Malaysia Airlines: Kesatuan Ancam Lancar Mogok
2015.06.09
Proses penamatan perkhidmatan 6,000 orang kakitangan Malaysia Airlines (MAS) didakwa
“tidak adil” lantas menimbulkan kebimbangan kebanyakan kakitangan syarikat penerbangan nasional negara itu.
Selain tidak adil, proses pemberhentian itu juga disifatkan sebagai membingungkan oleh kebanyakan kakitangannya.
Pada 1 Jun lalu, Malaysia Airlines menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya, diikuti dengan surat tawaran kepada 14,000 orang kakitangan untuk menyertai entiti baru Malaysian Airlines Bhd (MAB).
MAB sebagai entiti baru yang ditubuhkan oleh pemegang saham utama MAS, Khazanah Nasional Bhd, dalam mengambil alih kontrak, aset dan liabiliti syarikat penerbangan nasional itu dalam usaha memulihkannya bagi meraih semula keuntungan.
Proses penyusunan semula Malaysia Airline meliputi pemberhentian pekerja. Ia juga merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan 12 perkara MAS yang diumumkan Khazanah dalam usaha untuk mengekang kos dan mengecilkan operasinya.
Tidak jujur dan tipu helah
Proses pemberhentian itu di dakwa pekerja sebagai 'tidak jujur dan terdapat tipu helah yang licik.'
“MAS yang menawarkan terma dan syarat pekerjaan semula, juga didapati tidak saksama kepada mereka yang terlibat,” menurut seorang sumber.
Kesatuan Kebangsaan Atendan Penerbangan (NUFAM) pada Selasa, mengancam untuk mengadakan mogok sekiranya Malaysia Airlines tidak menarik balik surat penamatan kerja yang diberikan kepada kira-kira 6,000 pekerjanya.
Presiden kesatuan itu, Ismail Nasaruddin menuntut syarikat penerbangan itu, supaya mengambil kesemua pekerja berkenaan untuk bekerja semula.
"Jika tuntutan ini tidak dipenuhi dalam masa 48 jam, pekerja-pekerja yang terlibat akan menghentikan semua kerja mereka dan bermogok," katanya.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ismail memberi amaran bahawa mogok akan berterusan sehingga syarat-syarat yang dikemukakan oleh kesatuan itu dilayani oleh syarikat penerbangan berkenaan.
"Semua kesatuan yang mewakili kakitangan syarikat penerbangan itu telah dipanggil berbincang beberapa kali dengan pihak pengurusan, namun, NUFAM tidak dipanggil untuk berunding," kata sumber .
Dalam pada itu, Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airlines (MASEU) mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan NUFAM pada Selasa apabila mendakwa Pusat Pembangunan Korporat (CDC) iaitu sebuah badan yang ditubuh Khazanah Nasional Bhd, pemilik MAS, telah membantu pekerja MAS yang diberhentikan untuk mencari pekerjaan baru.
"Saya dimaklumkan lebih 700 pekerja MAS yang diberhentikan itu, telah ditawarkan pekerjaan lain oleh pihak Malindo Air, Air Asia, serta Etihad," kata Presiden MASEU Alias Aziz.
Menurutnya MASEU akan terus berusaha mencari pekerjaan alternatif untuk pekerja MAS yang diberhentikan termasuk cuba menghubungi dan mendapat bantuan menteri besar dan ketua menteri di semua negeri di Malaysia, lapor Bernama.
Bagi Khazanah, langkah pemberhentian itu sebahagian daripada penstrukturan semula MAS, yang dilakukannya berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, ketelusan dan belas ehsan.
Seramai 20,000 pekerja MAS ditamatkan perkhidmatan bermula 1 Jun lepas, disusuli pengedaran surat tawaran kepada 14,000 bekas pekerjanya untuk menyertai entiti baru, MAB sebagai penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airline, Christoph Muller yang baru dilantik berkata syarikat penerbangan nasional negara itu sudah bankrap.
"Penerbangan Malaysia secara teknikalnya sudah muflis dan kemerosotan prestasi bermula lama sebelum berlakunya dua tragedi pada tahun 2014," kata beliau merujuk kepada dua bencana yang menggegarkan syarikat penerbangan itu sehingga mengalami kerugian teruk pada tahun lepas.
Pada 8 March tahun lepas, pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua orang bayi, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Usaha mengesan pesawat itu masih diteruskan.
Empat bulan kemudian sebuah lagi pesawat Boeing 777-200 MH17 bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal, yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, ditembak ketika melalui ruang udara Ukraine dan jatuh di timur Donetsk, kira-kira 60 kilometer (38 batu) dari sempadan Russia.
Mueller merupakan ketua pegawai eksekutif rakyat asing pertama diberi tanggungjawab untuk memulihkan syarikat penerbangan itu sejak Mei lepas.
"Proses penstrukturan semula, bermula 1 Jun. Malaysia masih perlu mempunyai syarikat penerbangan kebangsaan yang sendiri bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara. Namun model perniagaannya perlu dikendalikan sebagai sebuah entiti komersial,” tambah Mueller.
Menyifatkan proses penyusunan semula MAS itu sebagai "pemulihan semula yang sukar', beliau berkata model perniagaan MAB akan dijalankan sebahagian besarnya sebagai operasi komersial dengan harapan syarikat penerbangan itu akan pulih semula menjelang 2017.