Malaysia Tidak Menafikan Dakwaan Rasuah Di Sempadan Negara
2015.06.04

Kementerian Dalam Negeri Malaysia tidak menolak dakwaan penyeludupan berlaku di sempadan negara akibat rasuah dan kesahihan laporan yang mendakwa bahawa sebanyak 80 peratus pegawai penguatkuasa sedang disiasat.
“Kita sedang menyiasat laporan itu kerana ia datang daripada cawangan khas Polis Diraja Malaysia [PDRM],” kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.
“PDRM sendiri tidak dapat mengesahkan kebenaran peratusan laporan itu,” tambah beliau
Pada Rabu akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times menyiarkan laporan ekslusif yang memetik sumber daripada Cawangan Khas PDRM yang mendedahkan peratusan mengejut hasil laporan siasatan cawangan itu, bahawa 80 peratus anggota keselamatan dan pegawai penguatkuasa undang-undang Malaysia yang bertugas di kawasan sempadan negara, terlibat dengan rasuah.
Berita yang ditulis oleh Pengarang akhbar itu, Farrah Naz Khan mendakwa bahawa pegawai penguatkuasa terlibat turut menerima bayaran tetap daripada sindiket yang menguruskan dadah, senjata api dan penyeludupan manusia di sempadan negara.
Tiada tindakan diambil
Laporan berita itu juga mendakwa sumber sebagai berkata bahawa cawangan khas polis ada menghantar maklumat yang dikumpulkan mengenai isu itu, kepada pihak atasan, namun tiada tindakan diambil.
“Buat masa sekarang kita sedang menyiasat siapakah yang mengesahkan perkara itu, walaupun saya tahu wartawan terbabit tetapi perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana PDRM sendiri tidak dapat mengesahkan berita berkenaan,” tambah Ahmad Zahid.
“Saya tidak menolak kemungkinan adanya rasuah kerana bukan saja melibatkan beberapa orang kakitangan dalaman tetapi juga sindiket luar yang menggunakan orang dalam, pemandu teksi sapu dan indvidu,” katanya.
Setakat ini kata beliau, hanya lapan petugas bawahan yang dikesan terlibat dalam aktiviti penyeludupan di sempadan negara dan kesemua mereka dikenakan tindakan dan menghadapi siasatan dalaman.
“Mereka (yang dikesan terlibat rasuah) tidak akan terlepas,” kata Ahmad Zahid.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar semasa diminta mengulas, mempunyai nada suara yang berbeza apabila ditanya mengenai kesahihan laporan berita akhbar berkenaan dan sumber maklumat daripada cawangan khas pasukan polis itu.
Beliau yang enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata “tanyalah sendiri pengarah cawangan khas… dia ada butir-butirnya dan telefonlah dia dan tanyalah sendiri,” kata Khalid kepada pemberita pada Khamis.
Ahli Parlimen Alor Star dari Parti Keadilan Rakyat, Gooi Hsiao Leung berkata, pendedahan peratusan dalam laporan akhbar berbahasa Inggeris oleh cawangan khas polis bukan tuduhan yang dibuat oleh pihak pembangkang atau direkacipta di alam maya tetapi laporan yang dibuat secara berkala oleh cawangan khas polis itu.
“Ini merupakan satu pendedahan yang mengejutkan, dan Kementerian Dalam Negeri tidak boleh menutup mata dalam isu ini, dan menyerahkan tanggungjawab kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk mengawal sempadan Malaysia. Ini merupakan tindakan melepaskan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh pihak kementerian.
“Kementeria Dalam Negeri seharusnya, mengambil inisiatif untuk melancarkan siasatan dengan menyediakan sebuah pasukan yang berintergriti tinggi serta dianggotai kumpulan penyiasat di luar lingkungan kementerian sendiri,” katanya ketika dihubungi oleh BeritaBenar pada Khamis.
Sementara itu Farrah yang dihubungi melalui sistem pesanan ringkas oleh BeritaBenar berkata “apa yang saya boleh katakan saya telah berusaha ... dan (samada mahu mendakwa di bawah) akta hasutan itu terpulang kepada pihak berkuasa''
Bina tembok sepanjang sempadan
Dalam perkembangan yang sama Ahmad Zahid berkata, strategi lautan biru akan dilakukan bagi membolehkan pelbagai jabatan dan agensi termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Kastam dan pihak penguatkuasaan lain bekerjasama untuk mengawal sempadan negara.
Tegasnya, kawalan dapat diperkukuhkan dengan pembinaan tembok atau pagar di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya pembinaan tembok sempadan atau pagar sempadan wajib dilakukan kerana tanpa sempadan yang kukuh sukar bagi mana-mana agensi untuk melaksanakan penguatkuasaan.
"Barisan hadapan pertahanan negara adalah Angkatan Tentera, namun dari segi penguatkuasaan dan pengambilan tindakan perundangan adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen," kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata kementerian itu telah menerima lima cadangan untuk pembinaan tembok dan aset bagi pemantauan keselamatan di sempadan negara.
Sebelum ini laporan media menyebut kerajaan sedang mengkaji pembinaan pagar baru sepanjang 129 kilometer (81 batu) yang dibina di sempadan Malaysia-Thailand melibatkan tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan.
Jelas Ahmad Zahid, negara yang mempunyai tembok dan pagar sempadan yang kukuh turut dibolosi imigran sebagai contoh sempadan di antara Amerika Syarikat dan Mexico yang mempunyai pagar canggih dan kukuh tetapi di Amerika terdapat 11 juta pendatang asing tanpa izin.
"Apatah lagi jika kita tidak ada pagar atau tembok sempadan yang kukuh tentu kebolosan ini mudah berlaku. Bukan sahaja kebolosan dari segi pemerdagangan manusia, ada kebolosan kemasukan senjata api, dadah dan keluarnya barang-barang yang bersabsidi," kata Ahmad Zahid lagi.
Pada 25 Mei, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan 139 kubur dan 28 kem berkaitan isu pemerdagangan manusia yang ditinggalkan, ditemui dalam kawasan Malaysia di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.
Operasi itu dilancarkan susulan penemuan beberapa kubur besar yang mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing.
Kes itu dipercayai membabitkan sindiket pemerdagangan manusia selepas pihak berkuasa Thailand menemui puluhan kubur dan kem transit di sekitar Padang Besar di daerah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia pada awal Mei lepas.
Difahamkan, susulan daripada penemuan kubur di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di utara negeri Perlis itu, pelbagai pertanyaan dan spekulasi timbul mengenai bagaimana sempadan negara boleh dibolosi seperti yang dilaporkan oleh pengarang akhbar berbahasa Inggeris itu.
Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini