Malaysia Tubuh Pasukan Khas Ambil Tindakan Tegas Terhadap LGBT Hina Islam

S. Adie Zul
2021.06.24
Kuala Lumpur
Malaysia Tubuh Pasukan Khas Ambil Tindakan Tegas Terhadap LGBT Hina Islam Lantai yang diwarnakan dengan warna pelangi sebagai tanda meraikan LGBT Pride Month di Kompleks Samyan Mitrtown di Bangkok, Thailand, 11 Jun, 2021.
[AFP]

Malaysia menubuhkan sebuah pasukan penguatkuasaan khas yang akan mengambil tindakan tegas terhadap golongan LGBT (Lesbian, gay, biseksual dan transgender) yang ‘menghina Islam’ dengan mempromosi gaya hidup mereka di media sosial terutamanya semasa sambutan bulan ‘Gay Pride’, demikian kata Timbalan Menteri Hal-Ehwal Agama pada Khamis.

Human Rights Watch pada awal tahun ini pula berkata Putrajaya telah mempertimbang untuk mengenakan hukuman yang lebih tegas terhadap amalan seks sesama jantina secara rela, sekaligus menjurus negara itu kepada penafian hak asasi manusia yang sangat dalam.

Timbalan Menteri Ahmad Marzuk Shaary berkata satu mesyuarat khas telah diadakan pada Khamis yang membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama Islam melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial, selari dengan penubuhan pasukan khas menangani isu LGBT yang diwujudkan di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam.

“Mesyuarat Khas pada hari ini diadakan bagi membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama Islam melalui mempromosi gaya hidup LGBT di media sosial.

“Mesyuarat juga telah bersetuju untuk melaksanakan tindakan yang tegas secara bersepadu dalam kadar segera bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial, bagi menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani masalah ini,” kata Ahmad Marzuk.

Antara agensi yang terlibat dalam mesyuarat khas yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri itu adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai urusetia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Ahmad Marzuk berkata adalah sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month di mana gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, yang sedang mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka samada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.

“Kita mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT… tanpa tiada tapisan langsung terhadap kandungan video yang berkaitan hubungan sejenis yang giat disebarkan,” ujarnya lagi.

Susulan itu, Ahmad Marzuk berkata mesyuarat pada Khamis itu juga bersetuju mencadangkan pindaan terhadap Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.

“Mesyuarat juga telah bersetuju untuk mengambil tindakan mengenalpasti masalah dan kekangan yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu dan menghasilkan satu standard operating procedure (SOP) atau garis panduan bertulis secara komprehensif dan menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT,” tambahnya lagi.

Sekat promosi LGBT terhadap kanak-kanak

Ahmad Marzuk turut mempersoalkan kumpulan aktivis LGBT yang menurutnya berdiam diri terhadap tindakan seorang transgender yang didakwa cuba mempromosikan budaya LGBT kepada kanak-kanak di bawah umur dalam satu insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Pengantunan seksual atau pun sexual grooming terhadap kanak-kanak di bawah umur yang didakwa telah dilakukan oleh seorang transgender di media sosial beliau, yang mungkin boleh menjurus kepada perlakuan pedofilia, tidak pula diperjuangkan oleh kumpulan aktivis LGBT.

“Ia menunjukkan betapa mereka bersikap double standard kerana hanya memperjuangkan isu secara terpilih yang menguntungkan pihak mereka,” ujarnya lagi dalam kenyataan itu.

Difahamkan, Ahmad Marzuk merujuk kepada kes melibatkan seorang usahawan kosmetik transgender yang ditahan reman oleh pihak polis dua minggu lalu atas dakwaan melakukan amang seksual dengan dua orang remaja bawah umur dalam satu sesi siaran langsung atau ‘live chat’ di akaun media sosial miliknya.

Dalam video itu, usahawan berkenaan dan seorang rakannya dikatakan berpakaian menjolok mata, menari secara mengghairahkan serta menunjukkan aksi penggunaan rokok elektrik kepada kanak-kanak bawah umur.

Susulan itu, usahawan tersebut dan rakannya telah ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh Polis Daerah Kajang susulan satu laporan polis yang telah dibuat oleh seorang pensyarah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali.

Nafi diskriminasi LGBT

Pada Januari lalu, Ahmad Marzuk menafikan dakwaan kumpulan hak asasi yang kerajaan membenci atau mendiskriminasi golongan LGBT susulan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Kerajaan bercadang memasukkan dua perkara iaitu menukar jantina dan kandungan media sosial berkaitan segala bentuk perkara bertentangan dengan jantina serta seumpamanya sebagai kesalahan di bawah Akta 355 berkenaan.

Ahmad Marzuk menjelaskan pindaan itu dicadangkan kerana perbuatan tersebut dilarang dalam agama Islam sambil berkata kerajaan sebaliknya bertindak membuat perancangan lebih komprehensif dari sudut undang-undang, penguatkuasaan dan pemulihan kepada golongan LGBT sebagai tanda mengambil berat dan simpati ke atas golongan itu.

Sebelum itu, media tempatan melaporkan kenyataan kumpulan hak asasi, Lawyers of Liberty mengkritik tindakan kerajaan yang didakwa cuba mensasarkan golongan transgender dari kalangan umat Islam dengan cadangan pindaaan ke atas Akta 355.

Koordinator LFL Zaid Malek berkata tindakan itu adalah pelanggaran kepada Atikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang melarang sebarang diskriminasi berasaskan jantina.

LFL mendesak kerajaan untuk tidak mengambil tindakan berdasarkan tafsiran undang-undang Islam yang sempit sambil menyeru kerajaan untuk turut mengiktiraf hak-hak komuniti transgender seperti yang dilakukan oleh negara majoriti Islam yang lain seperti Mesir dan Iran serta Pakistan.

Pada Januari lalu, Human Rights Watch dalam satu kenyataan mendakwa cadangan kerajaan Malaysia untuk meminda Akta 355 Undang-Undang Syariah negara itu adalah satu usaha meningkatkan tekanan ke atas golongan LGBT.

Malah HRW mendakwa langkah meningkatkan hukuman di bawah undang-undang Syariah itu adalah bertentangan dengan hukuman maksima yang terkandung dalam undang-undang persekutuan.

“Undang-undang Malaysia dan Persekutuan yang menghukum golongan LGBT adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, dan kelihatannya kerajaan semakin terjerumus lebih jauh dalam menafikan hak asasi manusia,” menurut Neela Ghoshal, pengarah bersekutu hak asasi LGBT di HWR dalam kenyataan itu yang dikeluarkan di Bangkok, Thailand.

Nada yang sama turut ditegaskan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang mengkritik cadangan pindaan ke atas Akta 355, sambil menggesa kerajaan untuk mengambil pendekatan yang lebih bertimbang rasa dengan menghormati hak asasi untuk semua.

Dalam kenyataan berasingan sebelum itu, HRW dalam laporan World Report 2020 menyifatkan kerajaan Malaysia gagal untuk mencapai reform dalam perihal berkaitan kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan melindungi hak kumpulan LGBT.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.