Isteri Duta Malaysia, Indonesia di Pakistan Antara Tujuh Terbunuh Nahas Helikopter
2015.05.08

Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Indonesia ke Pakistan adalah antara tujuh orang yang terbunuh apabila helikopter milik tentera negara itu, yang mereka naiki terhempas di dalam satu kejadian, kumpulan militan Taliban mengaku bertanggungjawab.
Helikopter itu terhempas di kawasan Lembah Naltar, Gilgit, iaitu kira-kira 319 batu (479km) dari ibu negara Pakistan, Islamabad, pada Jumaat.
Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif berada dalam pesawat lain ke kawasan utara pergunungan di Gilgit, untuk melancarkan dua projek, apabila nahas berlaku. Beliau kembali ke Islamabad, sebaik saja menerima berita tentang nahas tersebut, pejabatnya berkata dalam satu kenyataan.
Habibah Mahmud, isteri kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Dr Hasrul Sani Mujtabar, terbunuh serta merta dengan enam orang lain, termasuk duta besar negara Norway dan Filipina dan isteri duta besar Indonesia serta dua orang juruterbang dan seorang anak kapal.
Hasrul cedera dalam kejadian itu dan dirawat di sebuah hospital di daerah Gilgit.
Taliban mengaku bertanggungjawab
Dalam satu kenyataan emel yang dihantar kepada Radio Free Europe (RFE)/Radio Liberty’s (RL) Radio Mashaal oleh Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP), kumpulan militan Taliban yang bergerak aktif di Pakistan, secara terang-terangan menyatakan bahawa sasaran sebenar mereka adalah Perdana Menteri Nawaz Sharif.
"Helikopter MI-17 buatan Rusia itu, telah ditembak jatuh dengan peluru berpandu anti-pesawat, membunuh juruterbang dan duta asing," kata satu kenyataan berbahasa Urdu dihantar oleh jurucakap utama kumpulan itu, Muhammad Khurasani.
Sementara itu, Menteri Persekutuan Pakistan Khawaja Mohammad Asif dalam satu kenyataan menolak kemungkinaan kejadian itu, dilakukan oleh pengganas dan berkata ianya berpunca daripada kesilapan teknikal
Menurut beberapa laporan rantau Gilgit-Baltistan, yang bersempadanan dengan China, Afganistan dan Kashmir di Utara India, tidak diketahui samada ianya adalah benteng kumpulan militan itu, sebaliknya Tehrik-e-Taliban Pakistan sering mendakwa bertanggungjawab bagi setiap kejadian yang mereka tidak mempunyai kaitan dengannya.
Helikopter ketiga alami masalah teknikal
Sementara itu, jurucakap Tentera Pakistan Mejar Jeneral Asim Bajwa turut mengesahkan nahas itu dalam laman Twitter beliau.
"Berdasarkan maklumat awal, dua buah helikopter mendarat dengan selamat manakala pesawat ketiga mengalami masalah teknikal ketika melakukan pendaratan.
"Tiga belas penumpang selamat namun mengalami pelbagai kecederaan. Saya berhubung dengan mereka yang berkenaan. Akan kemas kini maklumat dari lokasi kejadian," kata beliau.
Media asing dan tempatan melaporkan bahawa konvoi tiga helikopter itu membawa delegasi diplomat asing dari 37 buah negara, selain enam lagi warga Pakistan.
Menurut saksi, helikopter berkenaan merempuh bangunan sekolah ketika melakukan pendaratan cemas.
Agence France-Presse (AFP) melaporkan seorang pegawai polis tempatan yang bertugas berhampiran tapak itu berkata "Saya sedang melihat ketibaan helikopter, ianya mendarat sejak pagi lagi, ia merupakan perjalanan ketiga atau keempat mereka.
"Sebuah helikopter tiba-tiba berpusing di kawasan yang hendak mendarat, yang kemudiannya terhempas dan terdengar bunyi kuat serta api."
Seorang pegawai perubatan kecemasan yang berada di sekitar kawasan berkenaan, untuk majlis perasmian itu berkata helikopter meletup dan terbakar selepas mendarat.
Kementerian Luar Negara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, punca kejadian masih disiasat dan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sedang berusaha mendapatkan laporan penuh berhubung nahas itu.
Sementara itu dalam akaun Facebook Hasrul menunjukkan gambar beliau dan isterinya Habibah sebelum menaiki helikopter berserta kapsyen
"Semua bersedia untuk berlepas ke Gilgit. Hanya untuk mereka yang berani... hehehe!
Akhbar Berita Harian melaporkan Hasrul sudah dibenarkan keluar daripada Hospital Gilgit, dan kini sedang menemani jenazah isterinya ke ibu negara itu, Islamabad.
“Ibu Hasrul serta keluarga mereka terkejut mendengar berita itu dan amat bersedih serta belum bersedia untuk ditemui media," kata seorang ahli keluarganya ketika dihubungi, di Ipoh, negeri Perak.
Difahamkan, Hasrul berasal dari Rapat Setia, di negeri Perak manakala isterinya berasal dari Muar, di negeri Johor.
Oleh staf Berita Benar dengan maklumat daripada laporan berita.