Sembilan Lagi Ditahan Terlibat Sindiket Pemerdagangan Manusia

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.30
150630-MY-PATI620 Pelarian warga Rohingya semasa berada di sebuah pusat tahanan sementara di Langkawi, Kedah. 12 Mei 2015.
AFP

Polis Malaysia menahan sembilan pendatang tanpa izin dari Myanmar dan Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Perlis, Mei lepas.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai berkata, mereka terdiri daripada tujuh warga Myanmar dan dua warga Bangladesh ditahan di Kedah pada Isnin lalu.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya di Kuala Lumpur.

Khalid bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung penangkapan pendatang tanpa izin itu.

Sehingga kini, seramai 19 orang telah ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia sejak 10 Mei lepas. Jumlah tersebut termasuk seorang lelaki tempatan dan dua warga Bangladesh yang didakwa pada 25 Jun.

Pada Mei lepas, Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

Penemuan kubur itu susulan operasi yang dilancarkan oleh polis Malaysia, selepas pihak berkuasa Thailand menjumpai beberapa kubur besar yang mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing di kem-kem transit haram di sekitar Padang Besar di daerah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand, awal Mei lepas.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk mengesan dalang utama kegiatan pemerdagangan manusia kerana kebanyakan mereka berada di luar negara.

"Adalah menjadi satu cabaran bagi kami untuk membawa mereka ke sini untuk didakwa," kata Khalid.

Pada 20 Mei lalu, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan membawa seorang lelaki warga Rohingya, dipercayai dalang utama sindiket pemerdagangan manusia, ke muka pengadilan selepas proses mengekstradisi di Thailand selesai.

Beliau berkata, lelaki yang dikenali sebagai “Yassin”, berusia 30 tahun, telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand baru-baru ini, dan kerajaan Malaysia kini sedang dalam proses mengekstradisi lelaki berkenaan.

"Ekstradisi sudah dijalankan dan sedang diusahakan. Kita akan lakukan pendakwaan apabila Yassin dibawa ke mari (Malaysia) mengikut undang-undang negara, " katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memaklumkan bila “Yassin” akan dibawa ke Malaysia.

Khalid berkata, "Malaysia sedia maklum tentang Laporan Pemerdagangan Orang 2014 TIP oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Malaysia telah diturunkan kepada Tahap 3 atas kegagalan mematuhi sepenuhnya standard minima bagi penghapusan pemerdagangan manusia seperti yang ditetapkan,"

Berikutan itu, katanya, Malaysia sedang berusaha untuk mencapai standard yang ditetapkan bagi memerangi isu itu.

"Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membanteras jenayah ini kerana ia dianggap zalim dan boleh dianggap sebagai perhambaan orang cara moden. Kami akan berusaha untuk berada di tahap yang lebih baik untuk memperbaiki kedudukan  dalam laporan berkenaan," katanya.

Oleh staf BeritaBenar dengan maklumat dari laporan berita



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.