Muhyiddin: Statistik Tangkapan Polis Berjumlah 142 Dalam Tempoh 2 Tahun
2019.02.01
Kuala Lumpur, Malaysia

Menteri Dalam Negeri Malaysia telah mengeluarkan maklumat mengenai kanak-kanak yang ditangkap di bawah undang-undang drakonian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas kumpulan hak asasi manusia menggesa kerajaan berhenti menahan kanak-kanak dan mengotai janji sebelum pilihanraya untuk memansuhkan undang-undang tersebut.
Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat mengakui bahawa terdapat seramai 142 kanak-kanak yang telah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah era kolonial [POCA] di antara tahun 2015 dan 2017, dan bukannya sehingga tahun 2018 seperti yang didakwa oleh kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia [SUARAM].
“Kementerian Dalam Negeri ingin menjelaskan bahawa jumlah tersebut [142] merupakan statistik tangkapan individu bawah umur oleh pihak polis dari tahun 2015 dan 2017 kerana mereka dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah,
“Dan jumlah 142 orang itu, merangkumi 25 yang direman bagi siasatan lanjut, 18 telahpun dibebaskan, 87 lagi telah dikenakan sekatan manakala bakinya seramai 12 orang telah ditahan di Pusat Pemulihan Khas,” kata Menteri berkenaan.
Beliau menambah, tidak semua individu bawah umur yang ditangkap oleh pihak polis akan dikenakan Perintah Tahanan atau Perintah Pengawasan Polis di bawah POCA, tetapi setiap individu yang ditangkap akan melalui proses siasatan yang mendalam.
SUARAM pada Rabu berkata sehingga tahun 2018, terdapat seramai 17 orang kanak-kanak ditangkap dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), serta seramai 142 orang lagi telah ditahan dibawah POCA.
“Mengapakah seseorang ditahan di bawah tanpa bicara, apatah lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak?” persoal Pengarah Eksekutif SUARAM Sevan Doraisamy dalam kenyataan media yang dikeluarkan dua hari selepas itu.
SUARAM turut menggesa agar semua kanak-kanak yang ditahan di bawah undang-undang dan ditahan tanpa bicara dibebaskan segera. Badan itu juga mendesak kerajaan memperkenalkan satu program rehabilitasi khas bagi membantu mereka.
“Sekiranya terdapat bukti kukuh melibatkan kanak-kanak yang ditahan, mereka sepatutnya dibicara secara adil di mahkamah. Ratusan kanak-kanak ini, telah menjadi mangsa kekejaman undang-undang zalim yang kini menghadapi masa depan yang gelap tanpa pembelaan,” tambah Sevan lagi.
Menteri Dalam Negeri yang menjawab dakwaan kumpulan hak asasi itu berkata berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah [LPJ], sehingga 30 Januari 2019 hanya seorang individu bawah umur yang masih menjalani tahanan selama 2 tahun di Pusat Pemulihan Khas Kluang, Johor
“Individu bawah umur itu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan jenayah menggunakan kekerasan manakala tiada individu bawah umur yang sedang menjalani Perintah Pengawasan Polis di luar penjara,” kata Muhyiddin.
Katanya, remaja yang ditahan akan melalui proses reman lanjutan dan inkuiri sebelum keputusan untuk menahannya di bawah POCA.
Impak negatif psikologi
Sementara itu dalam kenyataan balas, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [Suhakam] Jerald Joseph berkata beliau gembira mendapat tahu bahawa jumlah budak bawah umur yang ditahan bawah POCA adalah jauh lebih rendah sekarang.
“Tetapi sebenarnya, seorang remaja bawah umur pun tidak seharusnya ditahan (bawah POCA). Dan jika di bawah pengawasan polis adakah mereka ini memakai peranti pengawasan elektronik? Atau mereka ini bebas? Saya juga berharap tiada remaja bawah umur yang ditahan reman selama 60 hari seperti yang dibolehkan di bawah POCA,” kata beliau kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.
Di bawah POCA, permohonan reman boleh dibuat sebanyak dua kali iaitu selama 21 hari dan pegawai boleh memohon reman dilanjutkan lagi selama 38 hari untuk membantu siasatan. Di bawah POCA, seseorang itu juga boleh dijatuhkan perintah tahanan dan pengawasan selama dua tahun.
SUARAM yang mengadakan sidang media bersama Suhakam dua hari lepas berkata penahanan 142 remaja bawah umur tanpa bicara di bawah POCA itu boleh membawa impak negatif kepada psikologi mereka dan sesetengahnya masih lagi bersekolah semasa ditahan.
Jerald seperti dilaporkan oleh media tempatan juga menegaskan, penahanan pesalah juvana di bawah POCA adalah tidak selaras dengan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
"Kita bersetuju ikut piawaian konvensyen. Konvensyen itu menyebut, seorang kanak-kanak tidak boleh dikenakan hukuman penjara. Kanak-kanak bawah 18 tahun tidak sepatutnya diletakkan di dalam penjara orang dewasa. Carilah alternatif lain untuk menempatkan mereka di tempat lain. POCA dilihat sebagai pilihan pertama dan bukan pilihan terakhir terhadap pesalah di bawah umur," kata beliau lagi.
Malah beliau menyifatkan penjara di Malaysia adalah tidak sesuai untuk menempatkan kanak-kanak.
Mengulas mengenai perkara yang sama Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kesemua tahanan di bawah POCA dan POTA ditahan mengikut peruntukan sedia dengan menegaskan bahawa seorang sahaja individu bawah umur yang ditahan di bawah POCA.
“Seorang sahaja yang ditahan dan masih dalam pengawasan polis kerana terlibat dalam aktiviti jenayah,” kata Fuzi sambil menambah masyarakat perlu faham bahawa arahan penahanan bukan dikeluarkan oleh pihak polis tetapi oleh LPJ dan juga mahkamah.
“Jadi proses penahanan itu bukan sewenang-wenangnya dibuat,” kata Fuzi.
Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail pada Jumaat pula berkata, pendedahan yang dibuat oleh Suhakam dan SUARAM agak mengejutkan dan tindakan susulan telah dilakukan untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri.
“Saya sudah berbincang dengan kementerian saya, mungkin kita perlu lihat kembali supaya mereka (pesalah bawah umur) tidak diletakkan dalam persekitaran yang sama dengan tertuduh yang lain,” tambah beliau.