SPRM kesan menantu bekas Perdana Menteri bantu siasatan rasuah
2023.08.07
Kuala Lumpur

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan menantu bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta seorang peguam yang telah meninggalkan negara setelah gagal hadir bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan projek berkaitan pendaftaran, biometrik pekerja asing bernilai berbilion ringgit di sebuah kementerian.
Muhammad Adlan Berhan, 48 yang merupakan menantu kepada Muhyiddin dan peguam Mansoor Saat, 69, dikehendaki hadir ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut tetapi gagal walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengesan keduanya, demikian menurut agensi anti-rasuah negara itu lagi.
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh SPRM termasuk berhubung terus dengan kedua-dua penama dan peguam masing-masing namun mereka masih gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM.
“Kedua mereka diperlukan bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing bernilai berbilion ringgit di sebuah kementerian.
“Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya pada Isnin.
Sehubungan itu, SPRM memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Adlan serta Mansoor untuk terus menghubungi agensi berkenaan.
Pada Februari lalu, media tempatan Malaysia memetik sumber yang tidak dinamakan dari SPRM mengesahkan yang agensi berkenaan sedang menyiasat kemungkinan terdapat penyalahgunaan kuasa dalam proses pemberian kontrak Kerajaan bernilai lebih RM1 bilion (AS$250 juta) kepada menantu seorang bekas perdana menteri.
Muhyiddin yang juga Pengerusi blok pembangkang Perikatan Nasional dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial beliau pada 9 Februari menafikan pemberian kontrak tersebut kepada menantunya dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai berniat jahat bagi menutup kepincangan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, semasa memegang jawatan perdana menteri, beliau tidak pernah sama sekali terlibat dalam proses penganugerahan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad (IRIS) yang dijalankan secara tender terbuka.
“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.
“Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad samada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” kata Muhyiddin dalam hantaran tersebut.
Anwar semasa mengulas isu berkaitan berapa hari selepas itu, menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk menentukan sejauh mana pembabitan Muhyiddin dalam penganugerahan kontrak berkenaan.
"Jahat tak jahat, tunggu laporanlah. Saya tak fikir hal ini dihebahkan sebegitu rupa kalau ia tidak benar,” kata Anwar kepada wartawan.
IRIS pada 29 Januari 2021 telah membuat pengumuman di Bursa Malaysia bahawa anak syarikatnya Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) telah menerima Surat Tawaran Projek (LOA) pada tarikh tersebut daripada Kementerian Dalam Negeri untuk membangun dan membekalkan sistem imigresen negara.
Tempoh kontrak berkenaan ditetapkan selama 54 bulan bermula 1 Mac 2021 sehingga 31 Ogos 2025.
Menurut laporan media tempatan sebelum ini, projek tersebut telah menerima bidaan dari beberapa syarikat lain termasuk Datasonic Group Bhd, Scicom (MSC) Bhd serta konsortium antara MyEG Services Bhd, HeiTech Padu Bhd dan S5 Systems Sdn Bhd.
Pentadbiran Muhyiddin sebelum ini menyifatkan NIISe sebagai sistem yang jauh lebih baik berbanding Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikatakan tidak dapat mengesahkan pergerakan warga asing, demikian menurut media pada masa itu.
MyIMMs adalah sistem utama Jabatan Imigresen yang merekodkan jumlah warga asing mahupun rakyat Malaysia yang keluar masuk ke negara ini dan sudah digunakan lebih 20 tahun.
Sistem NIISe dilaporkan dicadangkan oleh Muhyiddin ketika menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020, selepas MyIMMS dibatalkan oleh Muhyiddin akibat kos yang tinggi.
Jun tahun lalu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, pelaksanaan NIISe diyakini mampu mempertingkatkan sistem imigresen negara ke tahap yang lebih baik.
“NIISe juga akan dilengkapi ciri keselamatan seperti 'multi-factor authentication' yang memerlukan kombinasi kata laluan, ID dan biometrik pengguna, sebelum kakitangan jabatan atau kementerian dibenarkan mengakses sistem.
"Sebarang aktiviti dalam talian yang tidak teratur serta mencurigakan, akan dipantau secara menyeluruh melalui ‘National Immigration Command Centre’ dan tindakan pencegahan dapat diambil dengan lebih cepat serta berkesan berbanding sistem sedia ada," kata Hamzah seperti dilaporkan oleh media.
Ili Shazwani Ihsan di Perlis turut menyumbang kepada laporan ini.