Malaysia Ambil 1.5 juta Pekerja Bangladesh Mulai Julai
2015.06.25

Malaysia akan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi menampung permintaan majikan daripada pelbagai sektor, kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.
Beliau berkata, Malaysia telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan kerajaan Bangladesh dan dijangka memeterai perjanjian tidak lama lagi.
"Kami jangka akan memeterai perjanjian pada bulan Syawal (Julai) ini di Dhaka (Bangladesh), katanya sambil menambah para pekerja ini akan diambil bekerja di dalam pelbagai bidang terutama perladangan dan untuk memenuhi permintaan pasaran pekerjaan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pekerja baru dan dilatih
"Bagaimanapun, inisiatif ini hanya melibatkan pekerja yang 'fresh' (baru tiba) dari Bangladesh, pendatang asing tanpa izin Bangladesh yang bekerja di negara ini tidak terlibat dan kita akan tetap hantar mereka pulang," katanya seperti yang dilaporkan Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata pekerja Bangledesh yang akan dibawa masuk ke negara ini akan dilatih terlebih dahulu di negara itu dan menjadi pekerja separa mahir serta pekerja yang memenuhi spesifikasi keperluan khusus majikan di Malaysia.
“Terdapat permintaan yang tinggi terhadap pekerja asing oleh majikan Malaysia dan rakan sejawatan dari Bangladesh telah bersetuju untuk membawa 500 ribu pekerja berkemahiran rendah dan separa mahir untuk mengisi kekosongan terutamanya dalam industri perladangan, pembinaan dan perkhidmatan," katanya.
Bagaimanapun, katanya majikan akan dikenakan empat syarat sekiranya ingin menggaji pekerja Bangladesh.
“Empat syarat itu ialah pekerja mesti diberikan perlindungan insurans; pekerja diberi kemudahan kediaman secara berpusat; gaji dibayar melalui bank; dan memberikan perlindungan keselamatan secukupnya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kementerian Kebajikan Pekerja Luar Negara Bangladesh Khandakar Iftekhar Hayder memberitahu BeritaBenar di Dhaka, "Malaysia akan mengambil 500 ribu pekerja Bangladesh dalam tempoh setahun, dan perjanjian mengenai persetujuan itu akan ditandatangani oleh kedua-dua negara selepas perayaan Aidil-Fitri.
Pada Rabu, portal berita Bangladesh24.com melaporkan bahawa Malaysia akan mengambil 500 ribu pekerja Bangladesh melalui agensi pekerja swasta dari negara itu.
Laporan yang memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebajikan Pekerja Luar Negara Bangladesh sebagai berkata, 500 ribu pekerja berkemahiran rendah dari Bangladesh akan diambil bekerja di Malaysia melalui mekanisma baru perjanjian perniagaan ke perniagaan (B2B) yang melibatkan agensi-agensi tenaga kerja kedua-dua negara.
Menteri Kebajikan Pekerja di Luar Negara Mosharraf Hossain kini sedang berada di Kuala Lumpur bersama delegasi tujuh pegawai untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.
Kira-kira 600 ribu pekerja Bangladesh sedang bekerja di Malaysia pada masa ini.
Oleh staf BeritaBenar dengan maklumat dari laporan berita