Indonesia Cadang Naikkan Gaji Pembantu Rumah

Oleh staf Berita Benar
2015.05.29
150529-MY-AMAH620 Seorang pembantu rumah Indonesia sedang belajar cara menyiapkan katil semasa menjalani latihan sebagai pembantu rumah di sebuah agensi di Jakarta, Indonesia. 27 Januari 2014,
AFP

Rakyat Malaysia menjadi marah, apabila mengetahui tentang cadangan kerajaan Indonesia untuk menaikkan gaji pembantu rumah yang bekerja di negara itu.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Indonesia telah menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia Malaysia supaya gaji bulanan pembantu rumah Indonesia dinaikkan daripada RM800 (USD$250) kepada RM1,200 (USD$375).

Timbalan Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono berkata cadangan untuk kenaikan gaji itu diperlukan kerana kerjaya tersebut semakin kompetitif di peringkat global.

"Jika dilihat gaji di negara lain, ia [gaji] adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan gaji yang ditawarkan di Malaysia," katanya kepada agensi berita itu di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tingkat kualiti hidup pembantu rumah

Hermono berkata, kertas cadangan itu telah diserahkan kepada Malaysia sewaktu mesyuarat antara Kementerian Sumber Manusia kedua-dua negara di Putrajaya pada 12 Mei lepas.

Katanya delegasi Indonesia diketuai Ketua Pengarah Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja Reyna Usman manakala Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Saripuddin Kasim.

Hermono berkata kertas cadangan yang dihantar kepada Kementerian Sumber Manusia Malaysia itu, merangkumi beberapa perkara sebagai usaha meningkatkan kualiti hidup pembantu rumah dari negara itu.

"Dan sekarang ini, kita menantikan maklum balas dari Malaysia," kata beliau.

Pada tahun 2012, Indonesia pernah mendesak kenaikan gaji bulanan pembantu rumah daripada RM500 (USD$160) kepada RM800 (USD$250). Jika cadangan terbaru ini diluluskan, ia merupakan kenaikan gaji dalam tempoh tiga tahun.

Dalam perkembangan yang sama Menteri Tenaga Manusia Indonesia M Hanif Dhakiri menyatakan kerajaan Indonesia telah mengusulkan kepada kerajaan Malaysia supaya gaji bulanan pembantu rumah dinaikkan daripada RM700  kepada RM1,200.

"Kami fikir jumlah ini adil” dalam usaha kerajaan Indonesia memastikan perlindungan bagi pekerja, termasuk melindungi hak dan keselamatan mereka," katanya kepada BeritaBenar di Jakarta pada Isnin lepas.


Kadar terlalu tinggi

Sementara itu, Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) mempertikaikan tindakan Indonesia yang cuba menetapkan gaji pembantu rumahnya kerana menganggap kadar itu terlalu tinggi dan tidak setaraf dengan status pekerja yang tidak terlatih.

Presidennya, Engku Fauzi Engku Mohsin berkata, jumlah itu terlalu tinggi sedangkan gaji minima yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia untuk semua jenis pekerjaan bagi warganegaranya adalah RM900 (USD$282) sebulan.

‘’Jumlah tersebut tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Disamping majikan juga menyediakan bilik, makanan dan keperluan lain untuk pembantu rumah itu.

‘’Kebanyakan pembantu rumah ini, juga tidak terlatih, malahan majikan terpaksa mengambil inisiatif untuk melatih mereka menggunakan pelbagai peralatan elektrik,’’ katanya pada BeritaBenar pada Jumaat.

Engku Fauzi juga menegaskan, kerajaan Indonesia tidak perlu sombong berhubung perkara ini kerana, majikan di Malaysia boleh mendapatkan sumber pembantu rumah dari negara lain seperti Kemboja, Vietnam dan Filipina yang juga menawarkan pembantu rumah beragama Islam.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan Malaysia perlu meneliti permintaan Indonesia itu sebaik-baiknya dan tidak terus menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh mereka.

Seorang rakyat Malaysia yang enggan namanya disiarkan berkata, rakyat tempatan terpaksa hidup dengan gaji minima RM900 sebulan dan pemintaan Indonesia itu dianggap sebagai “merepek”.

Bagi Jamie SH seorang ibu yang terpaksa bekerja di ibukota Kuala Lumpur,  cadangan kenaikan gaji itu tidak masuk akal.

“Ini kerana kebanyakan pembantu rumah Indonesia tidak mempunyai kemahiran dan terpaksa dilatih dalam tempoh yang lama setelah diambil bekerja,” katanya kepada BeritaBenar.

Tahun lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mengatakan republik itu bercadang untuk berhenti menghantar warga wanitanya keluar negara untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Awal bulan ini, republik itu telah memutuskan untuk tidak menghantar rakyatnya ke negara-negara Timur Tengah sebagai pembantu rumah susulan beberapa kes penderaan kejam dan pembunuhan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jokowi pada pertemuan Februari lepas juga bersetuju untuk mewujudkan hanya satu saluran pengambilan pembantu rumah dari republik itu ke Malaysia bagi tujuan memelihara kepentingan mereka selain menangani masalah kemasukan pendatang tanpa izin.

Dianggarkan lebih 4,000 pembantu rumah dari Indonesia masuk melalui saluran rasmi, manakala 105,000 pembantu rumah dilaporkan memasuki Malaysia secara haram.

Hata Wahari dan Viana Geary menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.