Isteri Anwar Ibrahim Kini Ketua Pembangkang Malaysia

Oleh staf Berita Benar
2015.05.18
150518-MY-WANAZIZAH620 Ketua Pembangkang Malaysia yang baru dilantik Wan Azizah Wan Ismail, berjalan dengan anaknya Nurul Hana Anwar, di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada 18 Mei 2015.
AFP

Wan Azizah Wan Ismail, telah mengambil alih jawatan ketua pembangkang di Parlimen Malaysia, selepas memenangi pilihan raya kecil, berikutan suaminya Anwar Ibrahim, kini dipenjarakan.

Pelantikannya itu menamatkan ketidakpastian yang mencengkam  pembangkang negara itu, di tengah-tengah laporan bahawa pihak-pihak utama gagal mencapai kata putus mengenai siapa yang sepatutnya menggantikan Anwar, yang dihukum penjara selepas disabitkan tuduhan liwat, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh beliau.

Wan Azizah, Presiden Parti Keadilan Malaysia (PKR) berjanji untuk menubuhkan kabinet bayangan bagi memastikan kerajaan Perdana Menteri Najib Razak sentiasa dipantau, dan menggesa penubuhan jawatankuasa parlimen bagi fiskal atau bajet sebagai langkah tegas untuk meneliti perbelanjaan negara.

Wan Azizah memenangi pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei lepas, dan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia pada Isnin.

Lantik sebagai Ketua Pembangkang

Selepas majlis angkat sumpah itu, Pandikar Amin kemudiannya mengumumkan melantikan Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang baru setelah mendapat persetujuan daripada semua wakil rakyat pembangkang.

"Saya berpuas hati dengan maklum balas bahawa Wan Azizah telah sebulat suara mendapat sokongan anggota Parlimen pembangkang untuk dilantik sebagai ketua pembangkang.

"Anggota Parlimen Permatang Pauh selamat kembali ke Parlimen dan selamat bertugas kembali sebagai ketua pembangkang, dan dapat menberi sumbangan kepada dewan ini dan juga negara” kata Pandikar.

Rancangan Malaysia Ke-11

Di persidangan dewan rakyat kali ini, Perdana Menteri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada Khamis ini.

Rancangan pembangunan lima tahun Malaysia itu, akan bermula pada 2016 dan berakhir pada 2020, dilihat penting kerana akan menjadi transformasi terakhir dalam matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Najib dijangka menggariskan pelbagai projek berimpak tinggi semasa pembentangan rancangan pembangunan itu.

Perbahasan mengenai RMK-11 dijangka mengambil masa enam hari mulai 25 Mei diikuti dengan jawapan daripada menteri-menteri selama tiga hari bermula 10 Jun ini, mengikut portal Parlimen Malaysia.

Oleh staf Berita Benar dengan maklumat daripada laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.