Mahkamah: Pasangan Suami Isteri Didakwa Dera Pembantu Rumah Indonesia
2021.01.29
Kuala Lumpur

Sepasang suami isteri warga tempatan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan mengeksploitasi pengabdian dengan menggunakan kekerasan, mencedera dan memperdagangkan seorang pembantu rumah rakyat Indonesia mereka tahun lalu.
Pengusaha besi buruk, Lim Tuan Ann, 42, telah dituduh dengan satu pertuduhan manakala isterinya, Lim Siew Lan, 41, seorang surirumah dihadapkan dengan lima pertuduhan mengaku tidak bersalah apabila kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka atas kesalahan mendera pembantu rumah berusia 26 tahun.
"Lim Tuan Ann, dan Lim Siew Lan, 41, anda masing-masing didakwa memperdagangkan mangsa yang berusia 26 tahun bagi maksud eksploitasi pengabdian dan pegabdian dengan menggunakan kekerasan di rumah anda di Taman Batu, Sentul di sini, pada 24 November 2020," kata jurubahasa ketika membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi kesalahan itu kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 12 dan 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan penjara tiga hingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, di ruang mahkamah sesyen berasingan, Siew Lan telah didakwa dengan empat pertuduhan lain iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah antaranya menggunakan air panas terhadap mangsa di lokasi sama antara 1 Ogos hingga 13 November 2020, di hadapan Hakim Mahyon Talib, Hakim Izralizam Sanusi dan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Bagi keempat-empat kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara tujuh dan 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat.
Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli dan Mohamad Shahrizzat Amadan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam R.Sivaraj.
Mahkamah kemudian membenarkan Tuan Ann diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin manakala isterinya Siew Lan diikat jamin RM48,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 19 Februari depan bagi sebutan semula semua kes.
Pada 25 November tahun lalu, pasangan suami isteri itu ditahan di Taman Batu Jinjang, Sentul kerana disyaki mendera pembantu rumah mereka gara-gara tidak berpuas hati dengan kerjanya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai yang mengesahkan tangkapan itu memberitahu yang penahanan tersebut adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh orang awam mengenai kes dera melibatkan seorang pembantu rumah.
Hasil serbuan di rumah berkenaan, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia yang mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai didera oleh majikannya.
Kedua-dua suspek ditahan polis di rumah mereka oleh pasukan Bahagian D3 ATIPSOM Bukit Aman dan merampas beberapa alat yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 13 Atipsom 2007, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Identiti dirahsiakan
Sementara itu, Beh ketika dihubungi BeritaBenar pada Jumaat menyatakan identiti mangsa dirahsiakan bagi memberi perlindungan kepadanya.
“Identiti mangsa dirahsiakan untuk melindungi privasinya dan beliau sekarang ditempatkan di bawah penjagaan pusat perlindungan saksi,” kata Beh semasa dihubungi BeritaBenar.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati mangsa bekerja di rumah pasangan berkenaan dengan permit yang sah sejak 14 bulan lalu namun mula didera selepas tidak berpuas hati dengan prestasi kerja malah mangsa juga tidak dibayar gajinya.
Dalam pada itu, sumber polis yang dekat dengan siasatan mengesahkan kepada BeritaBenar, selain dibiarkan tinggal di luar rumah dan dipaksa memakai lampin pakai buang, mangsa juga pernah dibiarkan kebuluran lebih lapan hari oleh majikannya.
Kes penderaan pembantu rumah di Sentul itu, bukan satu kes baharu, malah terdapat beberapa kes pembantu rumah didera sehingga meninggal dunia, di mana pada Februari 2018, seorang pembantu rumah Indonesia, Adelina Lisao, ditemui mati di luar rumah majikannya di Pulau Pinang, dengan mengalami kecederaan di kepala dan mukanya yang bengkak akibat didera.
Majikannya telah didakwa di mahkamah kerana menyebabkan kematian tersebut, tetapi dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Adeline oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas kes berkenaan dibawa ke mahkamah tersebut, pada 21 September lalu.
Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Ambila MA Shan, 62, majikan Adelina itu telah mendapat kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi manusia di Malaysia dan Indonesia yang melihat keputusan itu sebagai memberi isyarat merbahaya kepada pengeksploitasi manusia, kegagalan menegak keadilan dan penguatkuasaan yang lemah melibatkan hak pembantu rumah.