Malaysia Kebumikan 75 Jenazah Mangsa Pemerdagangan Manusia

Oleh Adie Suri Zulkiflli
2015.07.03
150703-MY-3JENAZAH620 Beberapa lelaki lslam Malaysia membantu dalam pengebumian semula mayat-mayat dipercayai etnik Rohingya yang ditemui di kem pemerdagangan manusia di utara negara itu di Tanah Perkuburan Khairiah Kampung Tualang, daerah Pokok Sena, Kedah. 22 Jun 2015.
AFP

Kerajaan Malaysia menyempurnakan pengebumian 75 jenazah mangsa pemerdagangan manusia termasuk kumpulan ketiga 24 jenazah dikebumikan pada awal pagi Sabtu di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang, daerah Pokok Sena, Kedah.

Pengebumian kumpulan ketiga itu melibatkan 23 jenazah lelaki manakala satu lagi tidak dikenal pasti jantinanya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) Noh Dahya, berkata terdapat baki 31 mayat yang masih menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star.

“Sehingga kini, baki 24 jenazah telah diputuskan akan disempurnakan pengebumiannya pada 5 Julai ini (Ahad) manakala tujuh lagi, akan cuba diselesaikan sebelum sambutan Aidilfitri. Bagaimanapun, ia bergantung kepada pihak hospital.

“Difahamkan akan berlaku sedikit kelewatan dalam proses pengebumian tujuh jenazah terakhir dan berkemungkinan dapat diselesaikan proses pengebumian selepas Aidilfitri ini,” katanya kepada pemberita di tapak perkuburan itu.

Pengurusan pengebumian kesemua jenazah itu diuruskan oleh JAIK, Majlis Keselamatan Negara dan Polis DiRaja Malaysia.

Kesemua jenazah dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star dengan trak polis ke tanah perkuburan itu.

Noh berkata, jenazah lelaki dikebumikan dalam satu liang lahad manakala jenazah yang tidak dikenali jantina itu di dalam liang lahad  berasingan.

Pengebumian itu turut dibantu oleh penduduk tempatan, anggota polis dan persatuan kebajikan Rohingya Kedah.

Kerajaan telah mengebumikan kumpulan pertama 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia di tanah perkuburan yang sama pada 22 Jun lepas manakala kumpulan kedua melibatkan 30 jenazah pada Isnin lepas (29 Jun).

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir sebelum ini memberi jaminan bahawa kesemua 106 mayat yang ditemui di kedua-dua kem transit haram di sempadan Malaysia-Thailand akan dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Pada 25 Mei lepas, Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Penemuan kubur itu susulan operasi polis Malaysia, selepas pihak berkuasa Thailand menjumpai beberapa kubur besar yang mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing di kem-kem transit haram di sekitar Padang Besar di daerah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand, awal Mei lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.