Aktres pemenang Oscar Michelle Yeoh cetus kontroversi kerana ulas ‘Taipei, China’
2025.03.14

Pelakon kelahiran Malaysia yang juga pemenang Anugerah Oscar, Michelle Yeoh mencetuskan kekecohan dalam talian apabila merujuk ibu kota Taiwan yang diperintah sendiri merupakan sebahagian daripada China dalam satu hantaran di Instagramnya.
Taiwan, atau Republik China telah berkonflik dengan tanah besar sejak perang saudara China berakhir pada 1949.
Ketika itu, kerajaan nasionalis melarikan diri ke Taiwan manakala pasukan komunis Mao Zedong menubuhkan Republik Rakyat China.
Pulau ini tidak diiktiraf secara diplomatik oleh kebanyakan negara walaupun ia menjadi entiti demokrasi yang diperintah sendiri dengan populasi 23 juta penduduk serta mempunyai sempadan, mata wang dan kerajaan sendiri.
China menganggap Taiwan sebagai sebuah wilayah terpisah yang perlu dibawa kembali ke pangkuannya, satu sentimen yang kelihatan disokong oleh Michelle Yeoh menerusi komennya dalam talian.
"Terima kasih Tiffany kerana menjemput kami ke Taipei, China," kata Yeoh dalam hantaran Instagramnya, merujuk kepada jenama barang kemas Tiffany & Co selepas menghadiri pembukaan salah satu kedainya di sebuah pusat beli-belah di Taipei.
Hantaran itu merekodkan hampir 33,000 tanda suka sehingga pagi Jumaat selain turut menerima hampir 7,000 komen, kebanyakannya mengkritik pemilihan kata-katanya.
“Tak pernah dengar bandar bernama Taipei di China, hanya di Taiwan,” kata seorang pengguna Instagram bernama “amidsummernightdrean.” “Saya terkejut, Michelle.”
“Anda hanya perlu sebut ‘Taipei’, tak perlu sebut China,” kata seorang lagi pengguna. “Anda telah buat kesilapan.”
“Kalau anda mahu menjadi rakyat China, itu pilihan anda. Tapi jangan seret orang lain bersama,” kata pengguna “sychcc” kepada pelakon berdarah Cina itu. “Apa tujuan anda menyebut ‘Taipei, China’?”
“Michelle, jangan buat begini. Taipei berada di Taiwa,
pbukan di China,” kata pengguna “wangtw.”
Namun, tidak semua komen bersifat negatif.
“Tepukan untuk anda kerana berani dan menggunakan cara paling sesuai untuk merujuk kepada Taipei, sebahagian daripada China,” kata pengguna “lordjingjing.”
Negara bebas
Walaupun Taiwan berfungsi sebagai sebuah negara bebas secara ‘de facto’ dengan sistem politik dan ekonomi serta tenteranya sendiri, ia dikecualikan daripada menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi global utama ekoran tekanan China yang menegaskan supaya pulau itu tidak diiktiraf sebagai sebuah negara.
Atlet Taiwan yang menyertai temasya sukan antarabangsa biasanya bertanding dalam acara sukan utama di bawah nama “Chinese Taipei.”
Yeoh bukan selebriti pertama menghadapi masalah akibat mengeluarkan kenyataan yang berkaitan China dan Taiwan.
Pelakon Hollywood dan bekas bintang WWE, John Cena, pernah dikecam pada 2021 kerana merujuk Taiwan sebagai sebuah “negara” dalam satu wawancara promosi filem “Fast and Furious 9.”
Dia kemudian meminta maaf dalam bahasa Mandarin untuk meredakan kemarahan penonton China.
Bekas pemain NBA, Dwight Howard juga mencetuskan kontroversi pada 2023 selepas merujuk Taiwan sebagai sebuah “negara” dalam satu video promosi. Dia turut meminta maaf selepas menerima kritikan dari China.
Bintang aksi Hong Kong, Jackie Chan turut pernah mencetuskan kemarahan di Taiwan pada 2004 apabila dia menyifatkan pilihan raya presiden pulau itu sebagai “lawak terbesar di dunia,” menyebabkan protes diadakan ketika lawatannya ke Taipei.
China telah meningkatkan tekanan diplomatik dan ekonomi ke atas Taiwan sejak pentadbiran bekas Presiden Tsai Ing-wen mengambil alih kuasa pada 2016.
Hal ini kerana Tsai dan partinya enggan mengiktiraf bahawa Taiwan dan tanah besar berada di bawah prinsip “Satu China.”
Presiden Taiwan, Lai Ching-te, yang memegang jawatan selepas memenangi pilihan raya Januari 2024 walaupun mendapat tentangan hebat dari Beijing, berkempen dengan janji untuk mempromosikan keamanan di Selat Taiwan tanpa berkompromi terhadap tuntutan kedaulatan Taiwan.
Radio Free Asia ialah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews.