Chagee buang peta kontroversi China lepas dikecam rakyat Malaysia, Vietnam
2025.03.21
Kuala Lumpur

Rangkaian kafe teh China, Chagee bertindak mengeluarkan peta kontroversi daripada aplikasi mudah alihnya selepas dikecam pengguna di Malaysia dan Vietnam kerana memasukkan garisan sembilan putus-putus, wilayah dituntut China yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Tindak balas masyarakat berlaku dengan pantas apabila pengguna media sosial di Malaysia dan Vietnam menggesa kafe itu diboikot kerana melihat tindakannya memasukkan peta yang dipertikaikan itu sebagai satu serangan terhadap kedaulatan negara.
Penganalisis berkata kontroversi ini menunjukkan bagaimana jenama China sering gagal memahami tentang sensitiviti nasionalis di Asia Tenggara.
“Jenama China sering mencerminkan nasionalisme yang kuat dalam produk mereka,” kata Abdul Rahman Yaacob, felo penyelidik Program Asia Tenggara di Institut Lowy kepada BenarNews.
“Menampilkan garisan sembilan atau sepuluh putus-putus mungkin satu bentuk patriotisme di China tetapi apabila berkembang ke luar negara, mereka mungkin terlepas pandang betapa sensitifnya isu ini di negara lain.”
“Saya fikir ini boleh menjadi sesuatu yang merugikan syarikat kerana orang ramai akan mula memboikot,” tambahnya.
Kontroversi ini tercetus ketika Chagee telah bersedia mengembangkan cawangan pertamanya di Vietnam yang terletak di Ho Chi Minh City.
Pengguna yang memuat turun aplikasi jenama itu untuk menuntut promosi minuman percuma sempena pelancarannya menyedari peta tersebut yang menggambarkan tuntutan maritim China bertindih dengan Vietnam, Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain.
Di Vietnam, bantahan besar-besaran menyebabkan aplikasi itu ditarik daripada Google Play Store dan Apple’s App Store.
Pada 15 Mac, media tempatan melaporkan bahawa pengguna yang cuba memuat turunnya menerima mesej berbunyi, “Aplikasi ini tidak tersedia di rantau anda.”
Selain itu, gambar yang tersebar dalam talian menunjukkan premis Chagee di Ho Chi Minh City, yang pada mulanya dihiasi dengan warna merah jenama itu telah ditukar kepada warna kelabu.
Namun, tidak jelas bila dan mengapa Chagee membuang peta tersebut kerana syarikat itu belum mengeluarkan kenyataan awam atau permohonan maaf.
BenarNews telah menghubungi Chagee Malaysia dan pejabat Asia-Pasifiknya untuk mendapatkan komen tetapi masih belum menerima sebarang jawapan.

Kempen boikot di Malaysia
Chagee yang mempunyai lebih 100 cawangan di Malaysia berdepan kecaman hebat daripada pengguna di negara ini.
Platform media sosial dibanjiri dengan seruan boikot, dengan pengguna memuat naik tanda pagar seperti “#BoikotChagee” dan mesej seperti, “Banyak pilihan tempatan yang ada, tak perlu sokong jenama yang tidak menghormati kedaulatan negara kita.”
“Jika isu ini tidak membawa kepada boikot, ia menunjukkan pelanggan Chagee jahil dan tidak mempunyai kesedaran mengenai kedaulatan negara,” tulis pengguna @farysafiqahs di X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Seorang lagi pengguna, @lillthiccie, memuat naik: “Harap semua orang ambil perkara ini serius, apa yang Chagee cuba tunjukkan sangat menghina.”
Netizen Vietnam juga membanjiri halaman Facebook Chagee, meninggalkan komen dalam bahasa Vietnam dan Inggeris yang berbunyi, “Hoang Sa dan Truong Sa milik Vietnam,” merujuk kepada Kepulauan Paracel dan Spratly yang dituntut oleh Vietnam sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Pada Khamis, pihak berkuasa di Ho Chi Minh City dilaporkan telah melancarkan siasatan terhadap Chagee Vietnam berhubung kontroversi peta tersebut bagi menentukan kemungkinan pelanggaran undang-undang kedaulatan.
Tran Binh Thien, Timbalan Ketua Inspektor Jabatan Kebudayaan dan Sukan, dilaporkan berkata pegawai sedang bekerjasama dengan polis tempatan untuk menentukan sama ada Chagee Vietnam telah melanggar undang-undang dengan memaparkan peta yang dipertikaikan.
Sementara itu, BenarNews mendapati bahawa tiada pegawai kerajaan Malaysia yang secara terbuka mengulas mengenai isu ini atau menghubungi pihak Chagee.
Tuntutan Beijing
Pertikaian berhubung aplikasi Chagee merupakan siri kontroversi terbaru membabitkan perniagaan dan kandungan hiburan China di Asia Tenggara, di mana tuntutan wilayah Beijing telah mencetuskan reaksi balas.
Pada 2023, Vietnam mengharamkan filem Hollywood Barbie kerana adegan yang memaparkan garisan sembilan putus-putus China.
Hal yang sama turut melibatkan Malaysia pada 2019 apabila negara ini mengarahkan penyingkiran peta yang menunjukkan garisan itu dalam filem animasi DreamWorks, Abominable.
Pada 2023, Malaysia menolak “peta standard” terbaru China yang memperluaskan tuntutan Beijing jauh ke perairan sekitar Borneo milik Malaysia.
Walaupun Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague, Belanda pada 2016 telah memutuskan tuntutan China tidak mempunyai asas undang-undang, Beijing menolak keputusan itu dan terus meningkatkan kawalannya melalui rondaan tentera dan aktiviti maritim.
Malaysia khususnya telah berdepan dengan pencerobohan berulang oleh kapal-kapal China di perairannya termasuk berhampiran Kepulauan Spratly.
Kapal-kapal China telah dikesan berada berhampiran kawasan yang dituntut oleh Malaysia seperti Beting Serupai (James Shoal), Beting Patinggi Ali (North Luconia Shoals), dan Beting Raja Jarum (South Luconia Shoals).
James Chin, profesor Kajian Asia di Universiti Tasmania menyatakan keupayaan tentera laut China yang kian meningkat telah menjadikan pertikaian Laut China Selatan lebih sensitif.
“Dahulu, orang ramai tidak begitu mengambil peduli kerana mereka tahu tentera laut China tidak mempunyai keupayaan dan tidak dapat menguatkuasakan peraturan,” kata Chin kepada BenarNews.
“Namun sekarang, situasinya sudah berbeza... Mereka boleh menghantar kapal ke Laut China Selatan dan itu yang mereka lakukan.”
Beliau turut mengkritik kesilapan pemasaran Chagee dengan mengatakan bahawa perniagaan perlu berhati-hati apabila berdepan dengan pertikaian wilayah.
“Mereka perlu berhati-hati tentang jenis peta yang mereka gunakan… Itulah sebabnya mereka mempunyai pakar pemasaran.
“Jadi, dalam kes ini, ia jelas sama ada pakar pemasaran mereka tidak cekap atau mungkin mereka langsung tidak mempunyai pakar. Ini adalah tindakan yang sangat bodoh,” kata Chin.