegaskan bahawa parti itu akan meneruskan perjuangannya untuk melaksanakan undang-undang Syariah di Kelantan, salah sebuah negeri di negara Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum.
Di dalam satu temu ramah di Washington pada Feb. 25, 2015, Fadhli, yang sedang menghadiri program Jabatan Negara Amerika Syarikat, Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP), juga mempersoalkan hukuman penjara terhadap Anwar Ibrahim, pemimpin barisan parti pembangkang, PKR, yang beliau anggap bermotifkan politik.
Q: Adakah dengan ketiadaan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggalkan kekosongan yang amat besar di dalam Parti PAS?
A: Berhubung dengan ketiadaan Tuan Guru Nik Aziz, yang meninggal dunia dua minggu yang lepas, sememangnya ia merupakan satu kehilangan yang cukup besar kepada perjuangan Parti Islam se-Malaysia, PAS. Namun, dalam masa yang sama kita yakin bahawa pemergian beliau tidak akan merencatkan perjalanan Parti ini kerana dasar dan perjuangan Parti Islam se-Malaysia, PAS, sudah cukup jelas digariskan dalam perlembagaan dan itulah yang dijulang oleh Tuan Guru sepanjang hayatnya. Dan kita optimis ia boleh diteruskan oleh pengganti-pengganti beliau selepas daripada ini.
Q: Apakah kesannya terhadap pucuk pimpinan PAS?
A: Kesan dari sudut survival perjuangan Parti saya yakin tidak ada kesan. Cuma dari sudut semangat dan juga rasa kehilangan tokoh yang begitu banyak berjasa ia satu perkara yang tidak dapat dinafikan. Ia merupakan lumrah kerana perjuangan tok guru dan nama tuan guru itu sendiri sudah sinonim dengan PAS.
Apatah lagi beliau menjadi menteri besar Kelantan bukannya dalam satu masa yang singkat tetapi memakan masa lebih kurang 23 tahun. Dan beliau dianggap sebagai seorang yang berjaya menumpaskan tiga perdana menteri dengan maksud seramai 3 perdana tidak berjaya merampas Kelantan daripada tangan PAS sepanjang beliau menjadi menteri besar bermula daripada Tun Dr. Mahathir, Datuk Abdullah Ahmad Badawi, kemudian Datuk Seri Najib Tun Razak.
Semuanya tidak berjaya merampas Kelantan didalam pilihanraya-pilihanraya umum. Jadi beliau amat sinonim dengan perjuangan. Tetapi apa yang penting kesan dari sudut perjuangan saya yakin dan saya percaya tidak ada kesan. Cuma rasa kehilangan kita rasa sedih dan semangat mungkin sedikit "down" tetapi itu merupakan satu lumrah. Saya tidak dapat menafikan.
Q: Ada spekulasi yang mengatakan bahawa PAS akan mengambil tindakan ekstremis dengan ketiadaan Nik Aziz.
A: Maksud tindakan ekstremis itu macam mana?
Q: ... Melalui agama ataupun tindakan yang lain.
A: Saya rasa tidak ada sebab kita daripada dahulu lagi semenjak diasaskan PAS pada tahun 1951 PAS berjuang di atas landasan demokrasi, mengambil ruang demokrasi yang di..dalam perlembagaan. PAS pernah kalah dan PAS pernah menang. PAS sebelum Nik Aziz pun banyak kalah dan menang. Ia bukan menjadi satu alasan untuk PAS bertindak di luar daripada kerangka demokrasi dengan kematian seorang tokoh. Saya rasa tidak.
Q: Adakah PAS mampu melawan Barisan Nasional untuk mengekalkan kerusi Chempaka di Dewan Undangan Negeri yang akan datang?
A: Sebagaimana yang anda tahu bahawa hari ini di Malaysia hari ini ...iaitu pada hari rabu, kalau tak silap saya, ya hari rabu hari ini, satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sudah pun diadakan di Kuala Lumpur. Dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa UMNO mengambil langkah tidak akan bertanding di Chempaka sebagai menghormati kematian Tuan Guru Nik Aziz seorang tokoh yang cukup berjasa. Jadi apabila UMNO tidak masuk bertanding saya rasa peluang untuk PAS mengekalkan kerusi Chempaka sudah cukup cerah. Inshallah. Tinggal lagi kita hanya perlu melaksanakan kerja lipat kali ganda untuk
melawan kemungkinan datangnya calon-calon bebas yang ditaja oleh pihak-pihak tertentu.
Q: Apakah pandangan Encik Fadhli tentang masa depan Pakatan Rakyat dengan ketiadaan Nik Aziz serta hukuman penjara Anwar Ibrahim?
A: Saya nampak bahawa rakyat sudah jemu dengan Barisan Nasional. Dan dengan itu rakyat akan mengalih sokongan kepada parti alternatif dan itulah Pakatan Rakyat yang ada pada hari ini. Dengan kematian Tok Guru dan terpenjaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya yakin perjuangan Pakatan Rakyat tidak akan berlandaskan kepada kekukuhan mana mana tokoh. Tidak. Ia akan bersaing di atas pentas yang adil iaitu mana satu dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional yang menawarkan tawaran lebih baik untuk rakyat. Saya optimis bahawa walaupun ada perbezaan dalam parti-parti Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat akan terus kekal untuk mendepani Barisan Nasional didalam pilihanraya akan datang.
Q: Adakah PAS setuju dengan dakwaan bahawa hukuman penjara ke atas Anwar ini berbau politik?
A: Saya cukup setuju. Saya yakin bahawa kita semua faham apa yang berlaku dari sudut hukuman yang rakyat sukar memahami bagaimana seorang yang berumur 60an..seorang tua dapat melakukan jenayah liwat ke atas seorang pemuda. Kalau sekiranya kejadian itu dilakukan dengan suka sama suka sudah tentu simangsa akan turut didakwa. Inilah merupakan satu tanda tanya kepada rakyat yang sukar untuk menerima peristiwa ini benar-benar berlaku. Saya rasa seluruh lapisan rakyat jika menggunakan pertimbangan akal yang baik mereka akan sukar untuk menerima hukuman ini kecuali ia betul-betul berlandaskan kepada kepentingan politik.
Q: Adakah PAS akan meneruskan rancangannya untuk melancarkan undang-undang hudud di Kelantan?
A: Di Kelantan, undang-undang hudud telah dibentangkan oleh Tok Guru pada 1993, sebelum wujudnya Pakatan Rakyat. Jadi saya kira tidak ada isu yang timbul berkenaan dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat setuju atau tidak. Kerana Pakatan Rakyat itu sendiri dibentuk selepas hudud dibentangkan di Kelantan. Jadi Kelantan mahu atau tidak mahu suka atau tidak suka tetap akan membentangkan undang-undang hudud pada bulan April ini dalam Dewan Undangan Negeri.
Q: Adakah hukuman seperti memotong tangan terhadap orang yang mencuri boleh di terima oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia?
A: Soalnya sekarang hukuman tersebut akan dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja. Undang undang hudud tidak terpakai kepada orang-orang bukan Islam. Hanya untuk orang-orang Islam sahaja. Saya kira tidak semestinya orang bukan Islam takut atau gerun dengan undang-undang ini. Ini kerana mereka tidak langsung terlibat dengan undang-undang jenayah shariah Islam.
Q: Bagaimana pula pandangan rakan-rakan PAS seperti PKR dan DAP tentang undang-undang hudud ini?
A: Sebahagian daripada mereka menerima, walaupun ada sebahagian daripada mereka menolak. Saya amat optimis sekiranya mereka mendapat maklumat yang sebenar dan mendapat penerangan yang jelas, saya rasa tidak ada sebab mereka akan menolak sebab - kerana mereka tidak dilibatkan dalam undang-undang kerana undang-undang ini mendakwa orang yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan, undang-undang yang mendakwa orang-orang yang tidak bersolat jumaat, undang-undang yang mendakwa mereka yang berkhalwat dalam bilik dan sebagainya. Semuanya tidak melibatkan orang bukan Islam. Jadi selama ini mereka boleh menerima undang-undang tersebut diamalkan kenapa tidak sekarang? Mereka mengambil sikap untuk menolak sedangkan undang-undang tersebut hanya untuk Muslim sahaja.
Q: Adakah PAS akan memperjuangkan untuk melaksanakan hukuman ini di seluruh negara?
A: Saya rasa tidak. Setakat ini cuma untuk Kelantan sahaja, dan kita cuba tengok macam mana penerimaan masyarakat dan kesannya terhadap kegiatan jenayah. Dan kita cuba buat pertimbangan selepas ini apakah langkah-langkah seterusnya. Tapi saya rasa yakin PAS tidak akan pergi ke peringkat tersebut dan kalau berlaku, ia hanya mungkin akan berlaku 100 tahun akan datang.