Gempa Bumi: Sejumlah 19 Mayat Telah Ditemui Di Gunung Kinabalu
2015.06.08

Gempa bumi yang melanda Ranau di Sabah pada pagi Jumaat lalu, telah mengorbankan 19 nyawa manakala dua orang lagi dianggap sebagai hilang.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Farhan Lee Abdullah berkata, kebanyakan 19 mangsa yang terkorban dalam gempa bumi itu adalah malim gunung dan pendaki Gunung Kinabalu.
Katanya, kesemua mereka yang maut ditemui di sekitar kawasan trek Via Ferrata.
Mereka yang terbunuh termasuk tujuh warga Malaysia, sembilan warga Singapura dan tiga lagi dari Filipina, China dan Jepun.
Manakala yang dianggap hilang terdiri daripada seorang guru dan seorang murid dari Singapura.
Laporan The Straits Times menyebut seramai 29 orang pelajar dan lapan orang guru dari Sekolah Rendah Tanjung Katong sedang menyertai lawatan sambil belajar yang dikenali sebagai ' Cabaran Omega' di Gunung Kinabalu ketika gempa bumi itu berlaku.
Tujuh orang rakyat Malaysia yang terbunuh dalam gempa bumi itu ialah Lim Choon Seong (pendaki), Muhammad Logman Bin Abd Karim(pendaki), Mohd Khairuladzuan Abd(pendaki) Valerian Joanes (kakitangan Mountain Torq), Ricky Masarin (kakitangan Mountain Torq), Joseph Solugin(malim gunung) dan Robbie Sapinggi(pelatih gunung).
Rakyat Singapura yang terbunuh ialah Rachel Ho Yann Shilin(12/Perempuan), Sonia Jhala(12/P), Emilie Giovanna Ramu(12/P), Ameer Ryyan Mohd Aded(12/Lelaki), Navdeep Singh Jayral A/L Raj Kumar(13/L), Mohammad Ghazi Bin Mohamed(35/L), Loo Jian Liang Terrence(29/L), Muhammad Daanish Amran(22/L), Wee Ying Ping Peony(12/P), kesemua mereka merupakan pelajar dan guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong.
Rakyat Filipina yang terbunuh ialah Karyl Mitzi Higuit Matahom(12/P), yang juga dari rombongan pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong.
Dua lagi mangsa asing yang dijumpai ialah Ozaki Masahiro(29/L) dari Jepun dan Lugi (35/L) dari China.
Mayat tujuh orang rakyat Singapura terdiri daripada lima pelajar, guru dan jurupandu yang telah diterbangkan dengan pesawat C-130 Tentera Udara Singapura ke republik itu pada Ahad malam.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau turut melanda gunung itu pada pagi Jumaat lalu, dan telah menyebabkan gegaran yang dapat dirasai dibeberapa kawasan lain iaitu di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Operasi menyelamat ditangguh cuaca buruk
Farhan Lee berkata, operasi mencari dua lagi rakyat Singapura yang disenaraikan hilang di gunung itu ditangguhkan sementara ekoran keadaan cuaca yang berkabus.
Beliau berkata operasi pada Isnin terpaksa ditamatkan pada pukul 5.30 petang. Ia melibatkan kumpulan yang berjalan kaki dan juga pemantauan udara menggunakan helikopter tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Layang-Layang Aerospace.
“Berikutan awan yang sangat tebal di Gunung Kinabalu helikopter tidak dapat membuat pendaratan di Laban Rata,” katanya.
"Satu percubaan menyelamat telah bermula sejak 6 pagi, melalui jalan udara dan darat, namun kami tidak menjumpai apa-apa.
“Tiga buah helikopter yang digunakan tidak dapat menembusi kawasan yang dilitupi awan tebal sementara keadaan tiupan angin yang kuat turut menjejaskan misi," tambah Farhan Lee.
Beliau berkata pasukan menyelamat yang melalui jalan darat pula tidak dapat menghampiri kawasan yang disasarkan kerana gegaran susulan masih dirasai, membuatkan batu-batu terus jatuh di lereng gunung.
"Kumpulan penyelamat ini tidak dapat mendekati kawasan yang hendak dituju. Pasukan menyelamat mahu mendekati Kilometer 7.5 namun mereka hanya berjaya sampai ke Kilometer 6.8," katanya.
Beliau berkata lima mayat masih belum dituntut oleh keluarga manakala yang lain sudah dituntut.
Sementara itu, akhbar The Star melaporkan, seorang saksi memberitahu, bongkah batu yang besar dan bertan-tan beratnya telah bergolek menuju ke arah sebahagian besar pelajar sekolah rendah dari Singapura itu.
Kebetulan pada masa kejadikan kesemua mereka sedang bersiap sedia menuruni kawasan trek yang bertali di gunung itu.
Pada saat bongkah batu yang besar dan berat itu sedang bergolek ke arah kawasan curam dan lereng gunung berkenaan, sekumpulan kira-kira 40 murid sekolah rendah serta guru mereka itu, secara kebetulan sedang berada di bawah dan bersiap sedia untuk menggunakan tali di trek via ferrata, kata saksi, yang enggan namanya disiarkan.
“Mereka dibahagikan kepada lima kumpulan. Setengah daripada mereka baru sahaja memasang tali keselamatan pada badan apabila mereka mendengar bunyi kuat gegaran bagaikan guruh dari atas mereka yang sebenarnya adalah bongkah-bongkah batu besar yang sedang bergolek turun ke arah mereka,” kata saksi itu.
Via ferrata dikendalikan oleh Mountain Torq yang mana pemiliknya Wilfred Tok memberitahu debu dan kabus daripada runtuhan bongkah besar itu, telah menghalang pemandangan jurupandu daripada melihat bahaya yang sedang bergerak ke arah mereka.
Akibatnya, mereka gagal bertindak segera untuk menyelamatkan murid-murid itu yang masih terikat pada tali keselamatan mereka.
Menurut Tok, segala-galanya berlaku dengan begitu pantas sekali sehingga menyebabkan mereka tergamam dan gagal bertindak segera untuk menyelamatkan diri.
Beliau berkata, runtuhan bongkah batu itu turut menghalang laluan turun yang menyebabkan lebih 100 pendaki tersadai di penara puncak selama lebih 12 jam.
Katanya, baki serpihan batu dan bongkah besar yang pecah dan bergolek yang menghempap Via ferrata itu telah terkena beberapa orang murid dari Singapura.
Farhan Lee berkata pasukan penyelamat menemui cebisan jasad yang dipercayai terhempap oleh bongkah batu yang bergolek semasa kejadian gempa itu.
“Cebisan jasad yang ditemui itu telah dihantar untuk pemprosesan DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa dengan cepat mungkin,” katanya.
Gunung Kinabalu alami kerosakan teruk
Dalam perkembangan yang sama Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan gempa bumi itu telah mengakibatkan bahagian selatan Gunung Kinabalu mengalami kerosakan teruk.
Pengarah Taman-Taman Sabah Jamili Nais berkata menerusi pemerhatian bersama pasukan penyelamat ketika berada di ruang udara gunung tersebut pagi Isnin, bahagian selatan gunung itu mengalami runtuhan yang teruk.
“Sebelum membuat tinjauan itu kami merancang untuk mendarat di Laban Rata, sebelum memulakan pendakian ke kilometer 7 (4.4 batu) untuk melihat tahap kerosakan di situ. Namun kami tidak dapat mendarat ekoran kabus tebal dan angin kencang.
"Oleh itu kami hanya dapat melakukan tinjauan dari udara dan menerusi tinjauan itu, saya melihat runtuhan batu seperti satu aliran sungai yang dinamakan 'River of Stone' yang bermula di antara puncak 'Donkey Ears dan puncak 'Tunku Abdul Rahman'," katanya
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, mengumumkan pada Sabtu, pembatalan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan yang dijadualkan berlangsung pada Ahad di Ranau.
Beliau turut memaklumkan bahawa hari Isnin adalah hari berkabung untuk memperingati mangsa yang terkorban.
Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang melawat dan sedang mendengar taklimat mengenai kejadian itu pada Ahad, di Restauran Liwagu, Taman Kinabalu, Kundasang, terpaksa bergegas turun dari tingkat atas bangunan dua tingkat , apabila merasai gegaran dan disertai bunyi seperti benda retak dirasai semua tetamu. Taklimat yang disampaikan Ketua Polis Daerah Ranau Farhan Lee itu kemudian disambung di luar bangunan restoran.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abd Malik Tussin berkata sebanyak 54 gegaran susulan direkodkan jabatan itu, berikutan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau, sejak Jumaat lalu.
Kesemua gegaran susulan itu berukuran antara 1.6 hingga 4.5 pada skala Ritcher.
"Sebenarnya ini keadaan biasa bila berlaku gempa yang sederhana kuat, pasti ada gempa susulan. Cuma kami tidak dapat pastikan berapa lama gempa susulan ini akan berterusan, boleh jadi sehari atau seminggu dan mungkin berbulan-bulan.
"Kalau mengikut data yang saya perolehi, pada hari pertama iaitu Jumaat sahaja kita lihat ada 30 gegaran susulan, pada hari Sabtu pula 13 gegaran susulan dan semalam 11 gegaran," katanya seperti dilaporkan Bernama pada Isnin.
"Memang sebenarnya kita tidak menjangka begini banyak susulan, kami juga tengah cuba mencari punca berlakunya gempa bumi ini," katanya.
"Berdasarkan kepada sejarah gempa bumi di seluruh dunia, kemungkinan berlaku gempa lebih besar daripada gegaran utama namun kebarangkaliannya terjadi agak kecil, antara 5 hingga 10 peratus sahaja," katanya.
Pelancong bogel di Gunung Kinabalu ditahan
Dalam pada itu, pada Isnin, Polis menahan salah seorang daripada 10 pelancong asing yang dikehendaki kerana berbogel dan membuang air kecil di atas Gunung Kinabalu pada 30 Mei lepas.
Insiden pelancong berbogel selepas berjaya tiba di puncak gunung itu telah membangkitkan kemarahan di kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan di Kundasang kerana kelakuan biadap mereka itu yang tidak menghormati adat resam tempatan.
Kelakuan tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin Kadazandusun yang mengakui perbuatan itu, satu penghinaan kerana bagi mereka Gunung Kinabalu adalah tempat suci dan mereka percaya kejadian gempa bumi itu berlaku akibat kemarahan aki (pelindung gunung).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Salehuddin Abdul Rahman mengesahkan penangkapan seorang lelaki Eropah berusia 38 tahun yang hendak meninggalkan negara untuk ke Filipina selepas tiba dari Tawau pada kira-kira 4.20 petang Isnin.
Sallehuddin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mengganggu ketenteraman awam, yang membawa hukuman denda sehingga RM400.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Najib Razak telah mengutus surat ucapan takziah kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berhubung kematian lapan orang rakyat republik itu dalam tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu.
Lee Hsien Loong telah mengisytiharkan Isnin (8 Jun) sebagai Hari Peringatan Negara untuk mereka yang menjadi mangsa bencana alam itu.
Bendera republik ini dikibar separuh tiang di semua bangunan kerajaan dalam keadaan cuaca mendung sebagai tanda mengingati mereka yang maut dan masih hilang akibat bencana alam itu.
Singapura yang kini menjadi tuan rumah kejohanan Sukan SEA turut mengadakan tafakur selama satu minit sebelum memulakan pertandingan pada Isnin bagi memperingati mangsa gempa bumi itu.
"Walaupun kita meneruskan temasya sukan ini, marilah kita semua sebagai komuniti atlet, pegawai dan rakyat, bersatu untuk mengingati dan menghormati jiwa yang telah hilang serta terus mendoakan keselamatan mereka yang masih belum dapat dikesan," kata satu kenyataan oleh Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Tenggara Singapura (SINGSOC).