Elak Penculikan, Pihak Berkuasa Malaysia Minta Bot Nelayan Pasang AIS
2016.09.13
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia meminta bot-bot nelayan terutamanya di perairan Sabah, negeri di Malaysia Timur, supaya memasang Sistem Pengenalan Automatik (AIS) bagi memudahkan isyarat kecemasan dihantar kepada pihak polis sekiranya berlakunya insiden kecemasan seperti penculikan yang dilakukan kumpulan militan Abu Sayyaf pada Sabtu lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun berkata, dengan adanya AIS, pihak berkuasa boleh bertindak pantas termasuk memintas bot laju penculik sejurus selepas menerima isyarat kecemasan daripada bot nelayan berkenaan.
“Masalahnya sekarang, pihak berkuasa hanya mengetahui tentang kejadian penculikan selepas suatu tempoh yang agak lama… ini menyukarkan kami menjejaki kumpulan militan yang melakukan jenayah tersebut,” katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.
Beliau berkata, ada nelayan yang enggan memasang AIS kerana bimbang pihak berkuasa dapat mengetahui kedudukan mereka di perairan terutamanya ketika menangkap ikan di luar zon negara atau pun menjalankan kegiatan haram.
“Selain itu, kos merupakan satu daripada sebab mengapa sesetengah pemilik bot nelayan tidak mahu memasang alat itu. Mereka berpendapat kos membeli AIS, yang berharga di antara RM2,000 hingga RM3,000 adalah terlalu mahal,” jelas beliau.
Abdul Rashid berkata, kumpulan militan Abu Sayyaf kini menumpukan kepada sasaran mudah yang menjalankan aktiviti di kawasan laut berhampiran dengan sempadan antarabangsa perairan Laut Sulu.
Menurutnya, susulan tindakan pasukan keselamatan meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan darat pantai timur Sabah, kumpulan militan itu semakin sukar menembusi kawasan pantai Sabah.
“Oleh itu, mereka menumpukan perhatian kepada sasaran mudah di perairan kerana ia sukar dipantau oleh pihak berkuasa Malaysia,’’ katanya.
Tiga warga Filipina diculik
Kejadian penculikan terbaru pada Sabtu lepas membabitkan tiga nelayan warga Filipina yang merupakan penduduk tetap di Sabah iaitu Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an. Mereka diculik tujuh lelaki bersenjata ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan Pom Pom di Semporna, Sabah kira-kira 10.40 malam, 10 September lalu.
Sehingga kini, belum ada maklumat diterima pihak berkuasa mengenai nasib tiga mangsa itu.
Julai lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa lima anak kapal warga Malaysia yang didapati hilang daripada sebuah bot di perairan Dent Heaven, Lahad Datu telah diculik oleh kumpulan militant Abu Sayyaf.
“Kesemua mereka diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf dan pihak polis telah mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina. Bagaimanapun, belum ada tuntutan untuk wang tebusan diminta setakat ini,'' katanya.
Pada 9 Julai lalu, tiga nelayan warga Indonesia iaitu Lorence Koten, 34, Teo Dorus Kopong, 42, dan Emanuel, 46, diculik lima individu bersenjata di kawasan perairan berhampiran Felda Sahabat, Lahad Datu, juga selepas waktu perintah berkurung iaitu kira-kira 11.40 malam.
Abu Sayyaf turut bertanggungjawab menculik empat rakyat Malaysia pada 2 April lalu tetapi mereka dibebaskan pada 8 Jun selepas sejumlah duit pampasan dibayar untuk pembebasan mereka.
Pada November tahun lalu, kumpulan itu telah memenggal seorang jurutera Malaysia yang berasal dari Sarawak, Bernard Then, kerana keluarganya gagal membayar pampasan.
Kerajaan Malaysia melaksanakan perintah berkurung di beberapa kawasan di Sabah selepas berlakunya peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013, di mana pasukan keselamatan negara itu berjaya mematahkan cubaan pencerobohan oleh kira-kira 200 pengganas yang menaiki bot dari Sulu, sebuah wilayah di selatan Filipina yang berjiran dengan Malaysia.
Gesa rondaan bersama sementara
Sementara itu, penganalisis keselamatan menyaran kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filipina supaya melaksanakan rondaan bersama secara sementara di kawasan perairan Laut Sulu bagi mengekang kegiatan penculikan Abu Sayyaf.
Pakar Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata rondaan bersama sementara itu juga dapat meningkatkan persefahaman di antara ketiga-tiga negara sebelum pelaksanaan rondaan bersama dapat dilaksanakan secara rasmi.
“Rondaan sementara ini perlu dilaksanakan di mana Malaysia boleh menjemput rakan sejawatan dari Filipina dan Indonesia untuk melakukan rondaan bersama di kawasan perairan antarabangsa atau bersempadan dengan negara masing-masing,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.
Azizuddin Mohd Sani, seorang profesor politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia, turut menyokong saranan rondaan bersama sementara itu bagi memastikan kumpulan militan Abu Sayyaf tidak dapat bergerak bebas dalam kawasan yang luas.
“Pihak berkuasa perlu memastikan kumpulan militan ini tidak dapat bergerak bebas. Sekiranya kawasan ‘permainan’ mereka diawasi dengan lebih ketat, tentu sukar buat mereka melakukan kegiatan jenayah merentas sempadan di samping gerakan ketenteraan diperhebatkan tentera Filipina di kawasan militan,’’ katanya kepada BeritaBenar.
Pada 2 Ogos lepas, Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju antaranya mengadakan rondaan rutin bersama ketiga-tiga negara, mewujudkan pusat krisis di kawasan masing-masing serta talian ‘hotline’ yang menghubungkan ketiga-tiga pihak untuk menjamin perhubungan pantas ketika kecemasan.
Ketiga-tiga negara juga menandatangani Perjanjian Rangka Kerja (FOA) di Jakarta pada 14 Julai lalu dan kini dalam proses menyelesaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk kawalan bersama di perairan laut sempadan negara.
Pada Sabtu, Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein berkata pihak berkuasa akan memasang sistem radar baru ‘AESA Spexer 200’ di lima kawasan pantai timur Sabah bagi mengesan kedudukan bot-bot yang telah dibenarkan untuk melakukan aktiviti dalam tempoh perintah berkurung.