Rakyat India Ditahan Bersama Dadah Bernilai RM296 Juta

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.03
150703-MY-INDIADADAH620 Polis Malaysia berdiri pengawal berhampiran bahan bukti kes dadah melibatkan warga Mexico di luar sebuah mahkamah di Kuala Lumpur. 27 April 2011.
AFP

Polis Malaysia menahan seorang lelaki warga India dan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah dipercayai ketamin bernilai kira-kira RM296 juta dalam dua serbuan di Selangor pada Jumaat.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy sebagai berkata kedua-dua suspek berusia 36 dan 42 tahun itu ditahan di Jinjang dan Rawang serta merampas sejumlah 19 tan dadah disyaki ketamin dalam serbuan itu.

"Dalam serbuan pertama, seorang lelaki warga India berusia 36 tahun ditahan di tepi Jalan Jambu, Taman Sri Delima di Jinjang setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemukan dua beg plastik yang di dalamnya terdapat dua paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna putih. Di dalam kedua-dua plastik itu terdapat 10kg dadah disyaki ketamin," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Munusamy berkata hasil soal siasat terhadap suspek itu membawa pasukan polis kepada serbuan kedua di sebuah rumah yang dijadikan stor  menyimpan barang di Jalan Amansiara, Rawang.

"Selepas intipan selama beberapa jam, suspek kedua ditahan pada 6 pagi, iaitu seorang warga tempatan berusia 42 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan dan juga seorang ahli perniagaan.

"Turut dirampas dalam serbuan itu ialah sejumlah 762 guni plastik mengandungi bahan-bahan memproses dadah disyaki ketamin berjumlah 19,050 kg dan 34 paket plastik dadah itu yang berjumlah 170kg di stor berkenaan," katanya sambil menambah kejayaan itu hasil risikan dan siasatan sejak sebulan lepas.

Munusamy berkata dadah itu dipercayai dibawa masuk dari India dan siasatan sedang dijalankan untuk memastikan bila dan bagaimana ia dibawa ke Malaysia.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.