China Nyatakan Komitmen Pertingkat Usaha Siapkan Projek ECRL
2022.07.12
Kuala Lumpur

Menteri Luar China Wang Yi pada Selasa menyatakan komitmen bahawa kuasa besar itu akan mempertingkat usaha menyiapkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai puluhan bilion ringgit, yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) Beijing.
Wang, yang dalam fasa terakhir siri lawatan 10 harinya ke lima negara Asia Tenggara, bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran lanjut namun berjanji China akan melipatgandakan usaha dalam projek itu selepas bertemu Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabari Yaakob.
Dalam sidang media bersama dengan Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah, Wang berkata kedua-dua negara bersetuju mempromosi kerjasama OBOR yang berkualiti tinggi bagi menyampaikan inisiatif untuk pembangunan global.
"Kami juga membincangkan mengenai pelan tindakan untuk ketersambungan (jalan pengangkutan). Kami akan melipatgandakan usaha kami untuk memajukan projek ECRL serta pembangunan kawasan yang terletak di sepanjang laluan berkenaan," katanya.
Beliau berkata kedua-dua pihak juga akan terus berkomunikasi mengenai pembinaan laluan kereta api baharu antara Malaysia dan Singapura serta membincangkan matlamat jangka panjang untuk menyiapkan laluan utama yang menyambungkan rel kereta api antara China, Laos dan Thailand.
"...matlamatnya adalah supaya kita akan benar-benar dapat mencapai pembangunan melalui kesalinghubungan dan mempercepat proses integrasi serantau," katanya.
Selain isu jalinan perhubungan pengangkutan, Wang berkata China sedia mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia selain buah-buahan tropika dan produk pertanian lain. Malaysia merupakan antara pengeluar terbesar minyak sawit dunia.
Wang berkata demikian pada sidang media di Kementerian Luar Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Saifuddin. Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri serta diperkenan mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pada sidang media sama, Saifuddin turut menyatakan komitmen Malaysia dalam merealisasikan projek ECRL.
"Seperti yang semua tahu, ECRL adalah satu projek yang akan direalisasikan dan kami sudah mula melakukan kerja untuk mencapai tujuan itu," katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri menyifatkan lawatan rasmi Wang ke negara ini sebagai satu langkah positif ke arah meningkatkan hubungan antara Malaysia dan China.
"Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas peluang yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat infrastruktur China untuk terlibat sama dalam projek pembangunan negara antaranya pelaksanaan projek ECRL dan China berhasrat meneruskan kesinambungan jaringan landasan kereta api yang turut melibatkan Laos dan Thailand," katanya.
ECRL bakal menghubungkan kawasan pedalaman di pantai timur Semenanjung Malaysia dengan pelabuhan paling sibuk di negara itu iaitu Pelabuhan Klang. Projek itu turut membabitkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan yang terletak di Laut China Selatan ke Pelabuhan Klang yang terletak di Selat Melaka.
Projek dengan laluan sepanjang 688 kilometer itu dilancarkan pada Ogos 2017 oleh Perdana Menteri ketika itu Najib Razak. Ia merentasi negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta dianggap sebagai pencetus perubahan kepada Malaysia.
Bagaimanapun, selepas kejatuhan Najib pada Pilihan Raya Umum 2018, projek itu telah dibatalkan. Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak mampu meneruskan projek itu kerana berdepan hutang yang banyak dan keadaan kewangan tidak stabil.
Bagaimanapun, projek itu dimulakan kembali dengan beberapa pengubahsuaian oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada April 2019. Kerajaan PH turut memendekkan jarak projek itu kepada 648 kilometer dan memilih laluan baharu dari Pahang ke Negeri Sembilan sebelum merentasi bahagian selatan Selangor.
Susulan kejatuhan kerajaan PH pada Mac 2020, pentadbiran bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengembalikan laluan asal ECRL seperti diumum pada era pemerintahan Najib yang dibantah oleh kerajaan Selangor pimpinan PH.
Sehingga April 2022, projek bernilai RM44 bilion (AS$9.9 bilion) itu sudah siap hampir 30 peratus dan tarikh ia dijangka siap sepenuhnya kini dianjak ke 2026 iaitu dua tahun lebih lewat dan akan beroperasi pada 2027.